Followers

Friday, October 15, 2010

Elaun pemimpin masyarakat dinaikkan kepada RM800 sebulan

KUALA LUMPUR: Elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru akan dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM450 pada masa ini, bagi menghargai peranan mereka sebagai pemimpin masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi memastikan elaun itu dinikmati oleh semua Ketua Kampung, ia akan turut diberi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bagan.
"Kerajaan akan menaikkan elaun kehadiran mesyuarat kepada semua Ahli Jawatankuasa daripada RM30 kepada RM50," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen, di sini hari ini.
Najib berkata elaun bulanan Imam akan dinaikkan daripada RM450 kepada RM750 sebulan, manakala imbuhan bulanan guru Kemahiran Asas Fardhu Ain (KAFA) dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM500 pada masa ini.

Ia akan berkuatkuasa Januari tahun depan, katanya.

Najib berkata sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan Pribumi.

Beliau berkata ia termasuk menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah dan persempadanan penempatan Orang Asli serta membangunkan Model Baru Pembangunan Orang Asli.
"Selaras dengan ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan disusun semula dan diperkukuhkan dengan memberi nafas baru sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli," katanya. - BERNAMA

PTK diganti sistem penilaian baru Jun tahun depan

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memansuhkan sistem Penilaian Takap Kecekapan (PTK) dan diganti dengan sistem penilaian lebih sesuai dan diterima baik penjawat awam menjelang Jun tahun depan, kata Datuk Seri Najib Razak.
Berucap membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri berkata ia adalah usaha berterusan kerajaan bagi menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambil kira maklum balas penjawat awam.

Kakitangan Gred 54 ke bawah, pesara terima bantuan khas RM500

KUALA LUMPUR: Kerajaan setuju memberi Bantuan Kewangan Khas RM500 kepada kakitangan awam Gred 54 ke bawah, termasuk petugas kontrak dan pesara yang dibayar Disember ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Batu Sapi: Penamaan calon 26 Okt, pengundian 4 Nov

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Oktober tarikh penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah manakala 4 November hari pengundian, serentak dengan DUN Galas, di Kelantan.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebentar tadi.
Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada Barisan Nasional (BN) pada Sabtu lalu kerana terbabit dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi.