Followers

Saturday, September 12, 2009

MPP universiti Indonesia bantu jamin keselamatan

JAKARTA: Beberapa pertubuhan pelajar universiti tempatan Indonesia komited untuk turut membantu menjamin rakan mahasiswa sekuliah mereka dari Malaysia daripada sebarang ancaman oleh segelintir rakyat Indonesia.

Komitmen oleh Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM), seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universiti di Malaysia itu, dinyatakan ketika media massa tempatan heboh menyiarkan berita segelintir rakyat Indonesia telah melakukan 'sweeping' di Jalan Diponegoro di sini baru-baru ini, bagi mencari rakyat Malaysia untuk ditahan sebelum dihantar pulang.

Ketua BEM Fakulti Kedoktoran Universiti Trisakti, Gusti Agung Ahmad, berkata BEM fakultinya sedar mengenai ancaman oleh kelompok Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) itu dan kerana itu berusaha mengambil tahu mengenai keselamatan mahasiswa Malaysia di universiti itu.

"Kami sering bertanya kepada rakan-rakan dari Malaysia mengenai rakan yang lain, hanya untuk memastikan mereka diketahui berada di mana dan tidak terdedah kepada ancaman seperti itu," katanya kepada di sini, hari ini.

Beliau berkata sebagai badan yang mewakili pelajar, BEM di fakultinya tidak pernah membezakan antara mahasiswa berdasarkan negara asal mereka, sebaliknya memberi perhatian serupa kepada semua pelajar dan membantu menyelesaikan masalah mereka.

"Setakat ini pimpinan dan para pensyarah Universiti Trisakti juga sentiasa memantau perkembangan terbaru dan akan bertindak segera jika terdapat gangguan," katanya, yang menambah bahawa universiti itu pernah menurunkan sebuah poster yang dikhuatiri tidak menyenangkan pelajar Malaysia.

Wakil pemimpin badan serupa di Fakulti Perubatan Universitas Indonesia, Maha Fitra pula berkata mereka juga turut memantau keselamatan rakan-rakan dari Malaysia walaupun tidak secara langsung dan jika mengetahui adanya sebarang bentuk ancaman pasti akan segera melaporkan kepada pentadbiran universiti.

"Kami di fakulti perubatan mungkin jarang mengikuti kegiatan badan lain di luar fakulti kami tetapi dalam perkembangan terbaru ini, kami turut memberi perhatian berat," katanya.

Pemimpin pelajar Malaysia di Universiti Trisakti, Ahmad Nabieh Abqory Rahmat pula berkata sepanjang pemantauannya, tidak terjadi sebarang ancaman fizikal ke atas pelajar Malaysia di situ, lantaran pihak universiti dan mahasiswa tempatan yang memang bersahabat baik dengan pelajar Malaysia sentiasa mengambil berat.

"Kalaupun ada daripada pelajar fakulti selain kedoktoran, hanyalah berupa sindiran melalui blog dan laman web lain, yang sebahagian kami akan cuba memberi penjelasan, mengemukakan bukti dan memandu mereka ke laman web kerajaan dan berita di Malaysia. Akhirnya mereka dapat terima penjelasan itu," katanya.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Dr Junaidi Abu Bakar pula memberitahu BERNAMA selepas satu kejadian di Yogyakarta, setakat ini belum ada laporan mengenai ancaman fizikal atau sebarang tindakan kekerasan secara langsung terhadap mana-mana pelajar Malaysia.

Sementara itu, dalam satu reaksi kepada bentuk ancaman kelompok Bendera itu yang tercetus semata-mata kerana tuduhan palsu yang tersebar di media massa kononnya Malaysia mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali, beberapa pertubuhan pelajar Malaysia dan tempatan sepakat menubuhkan sebuah persatuan bersama.

Pada sebuah pertemuan muhibbah dan berbuka puasa di sini malam tadi secara spontan mereka menghasilkan kesepakatan untuk menubuhkan "Indonesia-Malaysia Student Association", ringkasnya IMSA bagi menggerakkan pelbagai kegiatan bersama untuk meningkatkan hubungan silaturrahim.

Junaidi yang turut hadir pada perjumpaan itu merestui penubuhan IMSA, yang diharapkannya menjadi jambatan meningkatkan persefahaman, beraktiviti bersama seperti dalam gerakan sukarela membantu mangsa bencana, lawatan sambil belajar dan saling menjaga hal-hal kebajikan dan keselamatan bersama.

Sementara itu, Pengarah Mara bagi Indonesia, Nor Uyon Shoib yang turut hadir, berkata Mara yang menaja lebih 1,000 mahasiswa di sini sekarang turut gembira atas inisiatif itu yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara, khasnya dalam merapatkan hubungan antara bakal pewaris kepimpinan negara masing-masing. - Bernama

0 comments: