LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata negara anggota Asean perlu mempunyai permuafakatan ketika membangunkan kekuatan ketenteraan negara masing-masing bagi memastikan keamanan serantau terjamin.
Beliau berkata, jika terdapat negara menunjukkan minat dan giat berusaha membangunkan kekuatan tenteranya, pasti langkah sama akan diikuti negara lain yang berjiran.
"Dalam hal ini perlu ada perjanjian antara negara. Jika orang lain ada buat (peningkatan kekuatan ketenteraan) kita pun kena buat.
"Jangan kita kurangkan kemampuan, tapi orang lain buat, kita akan jadi sasaran," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sempana Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2009 (Lima 09, di sini, hari ini.
Dr Mahathir diminta mengulas penyertaan Singapura pada Lima 09 termasuk memperagakan helikopter penyerang Apache AH-64D Longbow pada pertunjukan udara.
Helikopter penyerang dua tempat duduk yang dicat serba hitam untuk kelicikan operasinya pada waktu malam, mempunyai reputasi menggerunkan berikutan aksinya ketika Perang Teluk Pertama dan Perang Teluk Kedua.
"Sambutan daripada syarikat tempatan dan luar negara masih bagus. Ini satu kejayaan membanggakan apabila Lima mampu memasuki edisi ke-10 dalam sejarah penganjurannya," katanya.
0 comments:
Post a Comment