GEORGETOWN: Seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta sejenis alat BAGI memudahkan kerja-kerja mengutip data termasuk untuk mengesan objek di dasar air sungai atau tasik.
Alat ciptaan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Prof Madya Mohd Rizal Arshad itu dikenali sebagai "Drosobot".
Sistem alat itu dicipta dengan mengambil fenomena semula jadi lalat atau Drosophila yang bersifat menghidu dan antara kegunaan alat itu ialah ia dapat mengesan objek, menyukat suhu dan kedalaman sesuatu sungai, kolam atau tasik dengan tepat dan cepat.
"Alat ini berfungsi dalam hal-hal pemetaan, pengukuran persekitaran, struktur geografi dasar laut, keselamatan dermaga, pengesanan telaga minyak dan turut berpotensi digunakan dalam misi menyelamat mangsa lemas," katanya di sini, hari ini.
Katanya, alat itu boleh dikawal secara manual atau diprogramkan melalui titik-titik pergerakan berasaskan maklumat GPS.
"Alat yang menggunakan bateri itu mampu bertahan selama tiga jam dan mampu mengesan sesuatu sehingga 1,000 kaki ke dalam dasar-dasar sungai, tasik dan sebagainya," katanya.
Rizal berkata, ciptaan alat yang hanya mengambil masa selama lapan bulan itu menggunakan geran penyelidikan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi dan ia akan dijual dengan harga RM18,000 seunit. - Bernama
Wednesday, May 19, 2010
USM cipta alat kesan objek dalam air
Posted by Irwan at 8:50 PM 0 comments
Labels: berita, teknologi dan sains
PM lancar penanda aras sukuk global denominasi dollar AS
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini melancarkan penanda aras Sukuk Global dalam denominasi dollar Amerika Syarikat (AS) di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).
Sukuk berkenaan, distruktur di bawah prinsip Ijarah dalam Syariah, adalah sukuk denominasi dollar AS kedua Malaysia sejak kejayaan penerbitan sukuk global negara pertama dunia pada 2002.
Barclays Capital, CIMB dan HSBC diberi mandat sebagai pengurus akaun bersama dan pengurus utama bersama bagi tawaran sukuk itu.
Menurut sumber industri kewangan, nilai sukuk itu akan lebih tinggi daripada penerbitan sukuk pertama bernilai lebih AS$600 juta
Bercakap pada majlis pelancaran itu, Najib berkata, sukuk global itu akan menetapkan penanda aras harga baru bukan hanya untuk penerbitan sukuk masa depan tetapi juga penerbitan bon konvensional Malaysia.
Sukuk global ini akan dikenali sebagai "Emas" yang menjadi simbol nilai dan jaminan universal, katanya.
Najib berkata, Malaysia kini dalam kedudukan yang baik untuk penyertaan kedua dalam pasaran sukuk global.
"Hari ini, saya gembira untuk memulakan penerangan bergerak bagi sukuk global Malaysia dan berharap kejayaan dalam penerbitan dalam denominasi dollar ini," katanya.
Sukuk itu akan disenaraikan di Bursa Malaysia, Bursa Kewangan Labuan dan Hong Kong, dijangka diberi penarafan A- oleh Standard and Poor’s dan A3 oleh Moody’s.
Ia juga akan menetapkan penanda aras harga baru bagi Malaysia. - Bernama
Posted by Irwan at 8:49 PM 0 comments
Malaysia negara ke-10 paling kompetitif di dunia
KUALA LUMPUR: Malaysia muncul sebagai negara ke-10 paling kompetitif di dunia daripada tempat ke-18 sebelum ini, iaitu adalah satu lonjakan yang luar biasa berikutan peningkatan signifikan di segi prestasi ekonomi disebabkan pelbagai faktor seperti kemasukan pelaburan berkualiti, dasar kerajaan yang pragmatik dan risiko kestabilan politik yang rendah.
Ketika memberi Malaysia markah yang tinggi dan menaikkan kedudukannya sebanyak lapan tingkat, Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) di dalam World Competitiveness Yearbook 2010, berkata faktor lain ialah pelaksanaan secara berkesan keputusan kerajaan, yang sebahagian besarnya kerana keupayaan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengemudikan ekonomi negara.
Turut dipuji ialah keupayaan dasar kerajaan untuk diubah suai mengikut perubahan ekonomi, katanya, yang jelas merujuk kepada pakej rangsangan sebanyak RM67 bilion yang dilancarkan oleh Najib, yang juga Menteri Kewangan bagi merangsang ekonomi dari kemelesetan global berikutan dari krisis kredit subprima AS.
Pelancaran Model Baru Ekonomi (MBE) oleh Najib yang mensasarkan untuk melakukan transformasi negara bagi melahirkan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi yang dapat mengekalkan dan menempatkannya pada landasan yang betul ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020 turut menjadi ciri-ciri kukuh penyesuaian dasar kerajaan untuk melakukan perubahan pada ekonomi.
IMD World Competitiveness Yearbook (WCY) itu adalah laporan tahunan paling terkemuka dan komprehensif mengenai daya saing negara-negara, kedudukannya dan analisis bagaimana persekitaran negara itu mewujudkan dan mengekalkan daya saing enterprisnya.
Daripada 10 kedudukan teratas itu, katanya, Australia berada pada kedudukan ke-lima, Taiwan (ke-lapan) dan Malaysia (ke-10) dan mendapat manfaat dari permintaan kukuh di Asia serta di dalam pelaksanaan dasar yang efisien.
