Followers

Thursday, July 2, 2009

Argentina isytihar darurat kesihatan H1N1

BUENOS AIRES: Pihak berkuasa di ibu negara Argentina, Buenos Aires dan wilayah di sekitarnya mengisytiharkan darurat kesihatan dan menyambung penutupan sekolah sehingga Selasa depan apabila jumlah kematian akibat selesema babi (H1N1) meningkat kepada 35 orang.

Kedua-dua kawasan berkenaan mempunyai hampir separuh daripada jumlah penduduk di Argentina dan menyertai empat wilayah lain yang sudah pun mengisytiharkan darurat kesihatan di negara kedua terbesar di Amerika Latin yang mencatatkan kadar kematian terbesar selepas Mexico.

Pihak berkuasa kesihatan memberi amaran, walaupun Mexico sudah melepasi kemuncak selesema babi, kawasan di selatan menghadapi risiko memandangkan ia akan menghadapi selesema musim sejuk pula tidak lama lagi.

Datuk Bandar Buenos Aires, Mauricio Macri, berkata ibu negara berkenaan akan mengisytiharkan darurat kesihatan tetapi restoran, pusat beli-belah, pengangkutan awam dan pawagam masih dibuka.

Kenyataan daripada pejabat Macri menyatakan perintah darurat membenarkan datuk bandar menukar tarikh cuti sekolah tanpa kelulusan perundangan. Ia juga membenarkannya membuat keputusan secara bersendirian untuk menggantung kegiatan sukan dan hiburan.

"Kami membuat keputusan berkenaan untuk memanjangkan percutian sekolah dalam usaha mengurangkan risiko penyakit," kata datuk bandar pada sidang media yang turut dihadiri menteri pelajaran dan menteri kesihatan.

Cuti sekolah penggal pula dijadualkan pada 30 sehingga 31 Julai akan disambung dari 6 Julai hingga 3 Ogos ini.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Thailand semalam mengumumkan kematian dua lagi rakyatnya yang dijangkiti selesema babi menjadikan jumlah kematian keseluruhan di negara itu adalah lima. Thailand satu daripada tiga negara di rantau Asia Pasifik yang melaporkan kematian akibat selesema babi.

0 comments: