Followers

Wednesday, July 21, 2010

Malaysia puas hati kerjasama Britain siasat Raja Petra

KUALA LUMPUR: Malaysia berpuas hati dengan kerjasama Britain dalam siasatan berhubung penulis blog, Raja Petra Kamaruddin yang melarikan diri ke London, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Katanya perkara itu perlu ditangani berdasarkan saluran perundangan, dan dalam soal ini, Malaysia perlu menghormati undang-undang Britain.
"Saya tak ada komplen. Ia harus dijalankan mengikut undang-undang. Kita tidak boleh melanggar undang-undang negara lain," katanya kepada pemberita selepas upacara menandatangani Perjanjian Bersama Bantuan Undang-undang Dalam Perkara Jenayah antara Malaysia dan Britain di sini hari ini.
Raja Petra dipercayai melarikan diri ke Britain selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah tahun lalu berhubung artikelnya yang didakwa berunsur hasutan dan fitnah.

Ketika ditanya sama ada perjanjian hari ini akan membantu usaha membawa balik Raja Petra ke Malaysia, Abdul Gani berkata : "Ia akan membantu dalam semua kes bukan saja yang melibatkan Raja Petra. Tetapi kita harus ingat bahawa kita perlu patuhi undang-undang pihak lain. Ini bukannya soal mudah."

Abdul Gani juga menjelaskan bahawa apa yang dimeterai hari ini bukannya
perjanjian ekstradisi kerana itu adalah satu proses lain.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia boleh membuat permohonan kepada mana-mana negara atas arahan Menteri Dalam Negeri dan tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan.

"Memang ada persefahaman mengenai ekstradisi ini tetapi setakat ini kita tidak membuat sebarang permohonan kepada United Kingdom bagi perjanjian ekstradisi yang sebenarnya.

"Perjanjian ekstradisi adalah sesuatu yang kita perlu fikirkan kemudian, tetapi kita berpuas hati dengan perjanjian bantuan bersama yang dimeterai hari ni," katanya.

Ketika ditanya sama ada jawapan bertulis daripada bekas penyiasat persendirian S.Balasubramaniam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh diterima di mahkamah di negara ini, Abdul Gani berkata:

"Apa saja yang dilakukan oleh SPRM, mereka harus patuh kepada undang-undang kita. Keterangan tak semestinya yang dicatat oleh polis. Semua dokumen boleh diterima di mahkamah asalkan kita patuh kepada undang-undang. Bagi saya, tak ada masalah."

Balasubramaniam dikehendaki menjelaskan dua akuan berkanun yang bercanggah yang dibuatnya berhubung pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

SPRM membatalkan hasrat untuk pergi ke London bagi mendapatkan keterangan daripada penyiasat persendirian itu dan sebaliknya mengemukakan soalan menerusi peguam beliau. - BERNAMA

Selatan Iran digegar gempa 5.8 magnitud

TEHRAN: Gempa berukuran 5.8 magnitud menggegarkan kawasan antara Fars dan Hormuzdan di wilayah selatan Iran, lapor stesen televisyen tempatan, awal pagi ini.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyebut bila gempa itu berlaku serta kerosakan yang dialami atau mangsa yang terbabit.
Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa sederhana berukuran 5.8 magnitud itu menggegarkan pesisir pantai selatan Iran, lewat semalam.
Gempa berlaku di 160 kilometer di selatan Jahrom dan 975 kilometer di barat daya ibu negara Tehran. - AFP

Tuesday, July 20, 2010

Tak boleh terburu-buru mansuh UPSR, PMR: Puad

GENTING HIGHLANDS: Keputusan mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak boleh dibuat terburu-buru kerana ia adalah keputusan besar membabitkan masa depan anak-anak bangsa.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata walaupun ketika ini banyak pihak memberi maklum balas positif kepada pemansuhan kedua-dua peperiksaan umum itu, kerajaan perlu menyediakan perancangan alternatif jika ia benar-benar dimasuhkan.
"Pada saya, isu ini tidak boleh diputuskan secara terburu-buru kerana kita perlu teliti semua pandangan sebab ia melibatkan satu keputusan besar membabitkan sistem pendidikan negara yang melibatkan perubahan besar termasuk dari segi logistik.
"Ia turut membabitkan ibu bapa dan masa depan anak-anak...atau dalam kata lain melibatkan kualiti pendidikan negara, jadi ia tidak boleh dibuat terburu-buru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-17 di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini, hari ini.

