Followers

Friday, August 20, 2010

Wujud lebih banyak kemudahan perlindungan bayi

KUALA LUMPUR 20 Ogos - OrphanCARE, sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab untuk kemudahan memelihara bayi yang pertama di negara ini, menggesa kerajaan mewujudkan lebih banyak kemudahaan seperti itu.
Setiausahanya, Azra Banu berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Msyarakat pada bulan lepas.
Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata, pihaknya juga mengkaji untuk mewujudkan kemudahan itu di hospital, klinik bersalin dan bangunan majlis bandar raya yang dibuka 24 jam setiap hari.
Katanya, OrphanCARE menerima bayi ketujuhnya semalam sejak ia dibuka pada 29 Mei lepas dan enam bayi yang diterima sebelum itu telah dijadikan anak angkat oleh pasangan yang dipilih oleh pertubuhan tersebut. - Bernama

Pembelajaran sepanjang hayat jadi agenda - Muhyiddi

PUTRAJAYA 20 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program pembelajaran sepanjang hayat akan dijadikan sebagai agenda untuk meningkatkan keupayaan modal insan negara.
Beliau berkata, program yang dijadikan sebagai tiang ketiga selepas pendidikan asas dan pendidikan tertiari dianggap penting untuk meningkatkan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 28 peratus pada masa ini kepada 33 peratus menjelang 2015.
"Kita bersetuju ini aspek yang penting dalam kertas yang dibentangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam Pelan Induk Pembangunan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2010-2020,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di sini hari ini.
Katanya, antara institusi yang dijangka terlibat dalam menawarkan peluang pembelajaran sepanjang hayat termasuklah kolej komuniti, politeknik, institusi pengajian tinggi awam, agensi kerajaan dan institusi pendidikan jarak jauh. - Bernama

Sebut nama Guan Eng: Polis diminta siasat - TPM

PUTRAJAYA 20 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta polis dan Majlis Agama Islam Negeri menyiasat dakwaan bahawa nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin digantikan kepada nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, siasatan wajar dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan fakta sebenar kerana perkara itu mempunyai implikasi besar.
"Saya mahukan perkara itu dikaji, diteliti dan jika benar kejadian itu berlaku, maka tindakan tertentu oleh pihak tertentu mesti diambil,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di sini hari ini. - Bernama

Selesaikan masalah dalam semangat permuafakatan BN

PUTRAJAYA 20 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, apa jua masalah yang timbul di kalangan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu diselesaikan dalam semangat pemuafakatan parti berkenaan.
Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah parti yang sudah banyak pengalaman, BN mampu menguruskan segala masalah yang ada demi kepentingan bersama.
"Mereka boleh berbincang pada bila-bila masa dan saya sebagai Pengerusi BN tetap memberi masa untuk semua parti komponen mengemukakan pandangan dan cadangan mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai beberapa kenyataan pemimpin BN sejak akhir-akhir ini yang menyentuh sensiviti kaum di negara ini.
Najib berkata, beliau faham ada pemimpin parti komponen BN terpaksa membuat kenyataan yang dilihat menyentuh sensiviti sesuatu kaum.
Namun, beliau berharap semua pihak perlu sedar bahawa mereka yang mendengar ucapan atau kenyataan pemimpin BN itu terdiri daripada seluruh rakyat Malaysia.
"Dan apa pun kita buat, yang kita cakap, perlu ambil pertimbangan reaksi daripada kaum-kaum lain,” katanya. – Bernama