Followers

Tuesday, September 21, 2010

Penyelam polis temui objek seperti gelang emas di kunci air

BANTING: Unit penyelam Pasukan Gerakan Marin hari ini menemui satu objek seakan-akan gelang emas dalam operasi mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain di kawasan kunci air Kampung Sungai Lang di sini, hari ini.

Empat penyelam memulakan operasi pada 3.20 petang di kawasan kunci air itu yang terletak berhampiran pasar awam pekan tersebut dan operasi ditamatkan pada 5.05 petang tadi. Turut berada di kawasan operasi menyelam itu ialah suspek utama kes pembunuhan empat individu itu. Suspek, yang juga seorang peguam berumur 41 tahun, turut disiasat berhubung kes seorang lelaki ahli perniagaan warga India yang dikatakan hilang di Banting sejak awal tahun ini.

Kawasan operasi menyelam itu menjadi tumpuan orang ramai petang tadi dan mereka sanggup menunggu walaupun hujan turun pada masa itu bagi melihat sendiri bagaimana pasukan polis menjalankan tugas mereka.

Sementara itu, pada jam 3.00 petang tadi, kira-kira 15 petugas Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor tiba di ladang ternakan milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati di Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Mereka tiba dengan tiga kenderaan pacuan empat roda dan lori satu tan di ladang itu yang dipercayai lokasi di mana Sosilawati dan tiga yang lain dibunuh dan dibakar.
Kakitangan jabatan itu menghabiskan masa hampir satu jam 45 minit untuk menangkap empat lembu dan lapan kambing termasuk biri-biri yang berada di dalam ladang itu dan memuatkan haiwan tersebut ke dalam lori sebelum beredar daripada lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, mereka enggan mengulas lanjut mengenai operasi tersebut ketika diminta oleh pihak media.

- Bernama

Siasatan kes bunuh Sosilawati siap dua minggu lagi: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
Beliau berkata, polis hari ini menyerahkan kertas siasatan awal ke Pejabat Peguam Negara untuk diteliti. "Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Datuk Seri Mohd Bakri Zinin) sudah memberi jaminan proses siasatan akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu. "Ini termasuk laporan lengkap DNA bagi membolehkan proses pendakwaan dimulakan secepat mungkin," katanya di sini, sebentar tadi.

Beliau sebelum itu merasmikan Pusat Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan laman sosial Facebook PDRM di Bukit Aman, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail; Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) PDRM, Datuk Muhamad Fuzi Harun dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun.

Hishamuddin berkata, proses mengenalpasti DNA sedang giat dilakukan sekumpulan pakar forensik Jabatan Kimia dan ia dijangka selesai dalam sedikit masa lagi.
"Ujian DNA ini mengambil masa, namun saya dimaklumkan prosesnya berjalan lancar dan boleh membantu menyelesaikan kes ini.

"Kita berharap kes ini dibawa segera ke mahkamah kerana ia sudah menarik perhatian banyak pihak, terutama orang ramai yang mengikuti perkembangannya sejak mula," katanya.

Selain Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, turut dibunuh ialah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38.

Kesemua mangsa dilaporkan dipukul hingga mati, kemudian diikat dan ditikam berkali-kali sebelum dibakar di sebuah ladang persendirian di Tanjung Sepat, Morib seterusnya dibuang ke beberapa sungai berhampiran bersama barangan peribadi masing-masing bagi menghapuskan bukti, termasuk senjata digunakan dalam pembunuhan itu.

Lapan suspek berusia 19 hingga 41 tahun sudah ditahan, termasuk dua beradik peguam.

Hishamuddin secara keseluruhannya berpuas hati dengan pencapaian PDRM dan agensi berkaitan yang mengendalikan proses siasatan kes berkenaan, terutama dari peringkat awal kehilangan Sosilawati bersama tiga rakannya yang membawa kepada pembongkaran kes pembunuhannya.

Beliau turut mengingatkan media supaya mengambil kira isu sensitiviti tertentu dalam setiap laporan berhubung perjalanan kes berkenaan supaya tidak disalahtafsir hingga boleh mengancam keselamatan negara dan rakyat.

Terowong dasar laut Malaysia-Singapura antara pilihan realisasikan RTS

PUTRAJAYA: Terowong dasar laut antara Malaysia-Singapura adalah antara pilihan yang sedang diteliti kedua-dua negara, bagi merealisasikan Perkhidmatan Pengangkutan Transit Aliran Deras (RTS) antara Johor Bahru dan Woodlands (Singapura), seperti mana yang dipersetujui dalam pertemuan Mei lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata walaupun ia membabitkan kos yang tinggi, namun ia adalah pilihan yang lebih mesra alam. "Kita sudah pun mempunyai beberapa pilihan tapi masih perlu duduk berbincang secara serius dengan pihak Singapura untuk dikemukakan dengan perjanjian berhubung cara untuk sama-sama membangunkannya," katanya selepas majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri di kementerian di sini, hari ini. Kong berkata, pilihan lain termasuklah untuk membuat satu lagi tambak bagi menghubungkan kedua-dua negara, yang membabitkan kos yang lebih murah namun tidak mesra alam.

Beliau berkata, membina jambatan juga adalah pilihan, namun jenis jambatan itu perlu ditentukan kerana laluan selat Johor masih dilalui kapal dagang.

"Saya berpendapat pembangunan pada masa depan berhubung hubungan antara Malaysia dan Singapura kita tidak boleh bergantung melalui tambak saja. Tren itu mungkin dua atau tiga perjalanan saja sehari tetapi bagi aliran manusia secara berterusan antara Singapura dan Johor Bahru, kita perlukan pengangkutan yang lebih berkesan dan tetap, selain teksi dan bas," katanya.

Sistem pengangkutan awam yang membabitkan trek sepanjang kira-kira 1.5 kilometer itu dijadualkan akan disiapkan menjelang 2018.
Katanya, ia bermula di Tanjung Puteri di Johor Bahru manakala stesen di Woodlands masih belum dikenal pasti, katanya. - Bernama

Suspek utama kes bunuh Sosilawati dibawa semula ke pejabat

BANTING: Suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, sekali lagi dibawa ke pejabat firma guamannya di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.
Suspek berusia 41 tahun itu kemudian turut dibawa ke kunci air Kampung Sungai Lang di sini, kira-kira tiga kilometer dari pejabatnya, dipercayai bagi mencari petunjuk baru kes pembunuhan itu. Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu itu dibawa oleh sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) pada pukul 2.25 petang dan 35 minit selepas itu, dua wanita dipercayai kakitangan peguam terbabit dilihat keluar dari pejabat berkenaan dengan memegang beberapa dokumen. Pada jam 3.05 petang, suspek dibawa keluar dari pejabatnya dan terus dibawa menaiki sebuah kereta polis.

Turut kelihatan seorang pegawai polis membawa keluar beberapa fail mengandungi dokumen dipercayai berkaitan dengan kes terbabit.

Sosilawati, 47; pemandu peribadinya, Kamarudin Shansuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.
Sehubungan itu, polis menahan lapan lelaki termasuk peguam terbabit bagi membantu siasatan kes itu.

Pada 14 September lalu, polis menggeledah pejabat suspek dan mengambil beberapa peralatan seperti CPU serta beberapa dokumen lain. - BERNAMA