PUTRAJAYA: Kerajaan akan menubuhkan institusi keilmuan dikenali sebagai Majlis Profesor Negara (MPN), yang menghimpunkan komuniti cendekiawan terunggul negara selaras dengan usaha mengekalkan kewibawaan institusi pengajian tinggi (IPT) negara, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Katanya, MPN akan menghimpunkan ahli akademik negara khususnya di kalangan profesor dan yang bergelar doktor.
"MPN ditubuhkan selaras dengan usaha memelihara kewibawaan dan komitmen IPT dalam bidang keilmuan. Kita harap menerusi majlis ini, ia akan menyumbang input kepakaran bagi kegunaan advokasi awam dalam memperkukuhkan asas penggubalan dan pelaksanaan dasar negara," katanya
Beliau berkata, IPT di seluruh negara memiliki 1,426 profesor dalam pelbagai bidang pengajian, justeru penubuhan MPN dilihat sebagai wadah yang akan bertindak untuk memberi khidmat nasihat dan pemikiran baru dalam meningkatkan daya saing negara.
"MPN juga akan memberi peluang kepada kumpulan elit keilmuan ini untuk memberi sumbangan kepakaran masing-masing," katanya.
"E-Academia yang diperkenalkan melalui kaedah ini akan menghubungkan semua komuniti keilmuan di IPT bagi melaksanakan agenda keilmuan masing-masing.
"Garis panduan etika penggunaan gelaran profesor dan doktor juga akan ditentukan untuk memelihara imej dan martabat golongan akademik itu," katanya. - Bernama
0 comments:
Post a Comment