Followers

Sunday, September 27, 2009

Tiada kematian akibat H1N1 sejak seminggu lalu

KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru akibat influenza A (H1N1) dilaporkan sejak seminggu lalu dengan angka kematian kekal 77 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Bagaimanapun beliau berkata, 45 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan 140 pesakit dibenarkan pulang.

"Ini menjadikan baki sebanyak 761 kes ILI yang sedang dirawat di 92 hospital termasuk 10 hospital swasta di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, hasil ujian makmal hanya 103 pesakit atau 14 peratus yang mendapatkan rawatan didapati positif H1N1.

Katanya 19 kes atau 18 peratus kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua kemasukan baru, manakala dua kes lagi dibenarkan keluar hari ini.

"Semua kes disahkan positif H1N1 dan sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu lapan kanak-kanak di bawah umur lima tahun, empat pesakit obesiti, tiga orang berpenyakit kronik dan dua lagi menghidapi penyakit respiratori kronik," katanya. Beliau turut mengingatkan bahawa penularan penyakit H1N1 dalam komuniti adalah masih aktif dan menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan jika mengalami simptom ILI. Maklumat dan perkembangan terkini mengenai jangkitan Influenza A (H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 dari 8 pagi hingga 5.30 petang, melalui e-mel di cprc_h1n1@moh.gov.my serta laman web kementerian iaitu di http://www.moh.gov.my. - Bernama

0 comments: