Followers

Sunday, July 4, 2010

Kementerian wajar perjelas nilai subsidi kepada rakyat: Ahmad

GERORGETOWN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, mencadangkan semua kementerian memberi penerangan jelas kepada orang ramai berhubung nilai subsidi dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui kementerian masing-masing kepada rakyat.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, tindakan itu bagi menyedarkan rakyat bahawa kerajaan BN prihatin dan telah membelanjakan begitu banyak wang untuk kesejahteraan rakyat.
"Jika rakyat tidak sedar tentang subsidi yang kerajaan sediakan akan jadilah seperti di Pulau Pinang di mana apabila kerajaan negeri hanya memberi RM100 setahun kepada warga emas, perkara itu disentiasa disebut-sebut oleh rakyat.
"Tetapi apa yang diberi oleh kerajaan Pusat tidak disedari dan dihargai rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Balik Pulau di sini, hari ini.

Ahmad berkata, jika dihitung, pemberian subsidi dan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada setiap individu bernilai beribu-ribu ringgit setahun.

Bagaimanapun, katanya, terdapat segelintir masyarakat yang masih tidak berterima kasih dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan. - BERNAMA

Tindakan pembangkang tidak jejas keyakinan warga FELDA: GWGF

SUNGKAI: Dakwaan tidak berasas dan usaha pihak tertentu terutama pembangkang yang cuba meraih kelebihan politik dengan memburuk-burukkan imej FELDA tidak menjejaskan keyakinan masyarakat peneroka dan generasinya terhadap keutuhan agensi itu.

Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail, berkata maklum balas dan tinjauan mendapati isu "FELDA bankrap" yang sengaja dicetuskan pembangkang itu tidak menjejaskan sedikit pun operasi agensi itu di peringkat tanah rancangan serta kehidupan warganya.
Malah, katanya, tiada sebarang petanda yang mengesahkan bahawa agensi kerajaan itu bankrap apabila segala urusan di kawasan FELDA berjalan seperti biasa terutama di pejabat pengurusan FELDA, koperasi dan kedainya.
"Di tanah rancangan tidak ada kesan, mereka (peneroka) melihat pejabat FELDA masih dibuka, kedai FELDA masih ada dan begitu juga dengan urusan seharian. Kalau bankrap semua tutup dan tidak ada kenyataan yang dibuat oleh pihak bank yang mengatakan FELDA bankrap. Kita tidak mahu perkara tidak betul ini berulang dan ia perlu dihentikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas memberi taklimat mengenai penyusunan semula GWGF di bawah model baru ekonomi, pendidikan dan sosial menjelang tahun 2020 dan penerangan isu semasa mengenai FELDA peringkat wilayah Trolak di FELDA Gunung Besout 1 di sini hari ini.

Suara Keadilan bertarikh 22-29 Jun lalu memaparkan laporan muka depan "Felda Bankrap" dan pada Khamis lalu FELDA mengemukakan notis menuntut ganti rugi RM200 juta serta permohonan maaf daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung laporan akhbar itu.

Rozali berkata, GWGF turut kesal dengan segelintir peneroka yang turut "bersekongkol" dengan pihak pembangkang dalam isu berkenaan yang hanya menggunakan golongan peneroka untuk kepentingan politik masing-masing.
"Kita mahu bendung perkara yang tidak betul ini. Saya kesal kerana selepas 53 tahun negara merdeka dan FELDA berjaya serta para peneroka mendapat banyak hasil daripada kejayaan ini serta sumbangan pemimpin negara yang berfikir, kenapa kita mahu rosakkan benda yang baik. Sepatutnya kita perlu bantu dan majukan lagi FELDA," katanya.

Rozali berkata, GWGF akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa tertinggi perundangannya minggu depan untuk membuat pertimbangan berhubung tindakan yang sewajarnya diambil terhadap dakwaan yang melibatkan maruah warga peneroka itu.

Beliau berharap isu itu dapat diperjelaskan kepada warga peneroka dan generasinya supaya mereka tidak gusar kerana GWGF tidak mahu isu ini melemahkan tumpuan generasi baru yang bekerja dan sektor pertanian negara.

Mengenai cadangan pelantikan seorang Senator atau Ahli Dewan Negara pula, beliau berkata GWGF sedang mengumpul maklum balas dan sokongan terhadap cadangan berkenaan.

"Kita membuat cadangan itu kerana lebih baik seseorang duduk di dalam (Dewan Negara) sebagai wakil Felda sekiranya boleh dan masih ada kekosongan. Ini kerana kita melihat banyak isu FELDA yang dibincangkan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Bagaimanapun ia perlu dapat sokongan warga FELDA dan generasi baru sebelum dibawa kepada kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai penganjuran taklimat hari ini, beliau berkata ia adalah tindakan susulan yang diambil hasil daripada mesyuarat tertinggi GWGF yang diadakan di Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Taklimat yang akan diberi di Negeri Sembilan, Johor dan Pahang selepas ini juga bertujuan mendapatkan maklum balas dan sokongan berhubung cadangan transformasi FELDA dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial di kalangan generasi baru institusi itu di seluruh negara.

"Perak adalah negeri pertama untuk mendapatkan sokongan bagi cadangan bagaimana kita mahu melihat FELDA pada tahun 2020 yang yang mana kita perlu memastikan ia seiring dengan transformasi ekonomi negara yang dibuat oleh Perdana Menteri," katanya.

Terdahulu, Rozali menerima empat memorandum menyokong cadangan penyusunan semula itu serta membantah laporan isu "FELDA bankrap" yang dimainkan pembangkang daripada Gugusan Felda Trolak, Felda Besout, Gugusan Felda Hulu Perak (Perak) dan Felda Sungai Dusun (Selangor). - BERNAMA

Muhyiddin selar Melayu pertikai dasar kerajaan

MUHYIDDIN SELAR SEGELINTIR MELAYU PERTIKAI DASAR KERAJAAN
BATU PAHAT: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar sikap segelintir orang Melayu yang sanggup mempertikai dasar kerajaan termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan usaha meningkatkan penguasaan orang Melayu dalam bidang ekonomi.
Sambil menyifatkan sikap itu sebagai satu ancaman berkekalan bagi perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO, Timbalan Perdana Menteri berkata sikap sebegitu boleh mengundang bencana besar kepada negara.
"Orang Melayu sepatutnya bersatu di bawah satu payung untuk menentukan agenda membangunkan bangsa Melayu tercapai.

"Matlamat ini tidak akan tercapai jika kita terus berpecah belah," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, golongan Melayu tersebut menyokong pembangkang khususnya DAP pimpinan Lim Kit Siang.

"DAP menganggap tindakan saya membela orang Melayu sebagai seorang ultra Melayu, sedangkan Lim Kit Siang lebih bersifat perkauman," katanya.
Muhyiddin berkata, dalam situasi yang amat mencabar ini, orang Melayu khasnya UMNO perlu melipatgandakan usaha bukan sahaja untuk memperkukuh kedudukan parti tetapi berusaha melaksanakan tranformasi sejajar yang diputuskan di peringkat pusat supaya UMNO dapat diterima oleh rakyat.

Beliau kesal kerana usaha tranformasi untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 di peringkat bahagian berjalan perlahan, tidak sebagaimana diharapkan.

"Usaha menambahbaik parti ini perlu dilakukan segera supaya parti dilihat masih relevan oleh bukan sahaja orang Melayu tetapi terus diterima rakyat keseluruhannya," katanya.

Muhyiddin menegaskan sebagai pemimpin nombor dua, beliau sentiasa membantu usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menggariskan gagasan 1Malaysia dan dasar lain penambaikan pentadbiran negara untuk ditranformasikan di peringkat UMNO di semua peringkat.

Usaha itu, katanya, penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap BN dan seterusnya memenangi semula kerusi yang terlepas kepada pembangkang dalam pilihan raya umum lalu pada pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

JPAM sedia bantu polis tangani jenayah

RANTAU PANJANG: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersedia membenarkan anggotanya untuk dilatih sebagai anggota polis sukarela bagi membantu polis menangani kadar jenayah di negara ini.
Ketua Pengarah JPAM, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid, berkata mereka mempunyai 120,000 anggota sukarela dari pelbagai lapisan masyarakat yang sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa dalam menjalankan operasi tertentu.
"Sekarang lebih 1,000 orang anggota JPAM telah dikerah bertugas membantu polis di Pulai Pinang, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat JPAM Unit Rantau Panjang di sini hari ini.
Abdul Halim berkata, anggota JPAM bersedia berkhidmat pada bila-bila masa sekiranya tenaga mereka diperlukan oleh pasukan polis.

Beliau juga berkata pihaknya akan menambah bilangan anggota bagi menampung keperluan ketika bencana alam terutama pada musim banjir di mana khidmat anggotanya diperlukan sepenuh masa di lokasi yang ditetapkan. - BERNAMA