Followers

Wednesday, November 24, 2010

Atlet karate Ku Jin Keat raih emas ketujuh

GUANGZHOU: Atlet karate, Ku Jin Keat berjaya meraih emas ketujuh negara di Sukan Asia sebentar tadi apabila menewaskan atlet Jepun, Oki Itaru 3-2 dalam final Individu Kata.

Lebih banyak kes HIV dijangkiti melalui hubungan seks

KUALA LUMPUR: Orang ramai khasnya kaum wanita di negara ini dinasihati agar menyedari cara dan trend HIV menjangkiti mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie.
Katanya, ini kerana kini lebih ramai wanita dan remaja perempuan di negara kini dijangkiti HIV menerusi hubungan seks berbanding melalui suntikan sebelum ini.
"Kini trend baru pesakit HIV baru di negara ini dijangkiti menerusi hubungan seks berbanding sebelum ini jangkitan HIV di kalangan penagih dadah melalui suntikan," katanya dalam ucapan pada pelancaran perbincangan meja bulat mengenai kedudukan Wabak HIV dan Aids di Malaysia di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara, Datuk Aminah Abdul Rahman.

Heng berkata, kebanyakan wanita dan budak perempuan di Asia kini dijangkiti virus itu menerusi hubungan seks dengan suami atau teman lelaki mereka yang menghidapi HIV.

Katanya, menurut laporan Suruhanjaya Mengenai AIDS di Asia 2008, lelaki yang telah dijangkiti HIV menerusi penggunaan dadah suntikan (IDU) dan mengadakan hubungan seks rambang, akan meningkatkan lagi jumlah wanita dijangkiti penyakit itu pada masa akan datang.

Sehubungan itu, katanya, sukatan mata pelajaran mengenai Kesihatan Reproduktif dan Pendidikan Sosial akan diperkenalkan di semua sekolah menengah pada tahun hadapan.
"Sukatan mata pelajaran itu akan membolehkan remaja kita lebih melindungi diri mereka daripada gejala sosial seperti mengadakan hubungan seks haram dan memastikan mereka berpengetahuan dalam peranan dan tanggungjawabnya sebagai seorang lelaki, wanita, remaja lelaki dan remaja perempuan," katanya.

Perbincangan meja bulat itu yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia dihadiri 100 orang pegawai kanan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan menyediakan satu landasan bagi membincangkan pembangunan dan kemajuan wabak HIV di Malaysia. - BERNAMA

AS tetap pertahankan Korea Selatan: Obama

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama hari ini menyatakan bahawa AS akan mempertahankan Korea Selatan selepas Rumah Putih menyifatkan serangan terbaru Korea Utara terhadap jirannya sebagai 'provokatif dan biadab'.

Sehubungan itu katanya, AS lebih cenderung kepada kaedah diplomatik berbanding penggunaan ketenteraan bagi menyelesaikan pertikaian membabitkan kedua-dua negara itu yang berlarutan sejak berdekad lamanya. “Korea Selatan adalah sekutu kami dan ia sejak Perang Korea lagi," kata Obama dalam komen pertamanya terhadap serangan terbaru itu semalam.

"Saya ingin menyatakan bahawa komitmen kami untuk mempertahankan Korea Selatan sebagai sebahagian sekutu kami," katanya.

Bercakap kepada stesen televisyen ABC News, beliau bagaimanapun tidak mahu membuat spekulasi apabila ditanya mengenai apa pilihan yang ada bagi pihak tentera sekarang. - AP

AS, Korea Selatan setuju selaras tindakan

SEOUL: Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan bersetuju dengan untuk menyelaraskan sebarang tindakan terhadap Korea Utara selepas Pyongyang melancarkan serangan artileri terhadap pulau Korea Selatan, semalam.
Bedilan meriam ke atas Pulau Yeonpyeong itu mengorbankan dua askar marin Korea Selatan - serangan di sempadan yang dianggap serius sejak perang 1950-1953.
Angkatan tentera Korea Selatan terus diletakkan dalam keadaan siap sedia dengan askarnya membalas serangan itu dengan tembakan meriam.
Korea Utara pula mendakwa, Korea Selatan terlebih dulu melepaskan tembakan dan mereka mendakwa perlu membalas bagi mempertahankan perairan negaranya daripada ditakluki.

Serangan itu mencetuskan kecaman AS yang kini mempunyai 28,500 askarnya di Korea Selatan bersama Russia, Jepan dan negara Eropah Barat.

Rumah Putih pula mengadakan mesyuarat peringkat atasan tentera, perisikan dan awam bagi membincangkan serangan itu.

Pada masa sama, Pentagon berkata, panglima angkatan tentera AS dan Korea Selatan bersetuju dalam rundingannnya untuk menyelaraskan semua bentuk tindakan terhadap serangan terbaru Pyongyang itu.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates berkata, beliau memberitahu rakan sejawatnya dari Korea Selatan, Kim Tae-young bahawa serangan itu jelas satu 'pelanggaran persetujuan' gencatan senjata antara kedua-dua negara terbabit. - AFP