Followers

Saturday, August 14, 2010

Peranan swasta penting bagi Malaysia: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sektor swasta memainkan peranan penting dalam menjana inovasi, kreativiti dan pelaburan yang diperlukan bagi meningkatkan daya saing global Malaysia serta menyokong matlamat untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Transformasi sektor swasta sangat diperlukan kerana ekonomi tidak dapat berkembang tanpa komitmen dan penyertaan positif mereka," katanya semasa menyampaikan ucaptama semasa melancarkan Kongres Ekonomi China di sini hari ini.
Kongres bertemakan "Peranan Komuniti China untuk Mencapai Model Baru Ekonomi (MBE) dan Sasaran Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10)" itu anjuran bersama MCA dan Institut Penganalisian Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP).
Najib berkata, perniagaan tidak boleh hanya melihat untuk mendapatkan keuntungan jangka pendek tetapi perlu bersedia untuk mendapatkan keuntungan jangka panjang.

Dalam hubungan ini, katanya, sektor swasta perlu berani mengambil risiko dan melabur di dalam industri, produk dan perkhidmatan baharu.

"Perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan serta pengambilalihan teknologi perlu disifatkan sebagai pelaburan untuk mendapatkan keuntungan jangka panjang," katanya.

Perdana Menteri berkata, sektor swasta hendaklah juga menghargai modal insan dengan menmyediakan gaji dan upah pada paras yang bertepatan dan memperuntukkan sumber untuk memupuk bakat.
Di bawah MBE, katanya, sektor swasta penting melaksanakan pelaburan dan projek yang menyokong Wawasan 2020.

Najib berkata, sasaran untuk mencapai pertumbuhan tahunan 6.0 peratus seperti yang ditonjolkan di dalam RMK10 memerlukan daya tolakan bagi meningkatkan pelaburan yang signifikan yang sebahagian besarnya perlu diperolehi daripada sektor swasta yang lebih dinamik.

"Bergerak ke hadapan, kita semua mempunyai peranan untuk dimainkan. Kita juga memerlukan sektor swasta untuk menstransformasi pemikirannya dan menilai semula kepercayaannya," katanya.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, kedua-dua sektor awam dan swasta perlu bekerja bersama-sama dan menggunakan semua komuniti yang pelbagai.

"Kita perlu menggalakkan perkongsian tulen antara komuniti Bumiputera dan bukan Bumiputera. Melalui perkongsian yang tulen itu, kita akan mencapai matlamat kita untuk mencapai pengagihan seimbang kekayaan negara," katanya. - BERNAMA

PM mahu perkongsian tulen peniaga Bumiputera-bukan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mahu perkongsian tulen diwujudkan antara peniaga Bumiputera dan bukan Bumiputera bagi mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi.
"Perkongsian 'Ali-Baba' bukan jawapan untuk pertumbuhan ekonomi," katanya ketika merasmikan Kongres Ekonomi Cina MCA, di sini sebentar tadi.

Gempa bumi kuat landa Kepulauan Mariana

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 7.2 pada skala Richter berlaku di bahagian selatan Kepulauan Mariana pada 5.20 pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa bumi itu ialah di 1,484 kilometer timur laut Davao, Filipina dan 2,703 kilometer timur laut Lahad Datu, Sabah.
Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dikesan. - BERNAMA

Reaksi berbeza terhadap hukuman berat kes buang bayi

KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah kes buang bayi bagi mengekang gejala tersebut, mendapat pelbagai reaksi daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd Ralip, berkata hukuman itu berupaya mendidik masyarakat, khususnya remaja, agar tidak mudah terjebak dengan gejala sosial yang boleh menyebabkan mereka terlanjur, sekaligus menjurus kepada kes pembuangan bayi.
Beliau berkata, sudah tiba masanya satu tindakan tegas diambil bagi mengekang situasi negatif itu daripada terus menular kerana ia semakin serius dan membimbangkan.
"Ada dua jenis jenayah iaitu satu, memang niat membunuh, dan satu lagi, niat cubaan membunuh, dan walaupun ia sekadar cubaan membunuh, perbuatan tersebut sudah dikira membunuh.

"Sebagai contoh, walaupun dia tidak ada niat untuk membunuh, tetapi bila dia buang bayi itu di satu tempat dan tiada orang jumpa, mungkin bayi tersebut akan mati dan ini sudah kira 'bunuh', jadi saya rasa amat wajar hukuman ini dilaksanakan," katanya.

Beliau mengulas keputusan kerajaan mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan bunuh atau bunuh yang membawa hukuman gantung.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata Jemaah Menteri bersetuju bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih berkesan bagi membendung penularan kes tersebut kerana kejadian buang bayi masih berleluasa, walaupun pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk menanganinya.
Turut menyuarakan pandangan sama ialah Timbalan Presiden Majlis Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Muhamad Burok, yang berpendapat hukuman itu dapat mengurangkan kes pembuangan bayi, namun perlu dilaksanakan dengan berhati-hati.

"Apabila hukuman ini dilaksanakan, yang pertama, kita kena berhati-hati kerana kita tahu ia berat...jadi bila kes berat, beban pembuktianpun berat dan mesti ada siasatan serta bukti yang secukupnya.

"Contohnya, kita kena pastikan sama ada individu itu buang bayi atau mayat, kerana selalunya kes adalah mereka yang lepas lahirkan bayi, ia mati...dan tidak tahu hendak buat apa, (jadi) mereka buangkan mayat itu...dan kalau begini, individu itu tidak boleh dikenakan hukuman mati," katanya.

Bagaimanapun, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berpendapat hukuman itu perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan.

Katanya, hukuman mati bukanlah jaminan yang dapat mengurangkan atau mengekang situasi negatif itu daripada terus merebak.

"Saya menyambut baik keputusan Kabinet mengenai hukuman berat ini, namun saya tidak nampak hukuman ini dapat menghapuskan kejadian pembuangan bayi kerana hukuman bagi penjenayah dadahpun berat juga, tapi orang tetap masih banyak terbabit dengan benda haram itu," katanya.

Beliau berkata, adalah lebih baik jika langkah pencegahan dan hukuman dilakukan seiring kerana tindakan awal berupaya mengelak remaja daripada terbabit dengan gejala tersebut.

Katanya, beberapa tindakan awal seperti penapisan kandungan Internet, pemantauan berterusan di rumah urut serta pengawalan penjualan kondom di kawasan terbuka perlu diberi perhatian serius kerana ia mampu menyumbang kepada aktiviti seks bebas.

"Mungkin tidak hapuskan semua...tetapi mungkin akan dapat membendung senario ini daripada terus berleluasa," katanya. - BERNAMA