Followers

Wednesday, September 16, 2009

Sekolah cuti khas Jumaat ini

PUTRAJAYA: Kerajaan memberikan cuti khas Jumaat ini kepada semua sekolah sempena Aidilfitri, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata pemberian cuti khas itu melibatkan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran.

"Kabinet membuat keputusan tersebut dalam mesyuaratnya hari ini bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga bercuti di kampung halaman masing-masing dan mengelakkan kesesakan jalan raya," katanya dalam kenyataan media.

Berikutan keputusan Kabinet itu, surat kementerian berkaitan cuti tambahan sempena hari raya sebelum ini adalah terbatal. - Bernama

Hubungan Malaysia-Indonesia dinamik: Da'i Bachtiar

KUALA LUMPUR: Hubungan antara Indonesia dan Malaysia yang sering "turun dan naik" menggambarkan hubungan dinamik antara kedua-dua negara, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar.

"Dalam kehidupan pun dinamik. Begitu juga dalam rumahtangga, ada juga tercetus pergaduhan," katanya kepada pemberita di Universiti Malaysia di sini hari ini ketika menghadiri majlis penajaan buku "Setengah Abad Hubungan Malaysia dan Indonesia" oleh Maybank.

Katanya, apabila sesuatu konflik tercetus, pemimpin kedua-dua negara perlu mencari ikhtiar untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Yang penting ialah bagaimana kedua-dua pihak ini akan meningkatkan hubungan antara rakyat dan hubungan persahabatan ini akan dibangunkan dengan lebih rapat lagi," katanya.

Naib Canselor UM, Datuk Dr Ghauth Jasmon, berkata jalinan hubungan antara Malaysia dan Indonesia boleh diwujudkan melalui bidang akademik, antaranya melalui penerbitan buku "Setengah Abad Hubungan Malaysia dan Indonesia".

Buku itu adalah koleksi sebahagian besar kertas kerja yang ditulis pakar akademik kedua-dua negara semasa persidangan 50 tahun hubungan Malaysia dan Indonesia pada tahun 2007.

Untuk permulaan, sebanyak 3,000 naskhah akan dicetak dan diagihkan di sekolah-sekolah dan perpustakaan utama di seluruh negara sebelum diagihkan ke Indonesia.

Ghauth juga berkata, UM akan membuka pejabat cawangannya di Jakarta selepas Hari Raya untuk menarik minat lebih ramai pelajar Indonesia untuk melanjutkan pelajaran di universiti itu.

Katanya, ketika ini UM mempunyai 700 pelajar dan 15 pensyarah yang berasal dari Indonesia dan mereka juga memainkan peranan penting kepada universiti itu terutamanya dalam bidang penyelidikan.

Pejabat serupa akan juga dibuka di Dubai. - Bernama

APMM rampas gula dalam feri ke Nunukan

TAWAU: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Tawau mematahkan cubaan menyeludup keluar 304 kilogram (kg) gula pasir menggunakan feri penumpang ke Indonesia semalam.

Pengarah Operasi Maritim Tawau, Amran Daud, berkata semua gula berkenaan dirampas daripada tiga buah feri penumpang yang dalam perjalanan ke Nunukan, Indonesia kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya, operasi pemeriksaan ke atas tiga buah feri berkenaan mendapati ketiga-tiga feri berkenaan masing-masing membawa 172kg, 118kg dan 14kg barangan kawalan berkenaan.

Bagaimanapun, Amran berkata tiada sebarang tangkapan dibuat kerana tidak ada penumpang mengaku pemilik gula berkenaan dan feri dibenarkan meneruskan perjalanan selepas pemeriksaan dijalankan.

Katanya, rampasan kali ini adalah kejayaan ketiga APMM sepanjang Ogos lalu, menjadikan jumlah kesemua gula yang dirampas sebanyak 1,104kg bernilai RM1,711.20.

Amran berkata, APMM akan meneruskan rondaan dan memperketatkan pemeriksaan di perairan Tawau bagi mencegah sebarang penyeludupan barangan kawalan terutama pada musim perayaan ini.

Filipina setuju broker keamanan antarabangsa

MANILA: Filipina berkata ia bersetuju membenarkan broker keamanan antarabangsa terbabit dalam rundingan dengan pemisah Islam dalam perjuangan berusia berdekad-dekad di selatan negara itu.

Kerajaan Filipina berkata, persetujuan untuk membenarkan orang tengah dari Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) adalah satu pencapaian dalam usaha mencari keamanan.

Menurutnya, Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Moro, kumpulan pemisah islam terbesar negara, bersetuju kepada Kumpulan Hubungan Antarabangsa (ICG) semalam dalam rundingan saluran belakang di Malaysia malam tadi.

Manila mengumumkan awal semalam bahawa ia menjangkakan rundingan damai dengan MILF akan bersambung semula selepas Ramadan berakhir.

MILF sudah lama meletakkan kehadiran ICG untuk memantau rundingan dan pelaksanaan perjanjian sebagai syarat untuk kembali ke meja rundingan. - AFP