Ketiga-tiga negara itu diletakkan pada kedudukan yang baik di segi keefisienan kerajaan," kata IMD.
IMD berkata, Malaysia juga diletakkan pada kedudukan tinggi kerana daya tahan ekonomi terhadap kitaran (menurun), ketelusan yang mencukupi di kalangan institusi kewangan serta birokrasi kerajaan yang tidak menjadi halangan kepada aktiviti perniagaan seperti yang ditunjukkan oleh pengembangan pantas di dalam ekonomi sejak beberapa tahun lalu.
Selepas menerima kesan krisis ekonomi global, ekonominya telah pulih pada suku terakhir tahun lepas sebanyak 4.4 peratus dan lebih kukuh lagi pada kadar 10.1 peratus pada suku pertama tahun ini.
Antara kekuatan Malaysia yang berada pada kedudukan di atas ialah kepelbagaian ekonomi dan kadar pertukarannya manakala imbangan akaun semasanya berada pada kedudukan ke-dua dan ketiga bagi eksport barangan.
Selain itu, kos kompetitif modal yang menggalakkan pembangunan perniagaan, masyarakat yang mempunyai ramai orang lanjut umurnya itu tidak menjadi beban bagi pembangunan ekonomi dan undang-undang pengangguran menyediakan satu insentif untuk mencari pekerjaan juga adalah perkara yang kukuh terhadap ekonomi.
Berita baik bagi majikan korporat di Malaysia ialah wujud pengurus kanan yang mahir di negara ini, lembaga pengarah korporat telah menyelia pengurusan syarikat dengan berkesan dan para pengurus mahir di dalam perniagaan.
Malaysia juga terus meningkatkan pembelajaran sepanjang hayat dan memupuk satu tenaga kerja yang berbakat sambil ia memacu produktiviti dan daya saing melalui pemikiran kreatif dan inovatif.
IMD juga menyatakan bahawa ketelusan dasar kerajaan amat memuaskan selepas bertambah baik dari 3.94 peratus kepada 5.98 peratus manakala dasar perlindungan tidak menjadi satu faktor di dalam ekonomi Malaysia di mana ia tidak merosakkan perniagaan.
Katanya, penempatan pada kedudukan yang tinggi itu juga adalah disebabkan pelaburan berkualiti yang mengukuhkan ekonomi dan tindakan untuk mendidik perusahaan kecil dan sederhana bagi bersaing pada peringkat global.
Penambahbaikan juga dilakukan di dalam bidang lain seperti amalan rasuah, birokrasi, ketelusan, kestabilan politik, pengangguran jangka panjang, hutang korporat dan indeks harga pengguna.
Bagi penetapan kedudukan subsektor, Malaysia berada pada senarai teratas bagi ketelusan institusi kewangan dan faktor institusi kewangan berisiko rendah.
Sektor kewangan negara itu kekal berdaya tahan walau pun berlaku kemelesetan di dalam sektor kewangan AS dan Eropah, selepas berjaya mengukuhkan lagi kehadirannya di dalam landskap kewangan, terutama sekali di dalam pembiayaan Islam dan perbankan.
Malaysia kini adalah peneraju di dalam kewangan Islam, pasaran modal Islam dan industri takaful dan wujud peluang besar yang berpotensi menjadi satu hab bagi perkhidmatan kewangan Islam bersepadu.
Sebagai contoh, Bank Negara Malaysia (BNM) kini sedang memuktamadkan usaha mewujudkan satu pusat kewangan islam fizikal dan pengeluaran dua lesen bank Islam mega.
Ringgit, yang mencapai ketinggian 3.1 bagi setiap dollar AS, muncul sebagai mata wang Asia baru muncul paling kukuh di segi prestasi berbanding mata wang dollar AS sehingga kini tahun ini, yang meningkat lebih 7.0 peratus berdasarkan prospek pertumbuhan kukuh negara itu.
Ia juga meningkat 19 peratus berbanding euro dan 16 peratus berbanding pound.
“Bagi teroka usaha sama awam dan swasta, pembiayaan bagi teknologi, sains di sekolah-sekolah dan eksport teknologi tinggi, negara itu ditempatkan ke kedudukan ke-empat terbaik,” kata IMD.
IMD berkata, sekolah memberi penekanan yang mencukupi terhadap sains.
Di bawah subpenempatan keefisienan kerajaan, Malaysia ditempatkan pada tempat kedua bagi kos modal kerana terdapat sokongan bagi pembangunan perniagaan.
Ia juga ditempatkan pada kedudukan ke-dua kerana penyesuaian dasar kerajaan kepada perubahan di dalam ekonomi.
Bagaimanapun, IMD tidak menonjolkan kelemahan pada penempatan kedudukan bagi Malaysia, yang termasuk subsidi tinggi kerajaan kepada syarikat swasta dan awam di segi peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar, kos lebih pada, defisit bajet kerajaan dan bilangan prosedur yang banyak untuk memulakan sesuatu perniagaan. - Bernama
Posted by Irwan at 8:49 PM 0 comments
Labels: berita
Gempa bumi kuat 6.0 magnitud di utara Peru
WASHINGTON: Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda utara Peru awal pagi tadi, kata Agensi Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS).
Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan. USGS berkata, gempa bumi jam 4.15 pagi (waktu tempatan) itu berpusat kira-kira 131 kilometer utara-barat laut bandar Moyobamba pada kedalaman 125 kilometer.
Susulan kejadian itu, tiada laporan kerosakan atau kecederaan diterima. - AFP
Posted by Irwan at 6:56 PM 0 comments
Labels: berita