Followers

Friday, September 24, 2010

Singapura berterima kasih kepada Malaysia kerana hantar balik Mas Selamat

SINGAPURA: Singapura berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menghantar balik individu yang disyaki pemimpin rangkaian pengganas Jemaah Islamiah (JI), Mas Selamat Kastari, yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Malaysia sejak awal tahun lalu.

Kementerian Dalam Negeri republik itu menyampaikan penghargaan tidak terhingga Singapura kepada rakan sejawatannya, pasukan Cawangan Khas dan Tugas Khas Malaysia di atas bantuan mereka berhubung penahanan serta penghantaran balik Mas Selamat ke negara berkenaan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berikutan pengumuman polis Malaysia berhubung pembebasan Mas Selamat hari ini, kementerian tersebut berkata penahanan serta penghantaran balik Mas Selamat menggambarkan kerjasama erat antara agensi keselamatan Malaysia dan Singapura yang terjalin sekian lama, selain berkhidmat dengan cemerlang kepada kedua-dua negara.
Kementerian itu berkata Mas Selamat telah diserahkan kepada Singapura hari ini oleh pihak berkuasa Malaysia, namun tidak pula mendedahkan cara, masa dan tempat penyerahan pemimpin JI itu dilakukan.

Kementerian berkenaan juga berkata Mas Selamat telah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri Singapura dan sedang disiasat.

Mas Selamat, 49, telah menyeludup keluar dari Pusat Tahanan Jalan Whitley pada 27 Februari 2008 ketika ditahan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura kerana didakwa mendalangi satu plot merampas sebuah kapal terbang yang akan digunakan untuk merempuh Lapangan Terbang Changi di negara itu.

Pihak berkuasa Singapura terpaksa melancarkan satu gerakan memburu secara besar-besaran, iaitu yang terbesar dalam sejarah republik berkenaan, dengan mengerahkan ribuan anggota keselamatan dari pelbagai agensi perkhidmatan bersenjatanya selama berbulan-bulan, dalam percubaan mengesan Mas Selamat, namun gagal.
Bagaimanapun, setahun kemudian iaitu pada 1 April 2009, Mas Selamat didapati bersembunyi di Johor, dan telah ditangkap oleh pasukan Cawangan Khas Malaysia berikutan kerjasama erat antara agensi keselamatan kedua-dua negara.

Dia kemudian ditahan di Malaysia di bawah ISA dan dihantar balik ke Singapura hari ini atas arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang telah membatalkan perintah tahanan Mas Selamat pada 10.30 pagi tadi.

Dilahirkan di Singapura, Mas Selamat pernah melarikan diri pada 2001, ketika pihak berkuasa negara itu melancarkan satu operasi menahan rakyatnya yang disyaki mengganggotai JI, tetapi dia ditangkap polis Indonesia di Pulau Bintan pada 2006, sebelum dihantar balik ke republik itu. - BERNAMA

Usharani serah telefon bimbit kepada polis sebagai bukti

KUALA LUMPUR: Isteri ahli perniagaan India yang hilang di negara ini sejak 18 Januari lalu, S Usharani hari ini menyerahkan telefon mudah alihnya sebagai bahan bukti kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, untuk siasatan lanjut.

Usharani, 24, mendakwa telefon mudah alih jenis Nokia itu mengandungi rakaman perbualan antaranya dengan peguam yang juga suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan seorang individu yang mendakwa pegawai polis.
Katanya, tujuan beliau menyerahkan telefon mudah alih dan memorandum berhubung bukti itu bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan dalam tempoh terdekat.
“Saya sepatutnya mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pagi ini untuk menyerahkan bahan bukti, tetapi dimaklumkan beliau terpaksa menghadiri satu urusan penting.

“Bagaimanapun, Ismail dalam satu surat yang dikeluarkan memaklumkan akan menemui saya pada tarikh lain,” katanya selepas penyerahan bahan bukti itu di Bukit Aman, hari ini.

Malaysia serah Mas Selamat kepada Singapura

KUALA LUMPUR: Suspek pengganas, Mas Selamat Kastari, yang ditangkap di Malaysia tahun lalu selepas melarikan diri dari pusat tahanan Singapura, akan diserahkan kepada republik itu.

“Kami dalam proses menyerahkan Mas Selamat kepada pihak berkuasa Singapura," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Mas Selamat yang didakwa sebagai ketua Jemaah Islamiyah (JI) Singapura dan mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda, ditahan pada April tahun lalu.
Beliau dipercayai bersembunyi di Malaysia sejak Februari 2008 selepas beliau melarikan diri dari pusat tahanan di Singapura. - AFP

Pastikan sumber maklumat daripada Internet tepat, sahih: Muhyiddin

KOTA MARUDU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak supaya memastikan sumber maklumat yang diperolehi menerusi internet datang daripada sumber tepat dan sahih.
Beliau berkata, ia kerana peningkatan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) boleh mewujudkan persekitaran negatif, termasuk ancaman ke atas guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap merasmikan program Kafe Siber di Sekolah peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek di sini, sebentar tadi.