KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop hari ini berkata penahanan 10 anggota Jemaah Islamiah (JI) awal tahun ini adalah bertindak atas maklumat bahawa kumpulan itu akan meletupkan tempat ibadat bukan Islam di Selangor dan Pulau Pinang.
Beliau berkata kumpulan yang diketuai oleh lelaki Syria bernama Ayman serta lapan lagi warga asing dan seorang rakyat tempatan itu ditahan di Sungai Cincin, Gombak pada 21 Januari lalu.
Katanya, daripada yang ditahan itu, didapati lima daripadanya adalah pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
"Semua mereka adalah pendakwah bebas dan penyokong kuat kepada Ayman iaitu ketua kepada kumpulan ini. Warga tempatan itu didapati telah berkenalan dengan Ayman semasa beliau belajar di Pakistan.
"Apa yang diketahui, peranan Ayman selain menjadi ketua kepada kumpulan berkenaan, beliau juga tenaga pengajar bagi kumpulan Al-Qaeda di mana beliau berperanan untuk melatih (rekrut) pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena daripada PAS, Datuk Mahfuz Omar yang mencelah ketika beliau menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Mahfuz dalam soalannya mempersoalkan kandungan taklimat keselamatan yang diberikan polis mengenai wujudnya kumpulan pengganas kepada Naib-Naib Canselor universiti dan wakil Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini yang didakwanya tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mengaitkan bahawa wujudnya sarang pengganas di IPT.
Beliau juga mendakwa bahawa pada sesi taklimat tersebut gambar Ahli Parlimen Marang dari PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya turut ditayangkan seolah mengaitkan fahaman wahabi dengan JI.
Dalam pada itu, Abu Seman berkata Ayman berada di negara ini bertujuan untuk mendapatkan potensi di kalangan pelajar yang boleh dijadikan sebagai kumpulan militan.
"Mereka kemudiannya akan dihantar ke negara ketiga untuk dilatih bagi berjihad," katanya.
Beliau berkata penahanan 10 anggota JI itu perlu dilakukan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara.
Pada 14 Jun lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan seramai 10 individu warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan ekstremis JI sejak awal tahun ini.
Dalam pendedahan itu, Musa berkata ke semua suspek berusia dalam lingkungan 30-an dihantar pulang ke negara asal mereka untuk tindakan undang-undang.
Sementara itu, menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Khalid Abd Samad (PAS-Shah Alam) yang pada sesi perbahasan RMKe-10 yang meminta kementerian mendedahkan tindakan yang diambil polis bagi mengawal fahaman tertentu di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), Abu Seman berkata KDN dan polis telah merangka tindakan bersepadu dengan agensi berkaitan untuk tangani isu keselamatan yang wujud di IPTA dan IPTS.
Agensi-agensi yang terbabit ialah Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri.
"Isu-isu yang ditangani meliputi dua aspek iaitu kegiatan yang sedang berlaku dan usaha-usaha pencegahan untuk menangani isu yang berkaitan. Kementerian hanya memantau dan melakukan tindakan terhadap apa jua fahaman yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam," katanya. - BERNAMA
Wednesday, June 23, 2010
Penahanan 10 anggota JI atas maklumat mahu letupkan rumah ibadat
Posted by Irwan at 9:42 PM 0 comments
Sime Darby alami penyusutan keuntungan RM3.165 bilion
KUALA LUMPUR: Kumpulan Sime Darby Berhad (Sime Darby) mengalami penyusutan keuntungan sebelum faedah dan cukai apabila mencatatkan sebanyak RM3.165 bilion pada 2009 berbanding RM5.248 bilion pada 2008.
Perolehannya dicatatkan sebanyak RM31.013 bilion pada 2009 berbanding RM34.04 bilion pada 2008.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penyusutan keuntungan itu adalah berikutan kerugian keputusan kewangan Bahagian Tenaga dan Utiliti bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2009.
Sehubungan itu, katanya, Lembaga Pengarah Sime Darby pada Oktober tahun lalu telah mewujudkan satu Jawatankuasa Kerja untuk mengkaji semula operasi bahagian berkenaan.
"Ini termasuk Projek Qatar Petroleum, Projek Maersk Oil Qatar (MOQ), projek pembinaan vesel untuk digunakan dalam projek MOQ dan projek empangan hidroelektrik Bakun," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (BEBAS-Wangsa Maju) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Wee ingin tahu perincian jumlah kerugian tahunan Sime Darby dan anak syarikatnya sejak 1989 hingga 2009 serta tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah kerugian pada setiap tahun tersebut.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, selepas fasa pertama kajian semula tersebut selesai, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan telah didapati bertanggung jawab ke atas kerugian yang berlaku.
