Followers

Monday, July 19, 2010

Dewan Negara lulus usul kutuk kekejaman rejim Israel

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini sebulat suara meluluskan usul mengutuk serangan kejam tentera rejim Israel ke atas konvoi kapal 'Freedom Flotilla' yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei lalu.
Usul yang dibentang Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon diluluskan selepas dibahaskan lebih empat jam oleh anggota Dewan Negara.
Keputusan sebulat suara itu diumum Yang di-Pertuanya Tan Sri Abu Zahar Ujang apabila hanya suara ''setuju'' kedengaran apabila proses pengundian dijalankan. Dewan Negara terdiri daripada 70 senator iaitu 44 adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong manakala 26 lagi adalah lantikan negeri.

Usul itu sebagai menyatakan bantahan rakyat Malaysia terhadap tindakan anggota tentera Israel mengepung dan menyerang flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum menahan sukarelawan kapal tersebut termasuk 12 warganegara Malaysia.

Semasa menggulung perbahasan usul itu, Timbalan Menteri Luar Senator
A. Kohilan Pillay berkata pihaknya melalui Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York sedang berusaha meraih sokongan untuk mengadakan persidangan sesi khas tergempar PBB sebelum akhir bulan ini atau selewat-lewatnya sebelum Ramadan.

Persidangan itu akan memberi peluang kepada masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan terhadap rejim Zionis Israel agar menarik balik sekatan ke atas Gaza menerusi perundangan antarabangsa sedia ada termasuk peruntukan yang termaktub dalam Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1890 (2009).
Katanya persidangan itu juga akan meminta nasihat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai serangan Israel ke atas aktivis Freedom Flotilla yang dilakukan di perairan antarabangsa.

Pada masa sama, Malaysia juga akan terus mendapatkan sokongan negara-negara sependapat untuk menyokong penganjuran Persidangan Sesi Khas Tergempar Perhimpunan Agung PBB itu.

Sehingga kini Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah mengadakan lawatan kerja ke Brunei pada 14 Jun dan Indonesia pada 17 Jun bagi mendapatkan sokongan kedua-dua negara berkenaan.

"Menteri Luar juga telah mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Agung PBB, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Presiden Majlis Keselamatan PBB, Wakil Tetap Troika NAM dan Pemerhati Tetap Liga Arab di New York pada 8 dan 9 Julai bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai tindakan susulan yang perlu diambil," katanya. - BERNAMA

Keputusan pindahkan pelajar IKYS kekal: Khalid

SHAH ALAM: Langkah memindahkan lebih 200 pelajar Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Bagan Terap, Sabak Bernam ke INPENS International College (INPENS) di Kuala Selangor, akan diteruskan disebalik bantahan oleh beberapa kumpulan, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau berkata keputusan itu diambil bertujuan untuk menyelaraskan semua institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri.
Abdul Khalid berkata IKYS akan digunakan sebagai pusat latihan bagi pembangunan modal insan dan latihan kemahiran insaniah dalam masa terdekat.
"Adalah lebih baik ibu bapa pelajar menyokong perpindahan itu. Semua ini dilakukan demi masa depan pelajar kerana kemudahan di INPENS jauh lebih baik daripada di IKYS.

"Lagipun, graduan INPENS mempunyai peluang lebih baik untuk diambil bekerja kerana INPENS mempunyai hubungan dengan para pengusaha industri yang membenarkan latihan amali diadakan di syarikat mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan jabatan-jabatan kerajaan negeri Selangor di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Semalam, sekumpulan lebih 200 pelajar IKYS yang disertai ibu bapa mereka, berhimpun di depan pintu utama institut itu sebagai membantah keputusan Yayasan Selangor menutup institut itu. - BERNAMA

Pelan galak pembangunan sumber manusia berkemahiran dilancar

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi hari ini melancarkan Pelan Pengukuhan Kerjasama Universiti-Industri dan Masyarakat yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sumber manusia berpengetahuan dan berkemahiran di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pelan berkenaan yang mengandungi tujuh rangka kerja termasuk Perkongsian Pertukaran Pengetahuan dan pembentukan konsortium kelompok berasaskan kerjasama universiti-industri, akan memastikan pulangan yang lebih baik kepada sektor berkaitan.
"Terdapat keperluan untuk merapatkan kerjasama antara institusi akademik dan industri jika kita hendak menentukan usaha kita untuk mencapai matlamat negara yang berasaskan inovasi dan sebagainya menjadi kenyataan.
"Pengeluaran graduan yang tidak memenuhi keperluan industri akan menjejaskan peluang graduan mendapat pekerjaan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pelan itu di sini.

Selain meningkatkan peluang pasaran graduan, Mohamed Khaled berkata pelan itu juga bertujuan menambah baik kualiti kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan hasil penyelidikan yang boleh dikomersialkan, dan menjadi sumber pendapatan kepada universiti dan industri.

Beliau berkata di bawah kerjasama antara universiti dan industri, Majlis Mesyuarat Perundingan Akademik Industri akan menggunakan pendekatan kelompok bermula tahun ini.

"Kita telah mengenal pasti 19 Majlis Dekan yang meliputi antaranya pertanian, perbankan, bioteknologi, pembinaan, reka bentuk dan seni bina, kejuruteraan, teknologi makanan dan nutrisi, penjagaan kesihatan, minyak dan gas, serta pelancongan sebagai bidang pengajian," katanya.
Beliau berkata setiap kelompok akan mengadakan kerjasama di antara universiti dan industri dalam bidang masing-masing melibatkan penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersilan, dan juga program pemasaran graduan.

"Adalah diharapkan dengan adanya kelompok ini semua isu dan masalah dapat ditangani pada peringkat akar umbi oleh kedua-dua pihak iaitu universiti dan industri," katanya. - BERNAMA

Peluang kerjasama UMNO-PAS akan hilang jika tak bersungguh-sungguh

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata peluang untuk mewujudkan kerjasama antara UMNO dan PAS yang menjurus kepada perpaduan akan hilang sekiranya kedua-dua pihak masih tidak bersunguh-sungguh ke arah itu.
Hishammuddin berkata penyatuan itu jelas akan ''dirampas'' oleh beberapa pihak yang tidak menginginkan usaha itu berlaku pada masa depan berikutan pendekatan sama ingin dilakukan sebelum ini seringkali terbantut.
"Kadang-kala pertimbangan lain dicampur aduk dengan politik, peribadi dan ego seperti isu keselamatan yang dibincangkan dalam persidangan hari ini dicampur aduk dengan politik dan polemik, akhirnya yang bermaharajela adalah pihak militan (sebagai contoh)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI NAA) Bahagian Asia Pasifik ke-13 di sini, hari ini.
Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini bahawa terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti berkenaan.

Harussani berkata beliau bagaimanapun menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara berkenaan bagi kedua-dua pihak.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak berkata UMNO sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan sebarang perundingan dengan PAS yang menjurus kepada perpaduan, tetapi itu mestilah dibuat tanpa prasyarat.

Hishammuddin berkata, keikhlasan dan niat yang suci menjadi faktor penting bagi mewujudkan penyatuan itu dalam usaha untuk memperkasakan umat Islam di negara ini.
"Keikhlasan itu perlu jika hendak duduk semeja dan berbincang mengenai masa depan ummah dan memikirkan cara untuk meniti cabaran dalam persepsi terhadap Islam dan jihad pembangunan ummah.

"Kita tidak boleh dalam satu keadaan hendak duduk semeja tetapi dalam keadaan yang lain masih ada mencaci maki dan menghina antara satu sama lain," katanya. - BERNAMA