Kritikan pedas segelintir pihak jadi azimat YB menghidupkan 'pekan mati'
TAMPARULI: Kira-kira 10 tahun lalu, tiada yang boleh dibanggakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli kecuali jambatan Tamparuli selaku mercu tanda daerah kecil di Pantai Barat Sabah itu.
Malah, untuk ke daerah itu pun akan membuatkan orang ramai berfikir berkali-kali kerana kawasan dikelilingi bukit-bukau itu tidak menjanjikan sebarang keunikan yang menggamit kunjungan.
Sedekad selepas itu, keadaan sudah jauh berubah. Pelbagai projek pembangunan yang menjurus kepada penyediaan kemudahan asas untuk penduduk kawasan itu rancak dilaksanakan kerajaan.
Hakikatnya, tidak siapa menyangka keadaan itu boleh berlaku dengan pantas sehingga mengubah wajah Tamparuli sebagai antara kawasan yang pesat membangun di Sabah.
Ini kerana sebelum ini, Tamparuli diakui antara kawasan yang jauh ketinggalan dalam pembangunan dan sukar dimajukan dalam jangka masa singkat, selain memerlukan peruntukan kewangan besar bagi tujuan itu.
DUN Tamparuli diwakili Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Jahid Jahim, yang baru memasuki penggal kedua sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
Kawasan itu mempunyai lebih 45,000 penduduk dengan jumlah pengundi lebih 15,000 orang.
Perubahan positif di Tamparuli ketara berlaku sejak Jahid menjadi wakil rakyat menerusi pelbagai projek pembangunan demi manfaat rakyat.
Buktinya, perubahan pesat boleh disaksikan yang merangkumi pekan dan 67 kampung dalam DUN berkenaan.
Pekan Tamparuli yang menjadi nadi utama perkembangan ekonomi daerah itu dan penduduk setempat pernah digelar `pekan mati' lebih 10 tahun lalu selepas kegiatan ekonominya mengharungi zaman suram.
Bagaimanapun, Jahid tidak berputus asa dan yakin keadaan boleh diubah.
"Apabila diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat, ia bermakna rakyat meletakkan tanggungjawab dan amanah besar di bahu saya. Sebagai pemimpin, saya mesti memenuhi tuntutan itu.
"Kekurangan paling ketara ialah projek pembangunan dan bertitik tolak dari situ, saya cuba penuhi keperluan masyarakat setempat. Ia bukan kerja mudah, lebih-lebih lagi semuanya membabitkan peruntukan kewangan.
"Alhamdulillah, rakyat memahami bahawa perubahan tidak boleh berlaku sekelip mata. Sedikit demi sedikit, saya dan pemimpin lain bersama memajukan Tamparuli dengan memberi tumpuan terhadap keperluan asas," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Kritikan pedas segelintir pihak yang kurang senang dengan kegigihan Jahid membawa perubahan kepada kawasan diwakilinya tidak pernah dianggap sebagai patah semangat berjuang, sebaliknya cenderung menjadi azimat untuk meneruskan keazaman membangunkan Tamparuli.
Semua yang berlaku itu petanda jelas bahawa Tamparuli yang pernah beberapa kali bertukar wakil rakyat akan menikmati lebih banyak kemajuan di bawah kepemimpinan Jahid.
Beliau berkata, antara projek berjaya dilaksanakan di Tamparuli setakat ini ialah penurapan hampir semua jalan kampung, pembinaan Dewan Muhibbah, jambatan gantung, titi kayu dan penyaluran bekalan elektrik serta air bersih ke setiap rumah penduduk.
"Di pekan pula, kemudahan asas sedia ada jambatan Tamparuli dan padang bola sepak yang dulunya uzur sudah dinaik taraf untuk keselesaan pengguna.
"Selain itu, kita juga menyediakan Pusat Giat Belia Tamparuli, Rumah Kebudayaan Tamparuli dan pembinaan gerai bagi menempatkan peniaga hilang premis jualan buat sementara selepas kedai mereka terbakar, tahun lalu.
"Kos keseluruhan projek pembangunan di Tamparuli menjangkau RM30 juta dan saya beri jaminan setiap sen diterima akan dimanfaatkan untuk faedah rakyat," katanya.
Kemudahan lain yang tersenarai dalam pelaksanaan ialah pembesaran pasar awam Tamparuli, pembinaan beberapa unit kedai baru serta penyusunan semula gerai di kawasan Tamu Rabu Tamparuli.
Kesungguhan Jahid itu menjadikan pekan Tamparuli kini berubah menjadi bandar mini serba lengkap dengan kemudahan asas seperti bank, hospital, sekolah, kafe siber, pusat hiburan dan rumah ibadat pelbagai kaum.
Mengenai pendekatannya yang kerap dilihat menemui masyarakat di peringkat akar umbi dan melawat kampung untuk mengenal pasti permasalahan penduduk, beliau berkata, langkah sedemikian membolehkannya mengetahui lebih mendalam kekurangan yang ada.
"Apabila dapat bersemuka dengan rakyat, saya lebih memahami keperluan dan kehendak mereka, selain mendapat gambaran sebenar. Jika terlalu bergantung kepada maklumat menerusi pihak ketiga, mungkin tidak semua dilaporkan.
"Saya dipilih oleh rakyat, maka saya harus bekerja untuk rakyat dan berdamping dengan mereka. Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, sering mengingatkan wakil rakyat jangan menunggu musim kempen pilihan raya baru nampak kelibat melawat kawasan dan saya pegang peringatan itu.
"Sementara masih diperlukan, saya akan terus memberikan yang terbaik untuk penduduk Tamparuli. Rakyat di kampung juga berhak menikmati kemajuan dan pembangunan, justeru saya berjanji untuk berbakti selagi mampu," katanya.
PROFIL Datuk Jahid Jahim.
Tarikh Lahir: 29 Mei 1958.
Asal: Kampung Rangalau Lama, Kiulu, Tuaran.
Pekerjaan: Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli.
Kelulusan: BA Hons (Sociology) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Isteri: Datin Malianah Ugau.
Anak: 3 lelaki.
Jawatan dalam parti: Ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tamparuli dan Ketua Pemuda PBS Pusat.
Latar belakang politik:
0 comments:
Post a Comment