Followers

Wednesday, September 15, 2010

Pembunuhan Sosilawati: Unit forensik temui beberapa objek dari Sungai Panchau

BANTING: Unit Forensik Polis hari ini menemui beberapa lagi objek yang dipercayai bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi lelaki lain di Sungai Panchau di sini.
Polis yang memulakan operasi pada jam 3.30 petang ini dilihat membawa beberapa objek termasuk satu bungkusan yang kelihatan seperti tulang di dalamnya.
Usaha pihak media untuk menghampiri kawasan itu bagi melihat dengan lebih jelas operasi itu gagal berikutan kawalan ketat dan media hanya dibenar berada kira-kira 100 meter dari kawasan itu. Operasi itu berakhir pada jam 5.30 petang.
Selain itu, polis juga memasang kain kanvas di tempat mereka beroperasi dan tindakan itu menyukarkan pihak media untuk melihat dengan jelas apa yang mereka lakukan dan objek yang dibawa naik dari sungai itu.

Turut kelihatan berada di lokasi operasi ialah Pengarah Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia, Datuk Abdul Malek Harun.

Ahad lalu, unit forensik menemui beberapa cebisan tulang dari dalam sungai yang sama.

Sosilawati, 47, bersama tiga individu iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. - Bernama

Hari Malaysia titik permulaan realisasikan impian 1Malaysia: Pairin

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di sini, bakal menjadi titik permulaan untuk merealisasi impian 1Malaysia seperti diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata presiden Parti Bersatu Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kesediaan Perdana Menteri mendengar keluhan dan impian rakyat Sabah selaras dengan aspirasi 1Malaysia yang mendahulukan kepentingan rakyat.
Oleh itu, katanya, rakyat Sabah dan Sarawak amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas pengiktirafan serta penerimaan tarikh 16 September sebagai Hari Malaysia.
"Ungkapan ''Sabah menyertai Malaysia'', pertanyaan ''bila sampai ke Malaysia'' yang sering diajukan kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak, akan terungkai.

"Perubahan persepsi ini juga akan memberi ruang dan peluang yang cukup luas, dan mewujudkan perhubungan erat sebagai satu keluarga besar, sekali gus turut memberi implikasi positif terhadap penggubalan dasar dan polisi kerajaan, agar lebih bersifat holistik dan inklusif tanpa melupakan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pairin berkata, pengiktirafan itu turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak untuk sama-sama memacu pembangunan negara dalam semua aspek, termasuk sosial, ekonomi dan politik.

"Dalam masa yang sama, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak akan mendapat manfaat hasil daripada program pembangunan yang sedang dirancang dan yang akan dilaksanakan kerajaan.
"Kita amat bertuah kerana Kerajaan telah memilih Sabah sebagai tuan rumah acara sambutan yang penuh bersejarah ini, yang buat pertama kalinya disambut sejak 47 tahun," katanya.

Sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, beliau menyeru seluruh rakyat di negeri tersebut menjayakan pelbagai program yang dirancang oleh kerajaan sebagai menghargai dan menghormati permulaan Hari Malaysia.

"Inilah permulaan baik kepada kita rakyat Malaysia, bangsa Malaysia. Marilah kita bersatu hati dan menggembleng tenaga ke arah satu tujuan dan satu destinasi, ke arah yang kita impikan," katanya.

Pairin berkata, sambutan Hari Malaysia cukup bermakna kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.

"Sambutan Hari Malaysia akan menjadi satu titik permulaan perubahan persepsi yang akan menambah baik, mempererat serta memperkukuh jambatan muhibah di kalangan seluruh rakyat Malaysia merentasi Laut China Selatan menghubungkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Jambatan ini melangkaui batas perbezaan warna kulit dan kepercayaan ke arah membentuk satu negara yang aman dan makmur, dengan pembahagian peluang dan kemakmuran yang akan dikecapi oleh seluruh rakyat, tanpa ada yang ketinggalan,” kata beliau. - Bernama

Persembahan warna-warni pada sambutan Hari Malaysia peringkat Sarawak esok

KUCHING: Kira-kira 5,000 orang dijangka hadir pada majlis sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang akan diadakan penuh warna-warni di Stadium Perpaduan di sini petang esok.
Sambutan bertema "1Malaysia: Menjana Transformasi" itu akan dimeriahkan dengan persembahan tarian kebudayaan oleh 400 peserta yang mengenakan pakaian tradisional pelbagai kaum.
Acara kemuncak ialah persembahan video selama 10 minit mengenai sejarah pembentukan Malaysia dan mengenai pembangunan di Sarawak.
Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Barieng dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijadual hadir pada majlis itu di mana kumpulan penari dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Sarawak akan mempersembahkan Tarian Hari Malaysia.

Sambutan akan bermula dengan tarian khas bagi meraikan kedatangan tetamu termasuk anggota Kabinet negeri, pemimpin masyarakat dan ketua jabatan, disusuli dengan acara menaikkan Jalur Gemilang sebagai menandakan perasmian sambutan Hari Malaysia peringkat negeri.

Penyanyi terkenal Faizal Tahir dan Adibah Noor akan menghiburkan orang ramai.

Pekerja bekerja 16 September perlu diberi cuti umum berbayar

KUALA LUMPUR: Pekerja yang bekerja esok 16 September, yang disambut sebagai Hari Malaysia, perlu diberi cuti umum berbayar, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam hari ini.
"Perkara ini tertakluk di bawah Seksyen 60D(1)(b) Akta Kerja 1955," katanya.
Beberapa panggilan daripada syarikat-syarikat swasta yang meminta penjelasan sekiranya cuti umum sempena Hari Malaysia turut membabitkan sektor swasta diterima Bernama.
Kerajaan mengumumkan mulai tahun ini, tarikh 16 September diisytiharkan sebagai cuti umum sempena Hari Malaysia dan penetapan itu diwartakan pada 9 November 2009 di bawah Akta Hari Kelepasan 1951. - Bernama