Followers

Wednesday, September 16, 2009

Sabah&Sarawak: Ikan kering rezeki sambut Aidilfitri

Masyarakat Pala'u usahakan hasil laut menerusi koperasi Pala'u

LAHAD DATU: Keluarga masyarakat Pala'u yang hidup nomad dalam perahu di Laut Sulawesi tidak ketinggalan mencari rezeki untuk membuat persiapan meraikan Aidilfitri akhir bulan ini dengan menjual pelbagai hasil laut kepada Koperasi Masyarakat Bajau Laut (Pala'u) Lahad Datu Berhad (Koperasi Pala'u) yang dilancarkan awal Ogos lalu.

Ternyata hasil laut merangkumi ikan, sotong dan kima kering serta rumpai laut segar hasil titik peluh mereka mendapat permintaan tinggi daripada pembekal bukan saja di Lahad Datu, malah di Tawau, Beaufort dan Kota Kinabalu sehingga permintaan melebihi pengeluaran.

Antara ikan dikeringkan adalah spesies tempatan seperti `bigaun', `imbo-imbo', `sabat baik', `daing poteh', dan `batu', selain jenahak, kerapu dan bilis meliputi produk kering dan kopek kering

Pengerusi Koperasi Pala'u, Ab Rosdi Sairuna, berkata produk ikan kering dijual pada harga RM10 hingga RM50 mengikut saiz dan kualiti ikan.

Katanya, hari raya tahun ini mencipta sejarah tersendiri kepada keluarga masyarakat Pala'u kerana mereka tidak perlu lagi membawa hasil tangkapan ke pasar kering yang sering terdedah kepada pembelian pada harga rendah oleh peniaga atau menjalankan sistem pertukaran barang.

"Sebaliknya, mereka mampu menjalankan perniagaan secara moden dan terancang dengan menjualnya terus ke Pelantar Pengumpulan Hasil Laut Koperasi Pala'u di tengah Laut Sulawesi, kira-kira 10 kilometer dari bandar Lahad Datu.

"Hasil laut itu kemudiannya kami bawa ke Pusat Pengumpulan dan Pembungkusan Hasil Laut Kering Koperasi Pala'u berhampiran Pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Lahad Datu sebelum dipasarkan," katanya.

Koperasi Pala'u menerima suntikan modal sebanyak RM30,000 daripada SKM untuk memudahkan operasi pengumpulan, pembungkusan dan pemasaran hasil laut meliputi ikan dan kima kering serta rumpai laut.

Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Mangsor Saad, dilaporkan berkata, pihaknya turut membantu Koperasi Pala'u menjalinkan rangkaian perniagaan dengan koperasi lain di seluruh negara untuk memudahkan pemasaran produk mereka.

Katanya, tumpuan khusus diberikan kepada masyarakat Pala'u berikutan masih ramai yang hidup nomad dalam perahu di perairan Laut Sulawesi, di sini serta tersenarai dalam Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT).

"Justeru, penubuhan koperasi ini bermatlamat membasmi kemiskinan tegar dan relatif masyarakat Pala'u serta pada masa yang sama membantu bancian penduduk dan perumahan negara untuk etnik Pala'u hidup nomad dalam perahu," katanya.

Seorang wanita Pala'u, Matahak Abalan, 48, berkata beliau mendapat maklumat mengenai pembelian hasil laut oleh Koperasi Pala'u daripada anaknya yang kebetulan menangkap ikan berhampiran pelantar pengumpulan hasil laut dan sudah lima kali menjual pelbagai spesies ikan ke situ.

"Harga belian juga amat baik yang boleh digunakan untuk membeli makanan dan pakaian anak biarpun terpaksa berhari raya dalam perahu.

"Sebelum ini, kami sering kehilangan punca pendapatan kerana tiada tempat untuk menjual hasil tangkapan, namun kini ia berubah dan mungkin inilah rahmat Ramadan," katanya dalam bahasa Pala'u.

Justeru, Koperasi Pala'u membantu etnik berkenaan memasarkan hasil titik peluh mereka yang boleh digunakan untuk menyambut hari raya sama seperti masyarakat lain di seluruh dunia.

1 comments:

Anonymous said...

Saya wakil dari syarikat PPMS berminat untuk menjadi pemborong hasil laut etnik pala'u.. so mcm mn saya nak hubungi untuk mendapatkan maklumat terperinci...