Followers

Thursday, October 7, 2010

Kenaikan harga susu tak dapat dielak

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak mempunyai kuasa untuk menyekat kenaikan harga susu di negara ini sekiranya harganya meningkat di pasaran dunia.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata harga penjualan susu termasuk produk tenusu tempatan dijangka meningkat tidak lama lagi disebabkan kenaikan harga bahan mentah di pasaran dunia.
"Kenaikan itu tidak dapat dielakkan memandangkan pengeluar dan pengilang tempatan terpaksa menanggung kos belian import yang tinggi.
"Biasalah, apabila kita beli barang dengan harga mahal, sudah pasti kita terpaksa jual dengan harga yang lebih tinggi. Bagaimanapun, buat masa ini harga susu kita masih dikekalkan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan di Seremban 2 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berhubung harga tepung susu tanpa lemak yang merupakan bahan mentah tenusu utama dijangka meningkat kepada lebih US$3,000 (RM9,630) satu tan metrik tahun ini berbanding AS$2,100 (RM6,741) satu tan metrik dalam suku keempat tahun lalu.

"Sekatan harga tidak boleh dilakukan ke atas barangan itu disebabkan ia di luar dari kawalan kita. Ini kerana kita membeli barang yang diimport. Perkara ini sudah banyak kali berlaku. Sebagai contoh, bawang putih, harganya terpaksa dinaikkan berikutan harga import dari China turut meningkat," katanya.

Katanya meskipun kementerian akan membentangkan Akta Anti Pencatutan 2010 di Parlimen bulan ini bagi tujuan menyekat peniaga mengaut keuntungan tidak munasabah, ia masih tidak boleh menghalang pengeluar untuk menaikkan harga barang itu.
"Ini kerana sekiranya pengeluar mempunyai bukti bahawa harga bahan mentah itu benar-benar meningkat di seluruh dunia, maka kita tidak boleh menghalang ataupun mengambil tindakan terhadap mereka menaikkan harga susu. Akta ini hanya boleh menyekat dan mengenakan tindakan terhadap peniaga yang menjual barangan untuk mencari keuntungan berlebihan tanpa sebab yang munsabah.

"Sebagai contoh, topeng muka, peniaga beli 30 sen dan jual 50 sen tetapi apabila permintaan meningkat dan mereka masih membeli dengan harga 30 sen sekeping tetapi jual sampai RM5, yang ini memang boleh dikenakan tindakan di bawah akta ini," katanya. - BERNAMA

Tarikh tutup permohonan Matrikulasi 2011/2012 dilanjutkan hingga 30 November

KUALA LUMPUR: Tarikh tutup permohonan Program Matrikulasi bagi sesi 2011/2012 dilanjutkan dari 10 Oktober kepada 30 November ini, menurut Kementerian Pelajaran.

Dalam kenyataan kementerian itu hari ini, ia menyatakan bahawa semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 boleh membuat permohonan melalui laman sesawang baru di http://apps.emoe.gov.my/permohonan_matrikulasi.
Pembelian nombor pengenalan individu (NPI) pula boleh dibuat di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan bayaran RM6 bagi permohonan melalui internet.
Orang ramai boleh menghubungi talian bantuan Bahagian Matrikulasi 03-88844036/4040 mulai jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang (hari bekerja sahaja) untuk sebarang maklumat lanjut. - BERNAMA

Ustazah hampir dicabul bomoh

KANGAR: Seorang ustazah berusia 35 tahun nyaris menjadi habuan kerakusan nafsu seorang bomoh selepas dikatakan dipukau lelaki terbabit sebelum dicabul ketika mendapatkan khidmat rawatan tradisional di rumah baru miliknya, di Bintong, di sini, petang semalam.

Ustazah itu bagaimanapun bernasib baik kerana tersedar ketika bomoh berusia 51 tahun itu sedang asyik meraba alat sulitnya, sebelum terus bangkit dan berlari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
Selepas mendapati bomoh berkenaan berlalu meninggalkan kediaman terbabit, mangsa kemudian keluar daripada tempat persembunyiannya sebelum terus ke Balai Polis Kangar untuk membuat laporan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa, mengesahkan menerima laporan daripada mangsa kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Berdasarkan laporan itu, katanya, polis kemudian menjalankan gerakan mengesan suspek sebelum bomoh berkenaan berjaya ditahan kira-kira sejam kemudian.

Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang selepas mangsa mendapatkan khidmat bomoh berkenaan yang berasal dari Kodiang, Kedah untuk memulihkan masalah kedinginan rumah tangga yang dialami.

Pelakon Abu Bakar Ariffin meninggal dunia

KANGAR: Pelakon Abu Bakar Ariffin, 58, yang pernah membintangi beberapa filem dan drama sekitar 80-an meninggal dunia di rumahnya di Kampung Padang Melangit, Bintong, dekat sini, selepas mengadu sesak nafas malam tadi.

Allahyarham yang agak sinonim dengan watak garang dan penjahat termasuk membintangi drama Gerak Khas, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.30 malam di pangkuan isterinya, Siti Armah Samsuddin, 52.
Selain isteri, Allyarham meninggalkan empat anak berusia 23 hingga 29 tahun serta dua cucu .
Siti Armah ketika ditemui berkata, arwah malam kelmarin secara tiba-tiba mengadu sesak nafas ketika sedang berehat di ruang tamu rumah.
"Saya cuba membantu dengan mengurut dan memicit badan suami untuk memudahkannya bernafas, tetapi takdir sudah menentukan ajalnya sudah sampai dan arwah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.
"Arwah sebelum itu kelihatan biasa saja dan pada sebelah pagi, dia kelihatan begitu ceria berbasikal ke pusat perkelahan di Sungai Batu Pahat. Malah, arwah juga sempat melayari laman sembang facebook beberapa jam sebelum meninggal dunia," katanya.
Siti Armah berkata, arwah mengambil keputusan menetap di kampung asalnya di Perlis selepas bersara sebagai Pegawai Sumber Manusia di Syarikat Apson Toyocom Corporation di Seri Damansara, Kuala Lumpur, sejak Disember tahun lalu.