Followers

Thursday, June 4, 2009

Sabah & Sarawak: Kontraktor sambil lewa punca projek gagal siap

KOTA KINABALU: Sabah dikesan tidak terkecuali daripada masalah projek kecil gagal disiapkan mengikut jadual dan tidak menepati piawaian ditetapkan kerajaan berikutan sikap sambil lewa kontraktor kelas F sambilan.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) cawangan Sabah, Awadnir Matanggal, mendakwa masalah itu tidak berlaku sekiranya dijayakan kontraktor sepenuh masa yang mahukan hasil kerja berkualiti untuk memastikan terus mendapat tender bagi jangka panjang.

Beliau berkata, laporan itu diterima daripada beberapa pegawai kanan kerajaan yang tidak berpuas hati dengan mutu kerja kontraktor yang mendapat tender projek di bawah pentadbiran jabatan mereka.

Bagaimanapun, katanya, kontraktor terbabit dikenal pasti bukan anggota PKMM cawangan Sabah.

Sehubungan itu, beliau berkata, PKMM Sabah menyokong langkah Kementerian Kerjaraya menetapkan syarat supaya kontraktor kelas F yang mahu mendapatkan projek pembinaan kerajaan adalah golongan sepenuh masa bagi memastikan kualiti kerja.

"Langkah itu akan membantu mengatasi masalah projek kecil yang gagal disiapkan mengikut jadual dan tidak menepati piawaian yang turut berlaku di Sabah," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Ahad lalu, Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata negara mempunyai kira-kira 31,000 kontraktor kelas F ketika ini dan mereka seharusnya menjadikan bidang itu sebagai bidang utama dan bukan sumber pendapatan sambilan.

Katanya, bilangan kontraktor kelas F yang terlalu ramai itu perlu dikecilkan dengan hanya mengekalkan kontraktor sepenuh masa dan benar-benar serius melakukan kerja mereka.

Awadnir berkata, PKMM Sabah menyokong cadangan pengecilan jumlah kontraktor yang kini keseluruhannya 45,000 orang di seluruh negara dengan cara menubuhkan konsortium dan bergabung.

Menerusi sistem itu, katanya, mereka bukan saja mampu menyiapkan projek mengikut jadual dan spesifikasi, malah menyelamatkan kontraktor kecil kurang modal daripada gulung tikar.

"Saya yakin kontraktor kecil di Sabah tiada halangan menubuhkan konsortium dan bergabung untuk menjayakan sesuatu projek. Langkah itu juga tidak menjejaskan pendapatan kontraktor kecil sepenuh masa," katanya.

Sabah & Sarawak: Peniaga usah terjerat pujukan along

KOTA KINABALU: Golongan peniaga dan penjaja kecil diingat supaya mengelak daripada perangkap tawaran ceti haram atau along yang didapati semakin hilang rasa perikemanusiaannya.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah, Senator Datuk Armani Mahiruddin, berkata cara along meminta bayaran balik hingga mengancam keselamatan peminjam dan ahli keluarga mereka perlu dijadikan pengajaran.

"Paparan di media sejak kebelakangan ini memadai untuk menimbulkan rasa gerun kita terhadap perangkap along selaku penindas masyarakat di zaman moden.

"Jangan jadikan along sebagai `bank segera' jika di akhirnya kita dan keluarga menanggung akibat jika gagal membayar hutang," katanya di sini, kelmarin.

Beliau berkata, ada segelintir along dikesan memberi perhatian terhadap peniaga Bumiputera dengan menampal pelbagai iklan berhampiran premis perniagaan sasaran.

Walaupun tawarannya dianggap menarik, Armani berkata, peniaga dan penjaja kecil Bumiputera wajar membuat pinjaman daripada institusi yang diiktiraf kerajaan.

"Kerajaan menyediakan pelbagai dana dan bantuan bagi kemudahan peniaga kecil. Prosedurnya mungkin lebih rumit tetapi sekurang-kurangnya ia dijamin dan selamat.

"Ada along yang mengambil kesempatan kegawatan ekonomi sebagai `umpan' menarik lebih ramai mangsa berhutang.

"Pinjamannya sedikit tetapi di akhirnya mangsa perlu membayar jauh lebih tinggi kerana faktor faedah," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta agensi seperti Tekun dan Mara serta institusi kewangan mencari penyelesaian mudah bagi menyalur pinjaman kepada peniaga dan penjaja kecil-kecilan supaya tidak beralih kepada along.

Kes pertama H1N1 dikesan di Saudi

RIYADH: Arab Saudi mengesahkan kes pertama selesema babi di negara itu, membabitkan jururawat Filipina, semalam.

Menteri Kesihatan, Abdullah al-Rabeeah, berkata wanita terbabit tiba dari Filipina dan menunjukkan simptom penyakit itu pada Isnin.

“Selepas dikuarantin, ujian mengesahkan dia dijangkiti virus H1N1,” katanya.

Penumpang lain kini dicari untuk diperiksa. - Agensi

Al-Fatihah

Al Fatihah kepada mak 2a sayag yg telah pergi buat selama2nya.. Sama-sama kita mendoakan Al fatihah dan mudah-mudahan beliau ditempatkan si samping Allah S.W.T. Amin..