KOTA KINABALU: Hanya satu laluan dibuka untuk kenderaan di KM65, Jalan Kota Kinabalu-Ranau yang terjejas akibat tanah runtuh awal pagi ini, kata Jurutera Eksekutif Jabatan Kerja Raya Kota Kinabalu, Vincent Chua.
"Kami terpaksa membuat tembok untuk memerangkap sisa runtuhan agar tidak menutupi keseluruhan jalan.
"Tanah dan batu masih menuruni bukit kerana hujan sejak tengah hari tadi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada kejadian kira-kira pukul 1 pagi, Chua berkata tanah runtuh setinggi 50 meter dan lebar 10 meter yang berlaku berikutan hujan lebat semalam telah menutupi kawasan jalan raya sepanjang 100 meter.
Katanya, sekiranya keadaan tanah runtuh itu bertambah buruk, satu laluan alternatif tidak jauh dari kawasan itu akan dibuka.
Bagaimanapun, beliau berkata laluan alternatif itu hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda. - Bernama
0 comments:
Post a Comment