PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menasihatkan pelajar supaya memperlengkapkan diri bukan sahaja dengan kemahiran profesional tetapi kemahiran generik.
Beliau berkata, kemahiran generik ialah seperti kemahiran menyelesaikan masalah atau menghasilkan sesuatu yang bermanfaat melalui cetusan daya kreativiti dan inovasi yang amat diperlukan oleh negara bagi memacu ekonomi berpendapatan tinggi.
"Pelajar tidak seharusnya mengehadkan pencarian ilmu dalam kuliah sahaja sebaliknya mengambil pendekatan lebih kreatif dalam meneroka ilmu pengetahuan menerusi pelbagai sumber.
"Ini termasuklah melalui pembabitan dalam aktivisme pelajar yang akan mendedahkan pelajar kepada pelbagai bentuk pengalaman, kemahiran dan pengetahuan yang tidak boleh diperoleh di dalam bilik kuliah.
"Kemahiran kepimpinan dan pengurusan organisasi yang cekap misalnya dapat diperoleh dan dimantapkan melalui penglibatan dalam persatuan atau kelab di institusi pengajian tinggi," katanya ketika merasmikan mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Bilangan 1/2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelajar juga perlu mempunyai kemahiran untuk berhujah dan mengutarakan pandangan atau cadangan yang bernas untuk diterima pihak lain.
Katanya, kemahiran penting itu boleh dibina dan dimantapkan melalui pembabitan dalam program diskusi atau wacana awam di universiti.
"Dengan cara ini, masyarakat pelajar di negara kita bukan sahaja akan dapat mengasah bakat kepimpinan tetapi menajamkan daya fikir secara objektif dan rasional dalam menangani sesuatu isu," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dengan kemahiran itu juga, pelajar dapat mengelak daripada terjerat dalam perangkap persepsi atau emosi yang mengaburi pandangan mereka tentang sesuatu isu.
Beliau percaya dengan keupayaan berfikir secara objektif dan kesediaan mendengar pandangan yang dilontar daripada sudut yang berbeza, pelajar dapat menghormati perbezaan pendapat, menerima pandangan yang terbaik dan mengelak daripada terjerumus dalam polemik yang tidak berfaedah.
"InsyaAllah, dengan menggalakkan perbincangan dan pertukaran pandangan secara sihat, pelajar di negara kita akan bersikap lebih terbuka dalam menangani pelbagai isu semasa.
"Saya yakin sebagai insan terpelajar yang mempunyai akses kepada pelbagai sumber ilmu dan maklumat, pelajar kita akan dapat menganalisis sesuatu isu yang melibatkan kepentingan negara secara adil dan objektif," katanya.
Muhyiddin juga yakin golongan pelajar di institusi pengajian awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang juga aset penting negara, dapat bersama-sama kerajaan berperanan dan menyumbang sesuatu yang bermakna kepada pembangunan negara pada masa depan.
MPPK adalah wadah utama yang memberi peluang kepada kepimpinan pelajar di IPTA dan IPTS tempatan untuk berbincang mengenai pelbagai isu penting negara dan ia juga adalah sebahagian daripada proses musyawarah antara kerajaan dan rakyat dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
Melalui MPPK, kepimpinan pelajar bebas untuk berbincang, meminta penjelasan dan melontarkan idea mengenai isu-isu semasa di peringkat nasional sama ada dari aspek ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan sebagainya. - BERNAMA
Tips Perkahwinan Dari Ustaz Azhar Idrus
14 years ago
0 comments:
Post a Comment