Followers

Wednesday, September 16, 2009

Ikut cadangan waktu perjalanan Plus: Shaziman

PETALING JAYA: Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dinasihatkan supaya mengikuti cadangan waktu perjalanan yang disediakan oleh Plus Expressways Bhd (Plus) bagi memastikan kelancaran trafik semasa cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, berkata jadual waktu perjalanan itu adalah hasil inisiatif Plus yang diiktiraf oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai jadual perjalanan itu boleh diperolehi dengan melayari www.plus.com.my atau menghubungi Plusline di 1-800-880000.

"Pengguna juga hendaklah memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak kemalangan jalan raya," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Kawalan Trafik (TMC) Plus, Subang dekat sini hari ini.

Pusat kawalan trafik yang dilengkapi Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) mengawasi 1,000 kilometer lebuh raya di Malaysia termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya ELITE, Lebuhraya Linkedua, Lebuhuraya Seremban-Port Dickson dan Lebuhraya Butterworth-Kulim.

Shaziman berkata, pengguna jalan raya yang terlibat dalam kemalangan pula dinasihatkan supaya menggunakan perkhidmatan kereta tunda yang disediakan oleh Plus untuk mengelak caj yang tinggi oleh pengusaha kereta tunda lain.

Katanya, Plus mempunyai lebih 130 pasukan Plus Ronda di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan yang berperanan menunda kereta, membaiki kerosakan kecil kenderaan dan mengawal aliran lalulintas terutamanya ketika berlakunya kemalangan.

Menurutnya, Plus juga akan bertindak menutup lokasi kemalangan dengan papan tanda atau kain untuk menggelak pengguna memperlahankan kenderaan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Tujuan Plus menutup lokasi kemalangan itu adalah kerana kebiasaannya pengguna jalan raya gemar berhenti atau memperlahankan kenderaan mereka untuk melihat kemalangan tersebut," katanya.

Shaziman berkata, Plus juga akan menempatkan kira-kira 400 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di kawasan-kawasan rehat dan plaza-plaza tol. - Bernama

0 comments: