Followers

Wednesday, September 16, 2009

APMM rampas gula dalam feri ke Nunukan

TAWAU: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Tawau mematahkan cubaan menyeludup keluar 304 kilogram (kg) gula pasir menggunakan feri penumpang ke Indonesia semalam.

Pengarah Operasi Maritim Tawau, Amran Daud, berkata semua gula berkenaan dirampas daripada tiga buah feri penumpang yang dalam perjalanan ke Nunukan, Indonesia kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya, operasi pemeriksaan ke atas tiga buah feri berkenaan mendapati ketiga-tiga feri berkenaan masing-masing membawa 172kg, 118kg dan 14kg barangan kawalan berkenaan.

Bagaimanapun, Amran berkata tiada sebarang tangkapan dibuat kerana tidak ada penumpang mengaku pemilik gula berkenaan dan feri dibenarkan meneruskan perjalanan selepas pemeriksaan dijalankan.

Katanya, rampasan kali ini adalah kejayaan ketiga APMM sepanjang Ogos lalu, menjadikan jumlah kesemua gula yang dirampas sebanyak 1,104kg bernilai RM1,711.20.

Amran berkata, APMM akan meneruskan rondaan dan memperketatkan pemeriksaan di perairan Tawau bagi mencegah sebarang penyeludupan barangan kawalan terutama pada musim perayaan ini.

0 comments: