Followers

Wednesday, June 2, 2010

Dadah: 2 lelaki ,1 wanita ditahan, barangan RM6 juta dirampas

KAJANG: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang terbabit dalam pengedaran dan pemprosesan dadah di sebuah rumah di Country Heights di sini dan merampas dadah, sepucuk pistol, dua buah kereta dan pelbagai barangan lain bernilai RM6 juta.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Shakaruddin Che Mood, berkata mereka ditahan dalam serbuan pada Ahad lalu.
Susulan penahanan itu, polis kemudiannya menemui pelbagai barangan memproses dadah di sebuah rumah di Anggerik Villa di sini yang dijadikan makmal kecil oleh sindiket berkenaan.
Katanya, ketiga-tiga mereka yang berumur dalam 30-an itu, termasuk seorang yang mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki bagi kes mendatangkan kecederaan mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan di Sitiawan, Perak, ditahan kira-kira 11.30 malam oleh pasukan bahagian narkotik Kajang.

"Dalam pemeriksaan di rumah itu, polis berjaya merampas sejumlah 4.5 gram ketamine, 40 gram syabu dan sepucuk pistol jenama Walther," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, hasil soal siasat yang dijalankan, ketiga-tiga suspek kemudiannya membawa polis ke sebuah apartment di Anggerik Villa yang dijadikan tempat memproses dadah.

"Polis merampas 12 kilogram (kg) dadah yang disyaki syabu, 12 kg ketamine dan 315 gram campuran serbuk serta pil Ecstacy dan 27kg bahan yang disyaki dadah lain.
Beliau berkata, polis turut merampas kenderaan jenis Ford dan Toyota Alphard yang dipercayai digunakan ketiga-tiga suspek itu untuk menjalankan operasi mereka.

Selain itu, polis turut merampas kad kredit, buku simpanan bank, bahan kimia, komputer riba dan wang tunai RM2,200 dan semua rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM6 juta.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai bukan sahaja membekalkan dadah untuk pasaran Lembah Klang tetapi juga di luar kawasan Lembah Klang.

"Ketiga-tiga suspek ditahan reman sehingga 6 Jun ini untuk siasatan," katanya. - Bernama

0 comments: