KUCHING: Timor Leste meminta tempoh operasi pasukan pengaman Malaysia Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Ops UNMIT Timor Leste di bawah Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) yang akan berakhir pada 2012 dilanjutkan setahun lagi.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am), Datuk Salleh Mat Rasid, berkata pasukan itu yang dikenali sebagai Formed Police Unit (FPU) telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang penyertaan dalam Ops UNMIT di Timor Leste sejak 2006.
Katanya, setakat ini PDRM sudah sembilan kali menghantar pasukan pengamannya ke Timor Leste dengan pertukaran setiap pasukan baru untuk tempoh enam bulan iaitu seramai 136 anggota lain pangkat selain empat lagi anggota dari Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Salleh berkata, PDRM sentiasa bersedia untuk menghantar pasukannya sekiranya Kerajaan Malaysia dan PBB bersetuju dengan tawaran kerajaan Timor Leste itu.
"Perkara ini dimaklum secara lisan oleh pemimpin tertinggi Timor Leste, kita serah kepada kerajaan dan PDRM sentiasa bersedia.
“Kerajaan Timor Leste turut meminta supaya PDRM melatih pasukan polis negara tersebut untuk proses kenaikan pangkat,” katanya.
Pasukan baru, MAL-FPU yang juga terdiri daripada 136 anggota lain-lain pangkat selain empat pegawai kor perubatan ATM dijangka berangkat ke Timor Leste pada 1 Mei dan 8 Mei depan untuk menggantikan pasukan MAL-FPU yang sedia ada di sana. - Bernama
0 comments:
Post a Comment