Followers

Thursday, July 15, 2010

Harga gula diselaras 25 sen, diesel dan petrol 5 sen mulai esok

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini memutuskan harga gula diselaras sebanyak 25 sen sekilogram, harga petrol RON95 dan diesel 5 sen seliter dan gas memasak LPG sebanyak 10 sen sekilogram mulai esok.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyatannya sebentar tadi menyebut, harga petrol RON97 pula akan diapungkan secara terkawal.
"Kabinet membuat keputusan hari ini bahawa harga bahan api dan gula diselaraskan sebagai sebahagian program rasionalisasi subsidi kerajaan," kata kenyataan itu.
Ini bermakna, harga gula di pasaran mulai tengah malam ini akan dijual RM1.75 sekilogram, gas LPG RM1.85 sekilogram, petrol RON95 menjadi RM1.85 seliter dan diesel RM1.75 seliter.

Pengurangan subsidi bagi menguatkan ekonomi negara: Najib

ALOR SETAR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan perlu mengurangkan subsidi bagi menjimatkn perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal supaya pasaran dunia dan dalaman lebih yakin dengan kekuatan ekonomi negara.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, penjimatan perbelanjaan itu juga akan digunakn untuk pembangunan negara yang akhirnya memberi faedah kepada rakyat.
Beliau turut memberi jaminan pengurangan subsidi akan dibuat secara minimum supaya tidak membebankan rakyat.
Najib berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah di sini, sebentar tadi.

Kesan ketara pemulihan ekonomi tahun depan: Muhyiddin

TANAH MERAH: Pemulihan ekonomi negara dijangka dapat dilihat dengan lebih ketara tahun depan berikutan langkah pemulihan ekonomi yang dilaksanakan secara agresif.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan yakin dapat menambah pelabur baharu dan dengan itu, peluang pekerjaan akan bertambah.
"Kita telah melaksanakan pembaharuan ekonomi sebaik mungkin, sejajar pertumbuhan sebanyak 10 peratus pada suku pertama tahun ini, dan kerajaan telah memperkenal beberapa pendekatan baharu, termasuk Model Baru Ekonomi.
"Ya, mungkin hasil itu belum dilihat, namun saya yakin bermula tahun depan, rakyat akan menikmati peningkatan ekonomi negara yang lebih pesat," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah dan Karnival Rakyat Parlimen Tanah Merah, di sini hari ini.

Beliau berkata, pertambahan peluang pekerjaan dan kemasukan pelaburan asing, adalah antara faktor yang akan merealisasikan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Muhyiddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan agar situasi ekonomi dan politik selaras dengan iklim semasa dunia, yang jika tidak, negara bakal ketinggalan.

"Kalau suasana ekonomi sudah berubah, maka kita pun perlu mengubah cara kita menjalankan ekonomi supaya lebih berkesan.
"Limpahan nikmat kesan ekonomi ini juga dapat dirasakan semua rakyat di negara kita," katanya.

Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM2.5 juta bagi meningkatkan infrastruktur air bersih bagi penduduk di kawasan pedalaman Peralla, di jajahan ini. - Bernama

Kapal selam kedua KD Tun Razak tiba di Teluk Sepanggar

KOTA KINABALU: Kapal selam kedua negara KD Tun Razak selamat tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, dekat sini hari ini.

Ketibaan KD Tun Razak disambut Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan warga TLDM.
KD Tun Razak yang dikendalikan 32 anggota tentera laut yang telah mengikuti latihan kapal selam di Perancis selama empat tahun memulakan pelayaran pulang dari Toulon, Perancis pada 30 April lepas dan mengharungi 7,063 batu nautika sebelum sampai ke tanah air.
Kapal selam kedua itu dilengkapi sistem pelancar torpedo, misil dan periuk api serta mampu mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter.

Berucap pada majlis sambutan itu, Ahmadshah berkata kehadiran KD Tun Razak mampu meningkatkan keupayaan TLDM melaksanakan tanggungjawabnya menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara.

Bagi menjamin kedaulatan perairan negara yang luas, TLDM memerlukan lebih banyak aset yang efisien dan canggih, dan kapal selam adalah aset strategik tercanggih dikendalikan TLDM masa kini, katanya.

Selain KD Tun Razak, beliau berkata pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar turut menempatkan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman, sejak September tahun lalu. - BERNAMA