Followers

Wednesday, January 6, 2010

Kabinet mahu kementerian laksana perbelanjaan berhemah

KUALA LUMPUR: Kabinet, dalam mesyuarat mingguannya hari ini memutuskan supaya semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan melaksanakan perbelanjaan berhemah terutama berhubung masalah penentuan kos pembinaan dan pewujudan sesuatu projek.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata menerusi pengamatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sesuatu projek yang menelan kos yang besar boleh dikurangkan pada tahap lebih munasabah jika dibuat perkiraan terperinci mengenai komponen dan jenis bangunan yang hendak didirikan.

"Mungkin juga tidak perlu membabitkan bahan yang keterlaluan tinggi kosnya seperti bahan yang diimport atau terlalu mengikut nasihat konsultan yang terlampau tinggi harganya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca Kabinet di sini.

Rais berkata, pada masa ini tiadasuatu sistem yang jelas untuk menentukan kos sesuatu projek, sebaliknya kebanyakan projek kerajaan bersandarkan pandangan konsultan projek.

Katanya, perkara itu dipandang serius Perdana Menteri dalam memastikan setiap projek pembinaan yang dilaksanakan adalah berkualiti dan tidak merugikan wang rakyat.

Rais berkata, Perdana Menteri juga berpandangan bahawa satu sistem penentuan kos harus diwujudkan sebagai panduan bagi penetapan kos projek pembangunan di bawah mana-mana kementerian.

"Langkah itu juga dapat memastikan mana-mana kementerian dan agensi di bawahnya tidak terlalu mengikut nasihat atau telunjuk konsultan yang dilantik dalam menentukan kos sesuatu projek yang hendak dilaksanakan," katanya.

Sehubungan itu, Rais berkata semua projek pembangunan di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan dipantau semula bagi memastikan kos pembinaan sesuatu projek di tahap munasabah dan benar-benar menepati keperluan.

"Walaupun di bawah kementerian ini projek pembangunan tidak begitu banyak, tetapi kami akan mengambil iktibar dari nasihat Kabinet itu supaya setiap projek kita yang ada.

"Misalnya di Sabah, di Kelantan dipantau semula terhadap pengisian kelengkapan dan bagaimana untuk membida atau mengisi kehendak sesuatu tender," katanya.

Dalam isu lain, Rais berkata kementerian kini sedang menyusun strategi program yang benar-benar dapat memberikan "sentuhan rakyat" dalam menjayakan konsep Gagasan 1Malaysia.

Katanya, dalam konteks itu, kementerian akan bekerjasama dengan jawatankuasa Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) bagi melaksanakan program induk 1Malaysia di seluruh negara.

"Kita mahu konsep gagasan ini dapat dirasai oleh rakyat di bawah dan tidak hanya menerusi ucapan di stadium dan padang-padang besar. Kita akan bawa ia ke kampung-kampung di mana Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau pemimpin dapat melakukan 'sentuhan rakyat'," katanya. - Bernama

0 comments: