Followers

Thursday, May 13, 2010

Unjuran KDNK 2010 dikaji semula kepada 6 peratus: PM

PUTRAJAYA: Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2010 dikaji semula kepada 6 peratus daripada antara 4.5 hingga 5.5 peratus yang dibuat sebelum ini berikutan pertumbuhan pesat 10.1 peratus pada suku tahun pertama ini.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, di sini, hari ini.

Arab Saudi lihat Malaysia sebagai negara Islam paling maju di dunia

RIYADH: Kagum dengan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia, Arab Saudi melihat negara itu sebagai sebuah negara Islam paling maju di dunia.
Ketika menyatakan perkara ini, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Malaysia dan wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Persidangan Islam di Arab Saudi, Profesor Madya Datuk Syed Omar Al Saggaf, berkata Arab Saudi berminat untuk belajar daripada kejayaan Malaysia.

"Oleh itu mereka berharap dapat belajar daripada pengalaman Malaysia, terutamanya dari segi pengetahuan teknologi, antara lainnya, termasuk dalam sektor pertanian.
"Mereka menyedari bahawa Malaysia menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam banyak bahagian dan mereka juga cuba untuk belajar daripada negara bagaimana ia berjaya membangun dan bertahan daripada krisis ekonomi global dalam tempoh masa yang singkat," katanya.

Syed Omar juga menyebut contoh Malaysia berjaya menarik pelancong dalam usahanya memperkenalkan pelancongan kesihatan.

"Sebelum ini, pelancong pergi ke Jerman bagi tujuan itu tetapi sekarang nampaknya industri tersebut semakin berkembang di Malaysia," katanya.

Syed Omar juga berkata, Arab Saudi berminat untuk belajar daripada pengalaman Malaysia dalam menangani krisis kewangan global dan bagaimana ia kini berada di landasan pemulihan ekonomi.
Menurut Bank Dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada kadar tahunan 2.20 peratus pada suku lepas. KDNK negara bernilai AS$195 bilion atau 0.31 peratus daripada ekonomi dunia.

Sebagai ekonomi yang sedang pesat membangun di Asia, Malaysia, sebuah negara berpendapatan sederhana, telah berubah perlahan-lahan sejak 1970-an daripada pengeluar bahan mentah menjadi sebuah ekonomi pelbagai sektor.

Kerajaan Malaysia, di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meneruskan usaha untuk meningkatkan permintaan domestik bagi memisahkan ekonominya daripada bergantung kepada eksport walaupun ketika ini eksportnya, terutama elektronik, masih kekal sebagai pemacu utama ekonomi.

Syed Omar berkata demikian dalam temu bual dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Penasihat Pembangunan Koridor di Malaysia.

Bekas perdana menteri itu mengetuai delegasi misi pelaburan Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) ke Asia Barat termasuk Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu, Riyadh dan Jeddah di Arab Saudi dari 7-17 Mei.

Misi itu adalah susulan kepada kunjungan terdahulu Najib ke Arab Saudi pada Januari.

Turut hadir pada sesi temu bual itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John.

Syed Omar berkata, kedutaan itu akan memberikan sokongan dan bantuan bagi memastikan kejayaan misi tersebut yang bertujuan menarik pelabur serta meningkatkan hubungan perniagaan dua hala dengan negara Asia Barat. - Bernama

Pertumbuhan KDNK 10.1 peratus suku pertama 2010: PM

PUTRAJAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2010 meningkat kepada 10.1 peratus berbanding 4.4 peratus bagi suku keempat tahun lalu, umum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi. 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata ia adalah peningkatan tertinggi pertumbuhan KDNK sejak suku pertama 2000.

Pengguna merungut gula kurang di Kelantan

KOTA BAHARU: Bekalan gula dikatakan berkurangan di Kelantan sejak sebulan dua lalu. Misalnya dalam tinjauan di sebuah pasar raya di sini mendapati pembeli berpusu-pusu membeli gula setiap kali diletakkan di tempat jualan sehingga kehabisan bekalan dalam sekejap masa saja. Maka pasar raya berkenaan terpaksa menetapkan bahawa setiap pembeli hanya boleh membeli dua kilogram gula.
Seorang peniaga kantin sekolah, Rohani Majid berkata beliau sukar mendapatkan bekalan sejak sebulan lalu. "Sudah jenuh saya mencari gula, semua kedai kehabisan stok. Ada yang hadkan pembeliannya," katanya.

Seorang suri rumah, Siti Norlida Mohd Akhir berkata, beliau terpaksa menggunakan susu pekat bagi menggantikan gula sejak sebulan lalu.
Peniaga kedai runcit, Zakuwan Rashid berkata memang berlaku masalah kekurangan gula di mana beliau sendiri sukar mendapat bekalan. "Saya terpaksa meletak tanda bahawa bekalan gula sudah habis di kedai saya," katanya.

Namun Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri menafikan berlaku kekurangan gula.

Pemangku Pengarah jabatan tersebut, Rosli Ahmad berkata pihaknya setakat ini tidak menerima laporan kekurangan bekalan dari pembekal.

"Lapan pembekal utama gula di negeri ini tidak membuat sebarang laporan mengenai mereka tidak mendapat bekalan gula kepada pihak kami. Ini bermakna masalah kekurangan sebenarnya tidak langsung berlaku," katanya kepada Bernama.
Menurutnya pejabat tersebut membuat pemantauan bekalan setiap hari dan mendapati semua pasar raya dan kedai runcit mendapat bekalan yang secukupnya.

"Gula sentiasa ditambah mengikut keperluan, seperti bulan April lalu sebanyak 4,723 metrik tan gula telah dibekalkan berbanding pada Mac di mana sebanyak 4,725 metrik tan dibekalkan dan setakat ini Mei ini, sebanyak 1,606 metrik tan telah dibekalkan kepada pembekal," jelasnya.

Rosli berkata pembeli mengalami kekurangan gula mungkin di sebabkan ramai yang membelinya dalam masa yang serentak. "Mungkin berdasarkan khabar angin kononnya negeri ini sedang menghadapi kekurangan gula menyebabkan setiap pengguna membelinya dengan kuantiti yang berlebihan untuk dijadikan stok di rumah masing-masing.

"Ada juga pengguna yang membeli gula dengan banyak mungkin untuk keperluan majlis perkahwinan pada musim cuti persekolahan tidak lama lagi," katanya.

Bagaimanapun Persatuan Pengguna Kelantan meminta supaya menyiasat kemungkinan gula diseludup ke negara jiran sehingga menyebabkan berlaku kekurangan bekalan. - Bernama