TEMERLOH: Seramai 418,200 atau 41 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam dikesan terbabit dengan aktiviti penerimaan rasuah sepanjang tahun lalu, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman.
Beliau berkata, jumlah itu adalah membimbangkan dan harus ditangani segera.
"Bagi menangani masalah tersebut, Cuepacs akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mereka yang terbabit dengan aktiviti rasuah diambil tindakan dan diheret kemuka pengadilan.
"Kita mahu memerangi rasuah di kalangan penjawat awam dan juga membuat laporan kepada SPRM terhadap pihak yang cuba menyogokkan rasuah kepada penjawat awam.
"Cuepacs tidak akan berkrompomi atau bertolak ansur dengan melindungai mana-mana penjawat awam dengan gejala ini yang boleh menjejaskan pembangunan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung kali ke-8 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Jabatan Kerja Raya dan Air Cawangan Temerloh, di sini hari ini.
Omar berkata, selain rasuah, Cuepacs juga tidak akan melindungi penjawat awam yang terbabit dalam masalah disiplin termasuk cubaan memalsukan sijil cuti sakit dan ponteng kerja.
Beliau mengulangi kenyataannya bahawa dianggarkan antara 1,000 hingga 2,000 penjawat awam didapati memalsukan sijil cuti sakit atau mengubah jumlah asal cuti sakit yang diberikan oleh doktor.
"Mereka mendapatkan sijil cuti sakit palsu daripada klinik yang bukan panel dan ada sesetengahnya klinik berkenaan tidak wujud pun.
"Ada sesetengahnya pula mengubah jumlah cuti sakit yang ditulis oleh doktor misalnya 1 hari kepada 11 hari," katanya. - Bernama
Wednesday, June 2, 2010
41 peratus penjawat awam terbabit rasuah tahun lalu: Cuepacs
Posted by Irwan at 10:25 PM 0 comments
Penyanyi 'Sayang Kinabalu' meninggal dunia
KOTA KINABALU: Penyanyi tempatan Sabah, Kimin Mudin, yang popular dengan lagu "Sayang Kinabalu", sebuah lagu Dusun yang dijadikan popular khusus bagi mempromosi pelancongan di Sabah, meninggal dunia akibat masalah jantung di Hospital Likas dekat sini awal hari ini.
Kimin, 46, yang juga abang kepada pencipta dan penulis lirik lagu popular Asmin Mudin, menghembuskan nafas terakhirnya pada 1.35 pagi selepas dimasukkan ke hospital itu malam tadi.
Asmin, 40, berkata, Kimin yang berasal dari Kampung Kelatuan, Papar mengadu sesak nafas selepas mandi di rumahnya di Kampung Rampaian Menggatal pada kira-kira 10 malam.
"Isterinya kemudian menghantarnya ke Hospital Likas. Semasa dirawat di sana, abang saya kemudian pengsan dan disahkan meninggal pada jam 1.35 pagi," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Orang Islam Jalan Kepayan, dekat sini hari ini.
Turut berada di tanah perkuburan itu ialah para artis tempatan Sabah termasuk Abu Bakar Ella.
Nama Kimin mula dikenali ramai selepas membawa lagu Sayang Kinabalu ciptaan Asmin pada 2000 dan pada 2004, pengurusan Skyline mengambil alih tugas untuk mempromosi album yang memuatkan lagu Sayang Kinabalu.
Asmin yang turut mencipta lagu Kau Ilham Ku, Anggapanmu, Gemilang yang masing-masing pernah dipopularkan oleh Man Bai, Ziana Zain dan Jacklyn Victor, berkata setakat ini jualan album Sayang Kinabalu sudah mencecah sekitar 50,000 unit.
Kimin dikurniakan tujuh cahaya mata termasuk dua lelaki. - Bernama
Posted by Irwan at 9:20 PM 0 comments
Ciuman perokok boleh bunuh kanak-kanak: Pakar
MELBOURNE: Ciuman perokok boleh membawa maut kepada kanak-kanak, kata seorang pakar kesihatan kanak-kanak.
Prof Robert Booy, pengarah penyelidikan di Pusat Imunisasi dan Penyelidikan Kebangsaan di The Children's Hospital di Sydney, berkata ini kerana perokok berkemungkinan besar membawa sejenis bakteria berbahaya pada kerongkong mereka.
"Bakteria yang boleh menyebabkan kematian ini akan dipindahkan kepada kanak-kanak semasa mereka dibelai dan dicium.
"Perokok adalah pembawa kuman seperti meningococcus. Jadi, pelukan dan ciuman pada kanak-kanak, boleh menyebabkan kuman tersebar walaupun seseorang perokok itu merokok di luar rumah," katanya seperti dipetik laporan Australian Associated Press.
Menurut laporan itu, seorang daripada 10 kanak-kanak yang terkena penyakit akibat jangkitan bakteria itu akan meninggal dunia. - Bernama
Posted by Irwan at 9:11 PM 0 comments
12 sukarelawan Malaysia di Israel sudah dibebaskan
KUALA LUMPUR: Semua 12 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan komando rejim Israel ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, sudah dibebaskan dan kini berada di sempadan Jordan.
Pembebasan mereka itu dibuat awal hari ini, menurut laporan langsung dari wartawan Astro Awani yang turut ditahan.
Posted by Irwan at 9:07 PM 0 comments
Labels: berita