Followers

Thursday, July 9, 2009

Sabah&Sarawak: Kerjasama pastikan pembangunan lancar

Hubungan pejabat daerah, YB penting majukan projek

KENINGAU: Jalinan kerjasama dan komunikasi di antara pejabat daerah dan wakil rakyat perlu berada pada tahap terbaik sepanjang masa bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan bagi memenuhi keperluan golongan sasar.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata kedua-dua pihak itu perlu sentiasa berhubung bagi memastikan kelancaran perjalanan setiap projek dirancang.

Keakraban sedemikian juga, katanya, akan memudahkan urusan berkaitan pembiayaan kerana kedua-dua pihak saling mengetahui perkembangan terkini perancangan kerajaan.

"Kita tidak boleh menafikan kepentingan kerjasama di antara pejabat daerah dan wakil rakyat. Jika mereka tidak berkomunikasi, segala perancangan yang sudah dibuat dengan rapi sukar dilaksanakan.

"Apabila kita tiada perancangan, sudah tentu usaha membawa pembangunan ke seluruh negeri terjejas," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata demikian selepas mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Keningau, Amat Mohd Yusof, berhubung projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di daerah itu dan yang dicadang menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) serta pakej rangsangan.

Katanya, beliau mengguna pakai pendekatan melawat dari daerah ke daerah di seluruh Sabah sejak menerajui pentadbiran negeri bagi mengetahui status pelbagai projek dan program pembangunan.

"Sehubungan itu, adalah penting bagi pegawai daerah mengetahui perkembangan dan status projek dirancang, selain yang sedang dilaksanakan.

"Pada masa sama, saya juga mengamalkan sikap terbuka dalam menerima cadangan dan buah fikiran untuk memperbaiki pelan pembangunan tertentu," katanya.

Musa berkata, kerajaan negeri turut mengalu-alukan cadangan mewujudkan Lembah Buah-Buahan di Sook, Keningau, seperti yang dilaksanakan di Selangor.

Selain membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan masyarakat setempat, beliau berkata, projek itu turut selari dengan pembangunan agropelancongan.

Musa turut melawat beberapa tapak projek di daerah itu, termasuk kawasan yang dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai perkampungan kraftangan.

0 comments: