Followers

Showing posts with label kediaman. Show all posts
Showing posts with label kediaman. Show all posts

Tuesday, October 12, 2010

PM mahu pangkalan data lengkap keadaan setiap kampung

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mahu satu pangkalan data yang kemas kini mengenai keadaan setiap kampung diwujudkan untuk membantu kerajaan merancang dan melaksanakan projek tepat bagi setiap kawasan.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Sunday, May 30, 2010

Satu lagi positif H1N1 di Perak

KUALA LUMPUR: Satu lagi kes disahkan positif Influenza A (H1N1)di Perak daripada dua laporan kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI) di negeri itu menjadikan jumlah terkumpul kes berkenaan kini 14,804 di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata jumlah kes ILI yang masih dirawat di hospital seluruh negara adalah 589 kes dengan 49 daripadanya disahkan positif H1N1.

"Lima daripada enam kes H1N1 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah individu yang mempunyai faktor risiko," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata tiada kematian baru direkodkan dengan jumlah kematian kekal kepada 87 kes.

Dr Mohd Ismail turut mengingatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah pencegahan berikutan jangkitan H1N1 masih aktif dalam negara seperti juga di kebanyakan negara lain.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus itu seperti fasiliti kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan pelalian kepada kumpulan berisiko serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari lawan web http://www.moh.gov.my atau http:h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan dengan menelefon 03-88810200/300. - Bernama

Sunday, May 9, 2010

Tambah rumah bumiputera




NAJIB Tun Razak memukul gong sebagai tanda perasmian Konvensyen Ekonomi Melayu Pulau Pinang di Bukit Mertajam semalam. – Mingguan/Sazali Che Din


BUKIT MERTAJAM 8 Mei – Kerajaan akan menambah peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk membina lebih banyak perumahan kos rendah dan sederhana yang mampu dimiliki golongan bumiputera di Pulau Pinang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, langkah tersebut wajar memandangkan tahap pemilikan rumah oleh orang Melayu terutamanya di lokasi strategik di negeri ini masih terlalu rendah.
Serentak itu katanya, kerajaan juga akan menyalurkan dana untuk yayasan sedia ada di Pulau Pinang untuk membantu meningkatkan penyertaan dan keupayaan orang Melayu dalam bidang ekonomi.
‘‘Kalau ada tanah, kita sanggup tambah peruntukan untuk membina rumah kos rendah atau kos sederhana supaya orang Melayu juga mampu memiliki rumah.
‘‘Jadi dalam RMK-10 nanti, peruntukan ini akan kita tambah,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Ekonomi Melayu Pulau Pinang di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Zainal Abidin Osman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi Sekretariat Ekonomi UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr. Norraesah Mohamad.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada 30 peratus kuota peruntukan perumahan untuk golongan bumiputera, hanya 13 peratus yang mampu dibeli oleh golongan itu di Pulau Pinang.
‘‘Melihat kepada angka-angka ini, masih banyak yang tidak mampu.
“Justeru, kita perlu sediakan rumah yang mampu dibeli oleh orang Melayu di tempat-tempat tertentu,” tambahnya.
Perdana Menteri turut mengesyorkan supaya tumpuan diberi kepada usaha memberi latihan kemahiran kepada golongan muda terutamanya yang tidak dapat melanjutkan pengajian selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dengan kemahiran katanya, golongan itu mampu membina keupayaan untuk menceburi bidang lain sekali gus membantu mewujudkan persekitaran ekonomi orang Melayu yang lebih baik pada masa depan.
‘‘Kita tidak mahu anak-anak kita keluar setakat SPM sahaja dan akhirnya ramai yang bekerja kilang kerana ini tidak membantu mereka membina keupayaan untuk berjaya.
‘‘Kalau setakat SPM, kita tidak akan kemana-mana. Sebab itu, kita mahu lebih banyak anak-anak kita melanjutkan pengajian atau setidak-tidaknya menguasai pelbagai kemahiran,” ujarnya.

Sunday, April 5, 2009

Kristal pelengkap hiasan dalaman


Candeliar kristal lambang kemewahan.

Hiasan kaca bermutu tinggi boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti flora, fauna, semula jadi dan dekoratif

KEBELAKANGAN ini, ramai yang memilih menjadikan kristal sebagai barang perhiasan diri dan aksesori pelengkap untuk tas tangan dan kasut.

Malah, kebanyakan fesyen pakaian turut menjadikan kristal sebagai aksesori dan hiasan yang berkerlipan memikat mata sesiapa saja yang memandang.

Namun, sebelum fungsi kristal itu berubah ke bidang fesyen dan aksesori perhiasan diri, kaca bermutu tinggi berkenaan sebenarnya lebih dulu menjadi hiasan dalaman.

Sejak berkurun dulu, kristal popular sebagai barang bernilai tinggi dan hanya boleh dimiliki golongan atasan. Hierarki masyarakat ketika itu menunjukkan taraf hidup golongan atasan saja memungkinkan kehadiran kristal sebagai penyeri rumah mereka.

Kini, sesuai dengan perkembangan masa dan teknologi yang bersifat menyeluruh membuatkan sesiapa pun mampu memiliki kristal.

Kristal berbentuk hati dengan sepasang burung sesuai dihadiahkan untuk kekasih.

Hiasan unik itu boleh didapati dalam pelbagai peringkat harga berdasarkan bahan digunakan. Jika berpendapatan rendah atau bajet kurang, anda masih mampu memiliki kristal, namun tahap kejernihan dan peratus kehalusan dihasilkan adalah samar.

Dalam seni hiasan dalaman, hiasan ini cantik dipandang tetapi bukan untuk dipegang tambahan pula jika harga bagi satu-satu kristal itu beribu ringgit. Lebih baik elak memegangnya dikhuatiri boleh terjatuh dan pecah.

Menurut pakar kristal, kristal asli dan cantik adalah yang mampu memancarkan warna utama bumi, langit serta matahari. Ia menggabungkan cahaya dan sinar yang harmoni menyinar warna sukar digambarkan kerana sangat menarik. Malah, ada yang menyatakan kristal mampu menjadi terapi minda dan jiwa.

Kebiasaannya, kristal akan dijadikan perhiasan untuk menghiasi almari pameran atau hiasan di atas meja di ruang kediaman.

Hiasan kristal boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti flora, fauna, semula jadi dan dekoratif. Malah, hiasan kristal yang sering dilihat termasuk pemegang lilin, pinggan, gelas dan pasu bunga.

Selain itu, biasanya kristal sering dikaitkan dengan candeliar dan lampu yang menghiasi ruang di kediaman dan terkini manik-manik kecil kristal menjadi penghias napkin, sarung kusyen dan bantal di ruang tamu.

Sebilangan orang percaya kristal mengandungi bio-energy dan merawat. Malah, kristal dikatakan boleh menukarkan tenaga negatif kepada positif.

Justeru, anda disarankan menggantung atau meletakkan hiasan kristal di tepi tingkap kediaman dan dalam kereta bagi memastikan cahaya suria dipancarkan dengan tenaga yang positif.

Tip penjagaan kristal

  • Kristal adalah kaca berkualiti yang terhasil daripada penghabluran dan pengoksidaan kaca yang mampu menyinarkan warna maka ia perlu dibersihkan dengan berhati-hati.

  • Seeloknya, ketika membersihkan kristal, buat satu persatu bagi mengelakkannya pecah atau terjatuh kerana kristal dikenali sebagai bahan mudah pecah

  • Buatlah rutin pembersihan untuk kristal bagi menjamin supaya ia tidak berhabuk dan sentiasa bersinar.

  • Bagi mengekalkan kristal terus bersinar simpan dalam almari kaca atau ruang pameran bertutup.

  • Elakkan meletakkan kristal dengan barang pameran yang berat dan mudah berlaga atau menimpa kristal.

  • Elakkan membungkus kristal dengan tisu dan kertas surat khabar.

  • Sebaiknya gunakan penyedut habuk dengan suhu yang sejuk untuk membuang habuk berbanding di lap.

  • Jika ada kesan cap jari melekat di atas hiasan kristal, disarankan supaya dibasuh dan gunakan kain lembut untuk mengelap. Anda boleh mencuba menggunakan air suam dengan sedikit titisan lemon dan 1/4 cawan ammonia, kemudian bilas dengan air biasa dan toskan airnya.
  •