Mohd Puad berkata dalam membuat keputusan itu, kerajaan juga perlu melihat kemampuan kementerian dari segi penyediaan alternatif atau pilihan lain sekiranya keputusan dibuat untuk memansuhkan peperiksaan itu.

"Apabila melibatkan alternatif, maka persiapan kita dari sudut itu perlu dibincang dan dipertimbangkan," katanya.

Perbincangan meja bulat pertama membabitkan kira-kira 100 warga pendidik terdiri daripada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Pengarah Bahagian di kementerian, Pegawai Pelajaran Daerah, Pengetua, Guru Besar, Kesatuan dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, diadakan di Putrajaya semalam bagi mengumpul pandangan dan input berhubung cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu.
Perbincangan kedua bakal diadakan Selasa depan yang melibatkan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan, ahli politik serta pihak lain yang berminat dan berkepentingan dalam isu itu.

Dr Mohd Puad berkata perbincangan itu penting kerana boleh mengelak daripada hanya mendengar dari satu sumber kerana kementerian cukup bimbang jika keputusan yang dibuat kelak boleh menimbulkan kecelaruan.

"Walaupun saya akui kesatuan guru bersetuju pemansuhannya, tetapi itu hanyalah pandangan daripada mereka yang berada dalam bidang pendidikan. Yang pasti kita perlu dengar lebih banyak pandangan daripada pihak luar agar keputusan yang diambil boleh memberi kebaikan kepada semua," katanya. - BERNAMA

Jenayah penggubahan wang di Malaysia masih terkawal: SPRM

KUALA LUMPUR: Jenayah penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan berupaya dikekang oleh pihak berkuasa menerusi tindakan bersepadu agensi terlibat.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mustafar Ali, berkata bagaimanapun usaha mengekang jenayah itu terus diperhebatkan memandangkan transaksi perniagaan di negara ini semakin meningkat.
"Kalau nak katakan jenayah ini serius di Malaysia ia sebenarnya tidak serius, malah ia dalam keadaan terkawal. Malaysia dapat mengekangnya sebaik mungkin dengan menggunakan tindakan yang cukup berkesan," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Usaha itu katanya, dipermudahkan lagi dengan peningkatan kesedaran orang ramai terhadap jenayah berkenaan selepas kerajaan memperkenalkan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Dalam pada itu, Mustafar yang ditemui di luar Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiyaan Keganasan Antarabangsa 2010, mengakui masih terdapat ruang untuk penjenayah melakukan kegiatan berkenaan.

Akan tetapi katanya, pihak berkuasa juga mempunyai pelbagai kaedah untuk mengesan kegiatan tersebut.
"Jangan anggap sorok duit, ''launder'' duit, agensi penguatkuasa tidak akan tahu...sekarang ada pelbagai sistem untuk mengesan transaksi dan wang yang dikeluarkan," katanya.
Mustafar berkata jenayah itu juga melibatkan rangkaian antarabangsa yang memerlukan pihak berkuasa negara ini bekerjasama dengan pihak antarabangsa.

Semalam, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Zamani Abdul Ghani memberitahu persidangan itu bahawa sejumlah 94 kes penggubahan wang haram kini dalam pelbagai peringkat pendakwaan, dengan lebih 3,000 dakwaan melibatkan keuntungan berjumlah RM1.2 bilion. - BERNAMA