Followers

Thursday, July 1, 2010

Najib ketuai pemimpin negara beri penghormatan terakhir kepada Tun Omar Ong

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengetuai pemimpin negara dan rakyat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin yang meninggal dunia hari ini.
Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di Persiaran Duta tengah hari tadi.
Turut sama menziarah ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan isteri, Tun Jeanne Abdullah; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Muhyiddin berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kerana beliau adalah anggota jemaah menteri yang pertama dan telah memegang pelbagai jawatan penting dalam parti dan kerajaan.

"Semasa hayatnya semasa sihat, saya selalu berbicara dengan beliau dan mendapatkan pelbagai pandangan, mendengar cerita waktu beliau dengan (Perdana Menteri pertama) Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) dan (Perdana Menteri kedua) Tun Abdul Razak Hussein dan bagaimana Kabinet berjalan waktu itu walaupun kecil, serta bagaimana dasar memupuk semangat dan perpaduan antara kaum ini terserlah dengan pembentukan parti Perikatan di waktu itu, " katanya.

Tun Abdullah pula berkata, Allahyarham adalah seorang yang cukup berjasa kepada negara dan bangsa kerana perjuangannya untuk menuntut kemerdekaan.

"Saya kenal baik dengan dia, beliau banyak bercerita tentang pengalaman dulu, susah payah dia dengan kawan-kawan dulu dan bagaimana mereka sentiasa bersatu padu seperti saudara.
"Dia pun ada beritahu, walaupun saya tahu daripada orang lain bahawa datuk saya yang memberi cadangan kepada Tunku untuk memilih 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan," katanya.

Sementara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham yang disifatkan baginda seorang negarawan yang banyak menyumbangkan jasa dan bakti kepada negara.

Baginda tidak dapat menghadiri upacara penghormatan dan pengebumian Allahyarham kerana sedang berada di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut bagi menyambut ketibaan kapal selam kedua negara, KD Tun Abdul Razak.

Bagaimanapun, menurut kenyataan Istana Bukit Kayangan, baginda telah menitahkan adinda baginda, Tengku Puteri Norzehan, bagi mewakili baginda ke upacara pengebumian itu.

Sementara itu, Dr Chua berkata Tun Omar adalah seorang yang paling cemerlang dan pemimpin hebat yang dimiliki MCA dan seorang yang bukan sahaja diterima oleh anggota parti itu tetapi juga kaum lain.

Dr Chua berkata sebagai seorang daripada pengasas parti dan pemimpin kanan yang dihormati, Tun Omar sentiasa berhubung rapat dengan parti dan pimpinannya walaupun usianya yang lanjut.

"Itu menunjukkan betapa sayangnya beliau terhadap parti masih kekal utuh. Beliau juga salah seorang pemimpin parti MCA yang hebat dan diterima oleh semua kaum," katanya ketika dihubungi.

Dr Chua berkata, sumbangan Tun Omar kepada parti dan negara terlalu besar kerana beliau juga memainkan peranan penting dalam usaha mencapai kemerdekaan negara dan pembentukan Malaysia. - BERNAMA

Lelaki mati dibunuh kejam hingga otak terkeluar

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati dibunuh dengan kejam sehingga terkeluar otaknya di sebuah rumah teres di Kampung Laksamana, Selayang, di sini hari ini.
Dalam kejadian 9.45 pagi itu, Amir Khan Abdullah @ Balwant Singh a/l Sarjan Singh, 53, ditemui di atas tilam dalam keadaan berlumuran darah dengan tujuh tikaman di kepala dan tiga tikaman di dada sebelah kiri.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah, berkata kepala dan muka sebelah kiri mangsa turut dihentak dengan menggunakan objek keras dan tumpul sehingga menyebabkan darah terpercik dan otak terkeluar.
"Polis menerima panggilan daripada adik lelaki mangsa berusia 47 tahun bahawa Amir Khan ditemui mati di dalam rumah. Polis bergegas ke rumah berkenaan dan menemui mayat mangsa di atas tilam dalam sebuah bilik.

"Banyak kesan darah terpercik ditemui di dinding tempat mayat mangsa ditemui, mangsa dipercayai bergelut dengan seseorang sebelum dibunuh," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat lelaki itu ditemui dengan kepala ditutup dengan bantal dan hanya memakai seluar pendek serta tidak berbaju.

"Polis menahan adik lelaki mangsa bagi membantu siasatan dan menemui sebilah pisau sepanjang 31 sentimeter di bawah tilam di biliknya," katanya.
Abdul Rahim berkata, mangsa dan adiknya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, tinggal berdua di rumah itu dan keadaan rumah berkenaan berselerak dan kotor seperti sarang penagih.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati Amir Khan mempunyai dua rekod jenayah membabitkan dadah dan mencuri manakala adiknya mempunyai satu rekod jenayah mencuri.

Mayat Amir Khan dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat. - BERNAMA

Kenyataan Anwar kesal kutuk Zionis undang kecaman

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung rasa kesal beliau menggunakan istilah "pencerobohan Zionis" ketika melawat Amerika Syarikat minggu lalu seperti yang dilaporkan akhbar Washington Post mengundang pelbagai kecaman.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mahu Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh memberi penjelasan kerana kenyataan itu seolah-olah penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memohon maaf.
"Anwar mengatakan beliau kesal menggunakan terma (pencerobohan Zionis) kepada rakannya di Amerika dan ini jelas menunjukkan beliau meminta maaf daripada mereka.
"Justeru, beliau patut jelaskan kepada rakyat Malaysia kenapa dia pergi ke sana dan meminta maaf kepada rakan-rakanya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Khairy berkata, tindakan Anwar itu jelas menunjukkan bahawa beliau seorang pemimpin yang suka "bermuka-muka" kerana sebelum ini pernah terbabit dalam demonstrasi besar-besaran di depan kedutaan Amerika Syarikat di sini, mengecam Israel menggunakan istilah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata sememangnya perkara itu telah diketahui sejak awal apabila "rakan-rakan Yahudi" Anwar di Amerika Syarikat mula mempersoalkan tindakannya.

Katanya, apabila mendapat laporan bahawa rakan-rakannya mulai marah, Anwar terpaksa pergi ke sana untuk memperbetulkan keadaan.
"Kita dah tahu cerita tu sebab geng Yahudi dia kat Amerika Syarikat yang sokong dia dulu dah mula marah. Bila dapat laporan tu, Anwar pergi untuk perbetulkan keadaan.

"Justeru, kita boleh lihat dia punya perangai. Di sini dia kecam, di sana dia pujuk. Itu dah memang stail dia. Jadi saya harap rakyat tahu semua itu," katanya.

Bagi Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, lawatan Anwar ke Amerika Syarikat lebih sebagai usaha untuk mengumpul sokongan kerana beliau benar-benar terdesak dengan pelbagai kes yang dihadapinya.

"Lawatan tu sebab dia terdesak kerana dia kini berdepan banyak masalah termasuk kes mahkamah. Sebab tu dia pergi untuk dapatkan sokongan dari negara luar, terutamanya pihak Israel. Ini jelas menunjukkan dia benar-benar terdesak," katanya.

Di BANGI, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Anwar memang terkenal dengan sifat lidah bercabang.

"Bila berjumpa orang India, dia adalah seorang pejuang masyarakat India, berjumpa orang Cina, beliau adalah hero masyarakat Cina dan bila berjumpa orang Islam, beliau adalah pejuang Islam.

"Apabila beliau berucap di Parlimen mempertikaikan pelantikan APCO Worldwide, beliau seolah-olah menjadi juara rakyat Malaysia keseluruhannya dengan mengutuk APCO sebagai penceroboh zionis," katanya selepas melepaskan Ekspedisi IMalaysia ke London di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Anwar mungkin mulai sedar beliau telah diketepikan masyarakat Yahudi yang tidak semuanya Zionis.

"Beliau menyedari rakan beliau di Amerika Syarikat telah bersikap dingin terhadap beliau kerana sikap beliau yang berlidah biawak itu dan kini langkah beliau adalah membersihkan dirinya," katanya.

Ahmad Zahid berkata, ketika berkunjung ke Amerika Syarikat awal Mei lalu, beliau berkesempatan bertemu dengan ahli senat dan kongres dan "tidak seorang pun bercakap mengenai Anwar lagi.

"Bagi saya antara negara dengan kepentingan parti, beliau harus utamakan negara. Walaupun kita berbeza pendapat dari segi politik tetapi demi negara kita harus mempertahankan negara bukan dengan memburukkan negara," katanya. - BERNAMA

FELDA tidak bankrap, kewangan kukuh dan stabil: GWGF

SUBANG: FELDA tidak bankrap, sebaliknya kedudukan kewangannya adalah kukuh dan stabil, kata Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail, hari ini.
"FELDA mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh yang disokong oleh aset syarikat yang sentiasa meningkat dan bernilai tinggi," katanya pada sidang media di sini.
Rozali berkata, GWGF telah mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan FELDA sejak seminggu lalu dan mendapat penjelasan daripada pihak pengurusan tertinggi FELDA mengenai kedudukan kewangan dan prestasi lembaga itu.
Katanya, walaupun berlaku penurunan kedudukan tunai syarikat dengan pembelian aset yang kukuh dan mempunyai nilai pulangan yang tinggi, ini tidak membimbangkan dan tidak menunjukkan susut nilai pegangan ekuiti Koperasi Permodalan FELDA Bhd yang dianggotai oleh peneroka dalam FELDA Holdings.

"Bagi mengelakkan kekeliruan mengenai kedudukan kewangan FELDA pada masa akan datang, GWGF mencadangkan pada bila-bila masa kedudukan tunai FELDA mestilah tidak kurang daripada RM1 bilion," katanya.

Rozali berkata, GWGF turut mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Pelaburan ditubuhkan dan sebarang pelaburan FELDA yang besar serta membabitkan perbelanjaan tinggi perlu diluluskan oleh jawatankuasa terbabit.

Katanya, GWGF melalui anggotanya yang terdiri daripada peguam bela dan peguam cara akan meneliti tindakan undang-undang sewajarnya kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mengelirukan fakta dengan tujuan memecahbelahkan masyarakat peneroka FELDA.
"Kita akan lihat tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang cuba memainkan isu ini," katanya.

Beliau juga meminta warga FELDA tidak terpengaruh dengan dakwaan dan tuduhan tidak berasas yang dibuat oleh mereka yang mungkin mempunyai kepentingan peribadi.

GWGF adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada Ogos 2002 dan dianggotai kira-kira 400 orang generasi baru peneroka FELDA dari 317 Rancangan Tanah FELDA di seluruh negara.

GWGF juga bertindak sebagai penasihat kepada enam persatuan peneroka FELDA lain.

Sementara itu, satu memorandum bantahan terhadap akhbar Suara Keadilan dihantar ke ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Damansara hari ini oleh anggota GWGF yang diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Abdullah Abu Bakar.

Memorandum itu membantah laporan Suara Keadilan bertarikh 22-29 Jun lalu yang memaparkan laporan muka depan "Felda Bankrap". - BERNAMA