KUALA LUMPUR: Syarikat automobil mestilah menaikkan taraf masing-masing dan mencipta inovasi, jika tidak mahu segera menemui kesudahan yang mengaibkan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu menyebut sebagai contoh jenama-jenama lama yang terkenal tetapi kini telah lenyap, terutamanya kereta-kereta British.
"Kita tidak lagi nampak kereta Austin dan Morris buatan Britain, Borgward buatan Jerman serta Studebaker dan Hudson buatan Amerika, dan banyak lagi yang lain," katanya dalam ucaptama khasnya pada Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 di sini tengah hari ini.
Dengan begitu banyak inovasi dirangkumkan ke dalam sebuah kenderaan, kata Dr Mahathir, model dan jenama yang menawarkan kilas yang paling berkuasa, kelajuan yang lebih tinggi dan pengendalian jalan raya yang baik, adalah model dan jenama yang laris jualannya.
Pada masa sama, ada juga kereta istimewa dari jenama terkenal dan dijual dalam jumlah terhad setiap tahun tetapi masih boleh terus bertahan disebabkan oleh ciri-cirinya yang istimewa, katanya.
Dr Mahathir berkata sukar bagi sesebuah syarikat untuk bertahan jika ia tidak laku dalam pasaran dunia.
"Meskipun jenama dan syarikat mungkin sudah lenyap, namun penggunaan kereta sebagai pengangkutan peribadi sentiasa ada disebabkan oleh permintaan daripada orang ramai.
"Tidak kira sebagus mana sistem pengangkutan awam sekalipun, kereta tetap akan digunakan pada masa akan datang.
"Malah orang sanggup menyewa rumah dan berpuas hati dengan keadaan itu, tetapi tiada siapapun mahu menyewa kereta kecuali bagi kegunaan sementara ketika berada di tempat lain," katanya.
Dr Mahathir meramalkan penyusutan bilangan peserta industri automotif tetapi, katanya, industri itu sendiri tidak akan lenyap.
Katanya hanya yang agresif dan yang berkemampuan menjalankan penyelidikan dan pembangunan besar-besaran akan kekal.
Bagi Malaysia, Dr Mahathir berkata negara mempunyai terlalu banyak kereta dan harganya pula terlalu rendah.
Beliau menegaskan bahawa pada 1985 semasa Proton dilancarkan, jualan kenderaan tahunan hanyalah kira-kira 50,000 tetapi kini jumlahnya ialah 570,000 setahun.
"Oleh itu, kita perlu menaikkan harga melalui cukai yang tinggi bagi mengurangkan jumlah kereta," kata Dr Mahathir, yang juga penasihat kepada Proton Holdings Bhd, pembuat kereta nasional.
Beliau berkata bilangan kereta boleh dikurangkan dengan sistem transit aliran massa elektrik dan kereta api berkuasa elektrik. - BERNAMA
Thursday, December 2, 2010
Syarikat automobil mesti naik taraf, cipta inovasi: Mahathir
Posted by Irwan at 7:49 PM 0 comments
Labels: berita
Persatuan mahu gaji pemandu bas diselaras RM1,200 sebulan
ALOR SETAR: Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) hari ini meminta kerajaan menimbang untuk menetapkan gaji minimum semua pemandu bas pada RM1,200 sebulan.
Setiausahanya Sa'adan Man berkata, ini kerana kadar gaji sedia ada bukan sahaja tidak sama, tetapi juga sangat rendah.
"Gaji yang terlalu rendah menyebabkan pemandu bas khususnya bas ekspress bergantung kepada komisen perjalanan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas laporan mengenai usaha Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia mengkaji gaji pemandu bas ekspress di negara ini, beliau turut mencadangkan agar kajian itu mencakupi semua pemandu bas.
"Sebelum ini nasib kami tidak mendapat perhatian serius daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan walaupun perkhidmatan ini wujud puluhan tahun. Masanya telah tiba perkhidmatan kami dihargai dan dihormati semua pihak," katanya.
Isnin lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata pihaknya dan Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji aspek gaji pemandu bas ekspress yang dikatakan terlalu rendah sehingga menyebabkan mereka bergantung kepada komisen perjalanan.
Keadaan itu, katanya, mengakibatkan pemandu bas terdedah kepada risiko kemalangan kerana keletihan mengejar perjalanan. - BERNAMA
Posted by Irwan at 6:00 PM 0 comments
Labels: berita
PM pulang ke tanah air dari Kemboja
SUBANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pulang ke tanah air hari ini selepas menghadiri Persidangan Parti-parti Politik Asia Antarabangsa (ICAPP) ke-6 selama dua hari di Kemboja.
Pesawat khas membawa beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini pada 3 petang.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Najib diberi penghormatan berucap kepada 353 pemimpin politik dari 53 negara di rantau Asia-Pasifik.
ICAPP, forum membabitkan parti-parti memerintah, pembangkang dan bebas di rantau ini, dibentuk pada tahun 2000 bertujuan antara lain untuk meningkatkan kerjasama dan persefahaman antara mereka.
Delegasi Malaysia termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Nik Mohamed Zawawi Salleh. - BERNAMA
Posted by Irwan at 6:00 PM 0 comments
Labels: berita
Malaysia tidak akan ubah dasar kadar faedah: Zeti
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan mengubah dasar kadar faedahnya buat masa ini meskipun dengan kenaikan mengejut kadar faedah Thailand semalam.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata kadar faedah negara kini berada pada paras yang bersesuaian.
Bank Pusat Thailand semalam mengejutkan pasaran kewangan dengan menaikkan pendasar kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas kepada dua peratus dan berkata akan terdapat lagi langkah yang lebih ketat untuk mengekang inflasi, sekali gus menolak naik baht.
"Berdasarkan kepada penilaian, kadar faedah kita berada pada paras yang sesuai pada masa ini jika dilihat kepada tinjauan pertumbuhan dan inflasi," kata beliau kepada pemberita selepas jamuan tengah hari Perniagaan CEO anjuran Dewan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.
Zeti ditanya sama ada Malaysia akan mengubah dasar kadar faedahnya selepas langkah Thailand menaikkan kadar faedahnya.
Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya yang lalu, BNM mengambil keputusan mengekalkan kadar dasar semalamannya pada 2.75 peratus.
Mengenai tinjauan untuk Bank Islam mega, Zeti berkata pengumuman akan dibuat lewat bulan ini.
"Terlalu awal untuk mengulasnya sekarang. Ia masih lagi dalam jadual kami untuk membuat pengumumam tetapi kami tidak boleh nyatakan bila," katanya. - BERNAMA
Posted by Irwan at 5:59 PM 0 comments
Labels: berita