"Namun, kajian masih berterusan dan tindakan yang perlu akan diambil berdasarkan laporan Jawatankuasa Kerja yang dilantik oleh Lembaga Pengarah Sime Darby bagi menentukan sebab dan jumlah kerugian bahagian itu," katanya.
Najib berkata, pada 27 Mei lalu, Sime Darby telah mengumumkan fasa kedua kajian semula dengan penilaian secara menyeluruh struktur organisasi dan pelaporan kumpulan.
"Ini adalah susulan daripada penemuan Jawatankuasa Kerja berkenaan. Kelemahan dalam bidang pengurusan, organisasi dan pelaporan telah dibangkitkan oleh Jawatankuasa Kerja dan beberapa syor telah diajukan untuk menanganinya," katanya.
Beliau berkata, sehubungan itu Lembaga Pengarah telah mencadangkan struktur pelaporan dan organisasi dan melantik perunding untuk mengkaji cadangan berkenaan.
"Selain itu, sebuah firma guaman bebas telah dilantik untuk melaksanakan penyiasatan susulan untuk menentukan kebertanggungjawabab berdasarkan kepada penemuan oleh Jawatankuasa Kerja ke atas empat projek utama Bahagian Tenaga dan Utiliti," katanya.
Jumlah kerugian hasil sebelum faedah dan cukai untuk Golden Hope Plantation Bhd ialah RM610.4 juta pada tahun 2007 manakala jumlah kerugian bagi Kumpulan Guthrie Bhd pada tahun 2006 ialah RM546 juta. - BERNAMA
Posted by Irwan at 9:42 PM 0 comments
Tak benar tanggapan UMNO cuba pikat ulama untuk tandingi PAS: Tun M
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tanggapan kononnya UMNO cuba menarik lebih ramai ulama menyertai agar ia setanding dengan Pas adalah tidak berasas.
Ini kerana UMNO membuka keahliannya kepada semua golongan masyarakat, kata Dr Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO.
"UMNO selalu memiliki ulama sebagai ahli, cuma mereka ini tidak memperagakan diri mereka sebagai ulama. Mereka sangat bertolak ansur.
"Malah kalau kita lihat sejarah, mereka yang menubuhkan Pas adalah bekas ulama UMNO yang meninggalkan parti kerana tidak dipilih untuk bertanding," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah pertandingan Projek Pendidikan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas ura-ura seorang bekas mufti negeri dan 100 orang ulama berkelulusan tinggi akan menyertai UMNO pada Jumaat ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata orang ramai tidak boleh berpegang kepada tanggapan kononnya teladan dan contoh yang ditunjukkan oleh pemimpin termasuk yang berkelas dunia adalah sentiasa benar.
semua pemimpin ini, katanya, adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.
"Kita boleh jadikan mereka contoh, walaupun mereka melakukan kesilapan iaitu dengan cara belajar daripada kesilapan mereka itu dan tidak mengulanginya," katanya. - BERNAMA
Posted by Irwan at 9:41 PM 0 comments
Kerajaan tak pernah janjikan projek semasa berkempen: PM
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah menjanjikan program atau projek kepada rakyat semasa kempen pilihan raya kecil di seluruh negara termasuk di Parlimen Sibu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata program yang dilaksanakan di kawasan pilihan raya kecil Sibu merupakan program yang telah dirancang oleh kerajaan terlebih dahulu sebelum pilihan raya kecil tersebut diadakan sama seperti di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain di seluruh negara.
"Bagi pilihan raya kecil Sibu, kerajaan telah meluluskan 107 program atau projek bernilai RM37.7 juta untuk dilaksanakan di seluruh kawasan Parlimen berkenaan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wong Ho Leng (DAP-Sibu) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata peruntukan itu meliputi program atau projek berbentuk fizikal, sumbangan atau bantuan dan program kemasyarakatan.
Wong ingin tahu jumlah peruntukan yang telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sibu sepanjang kempen pilihan raya kecil Sibu yang berakhir pada 16 Mei lalu dan jumlah yang dibelanjakan oleh kerajaan Barisan Nasional dalam kempen pilihan raya berkenaan. - BERNAMA
Posted by Irwan at 9:40 PM 0 comments
Labels: berita