Followers

Monday, July 5, 2010

Polis minta orang ramai bantu siasatan kes penemuan mayat bayi

SANDAKAN: Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penempuan mayat bayi di tapak pelupusan sampah di Batu 8 Jalan Fook Kim dekat sini Sabtu lalu, diminta tampil membantu polis dalam siasatan yang dijalankan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supt Fadzil Mohd Ali, berkata kerjasama daripada orang ramai diperlukan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam kes pembuangan mayat bayi perempuan baru lahir itu.
Katanya, polis setakat ini belum mendapat petunjuk bagi menahan mereka yang disyaki terbabit dalam kes itu.
"Kami memerlukan kerjasama daripada orang ramai dalam siasatan yang dijalankan terutama untuk mengesan mereka yang terbabit," katanya.

Beliau berkata, polis akan mengambil sampel DNA daripada mayat bayi perempuan bagi membantu siasatan jika terdapat tangkapan membabitkan individu yang disyaki membuang mayat bayi perempuan itu.

Katanya, punca kematian bayi itu juga belum dapat dikenal pasti dan polis masih menunggu laporan bedah siasat.

Fadzil berkata, polis sukar mengenal pasti kemungkinan mayat bayi perempuan dibuang di tapak pelupusan itu atau daripada sampah yang diangkut lori sampah. - BERNAMA

0 comments: