Followers

Tuesday, May 25, 2010

Tumpahan minyak tidak masuki perairan Pengerang: JAS

JOHOR BAHRU: Tumpahan minyak daripada kapal tangki MT Bunga Kelanga 3 yang berlanggar dengan kapal MV Waily di Tanjung Stapa, perairan Pengerang kira-kira 6.10 pagi tadi, dijangka tidak akan memasuki perairan Malaysia dan menjejaskan pantai.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, dalam satu kenyataan di sini, berkata ia berdasarkan tiupan arah angin ke barat daya dengan kelajuan 20 hingga 30 kilometer sejam dan keadaan air laut yang surut mulai 3.25 petang tadi.

"Pihak AET Tanker Holding Sdn Bhd, anak syarikat MISC Bhd yang mengendalikan MT Bunga Kelana 3 telah memasang "boom" di sekeliling kapal dan Petroleum Industry of Malaysia Mutual Aid Group telah dilantik bagi menghadapi kemungkinan tumpahan minyak merebak ke perairan Pengerang," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, JAS Johor dengan kerjasama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Unit Udara Polis dan Jabatan Laut Wilayah Selatan akan terus memantau keadaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Ketika kejadian, MT Bunga Kelana 3 membawa 63,054 tan metrik light crude oil milik Petronas dari Bintulu ke kilang penapis Petronas di Melaka, manakala kapal MV Waily membawa kargo bijih besi dan sedang dalam pelayaran dari India ke Hong Kong.

Kejadian menyebabkan 2,000 tan metrik minyak tumpah setelah berlaku koyakan sepanjang 10 meter pada MT Bunga Kenanga manakala MV Waily hanya mengalami kerosakan kecil.

Tumpahan tersebut yang menyamai 14,660 tong minyak cukup untuk memenuhkan kolam renang bersaiz olimpik.
Bunga Kelana 3 didaftarkan di Pelabuhan Klang manakala MV Waily berdaftar di Kingstown, Saint Vincent and The Grenadines.

APMM yang menerima maklumat mengenai kejadian tiba di tempat kejadian kira-kira jam 10.27 pagi untuk menyelamatkan 50 anak-anak kapal berada di atas kedua-dua kapal tersebut yang terdiri daripada warga Malaysia, India, Pakistan, Indonesia, China dan Filipina.

Semua anak-anak kapal berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan. - Bernama

Mayat bayi ditemui ditanam dekat landasan kereta api

SHAH ALAM: Polis menemui mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditanam berhampiran landasan kereta api berdekatan Stesen Komuter Padang Jawa, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 10 malam memaklumkan mengenai penemuan longgokan tanah berupa kubur kecil.

"Polis kemudian menggali longgokan tanah itu dan menemui satu benda dibalut kain putih. Apabila dibuka didapati ada mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Noor Azam berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. - Bernama

Umno tak pernah campur urusan parti komponen BN: Shafie

BANGI: Umno sama sekali tidak pernah mencampuri sebarang urusan dalaman parti komponen Barisan Nasional (BN) walaupun di saat mereka sedang bergelut dengan masalah dalaman masing-masing, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Sambil melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap tuduhan bahawa Umno melakukan pembunuhan politik untuk memecah-belahkan MIC, Shafie berkata tuduhan seumpama itu perlu diseiringkan dengan bukti jika ia benar-benar berlaku.

"Sepanjang pengetahuan saya, sebagai salah seorang Naib Presiden parti dan antara pemegang jawatan tertinggi parti, tidak pernah sama sekali Umno mencampuri urusan dalaman parti komponen lain, termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Sejarah telah membuktikan bahawa MCA pernah menghadapi masalah dalaman yang sangat serius tetapi kami tidak pernah mencampuri urusan mereka. Sudah tentu Umno akan mengambil berat kerana apa yang berlaku akan memberikan implikasi terhadap keseluruhan jentera BN," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan tambahan Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, S Vell Paari, kononnya Umno menggunakan pembunuh politik untuk memecah belahkan MIC.

Shafie berkata, sebarang perbalahan dalam parti komponen BN akan memberi kesan terhadap usaha memperkukuh dan memperkasakan BN.

Justeru, katanya, adalah wajar jika pemimpin BN melahirkan hasrat untuk melihat proses penyelesaian berlangsung pada kadar segera.
"Dengan mengambil berat tidak bererti kami mencampuri urusan dalaman mereka malah kami tidak pernah berbincang mengenai sebarang perkara termasuk berkaitan hala tuju MIC, tetapi kami mahu tahu, bila MIC boleh diperkasakan semula atau bagaimana ia boleh diperkasakan semula.

"Kalau ada suara dari dalam parti itu sendiri, takkan kita (Umno) pula yang dipersalahkan," katanya. - Bernama

Mahmoud Abbas lawat Malaysia esok

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Palestin akan meningkatkan keakraban hubungan dua hala yang sedia terjalin dengan lawatan kerja Presiden Mahmoud Abbas ke negara ini mulai esok.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini berkata Abbas akan diiringi beberapa menteri dan pegawai kanan kerajaan dalam lawatan tiga hari itu.

Pemimpin Palestin itu dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Negara di sini. Lawatan Abbas adalah kali kedua selepas 2007.

"Lawatan itu juga menyediakan peluang untuk pemimpin kedua-dua negara membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa bagi kepentingan bersama khususnya mengenai perkembangan terbaru di Palestin," menurut kenyataan itu. - Bernama