Followers

Friday, March 12, 2010

Gempa bumi sederhana landa Laut Banda, Indonesia


2010/03/12

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.4 pada skala Richter berlaku di Laut Banda, Indonesia jam 5.09 pagi ini.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataannya berkata, pusat gempa bumi itu berlaku pada latitud
7.8 darjah selatan dan longitud 128.3 darjah timur iaitu kira-kira 1,757 kilometer (km) tenggara Tawau, Sabah.

Tiada ancaman tsunami akibat gegaran itu.

Laut Banda ialah laut di Selatan Kepulauan Maluku yang mempunyai kira-kira 150 pulau. - Bernama

Isu sekolah menumpang diberi keutamaan dalam RMK-10

KOTA KINABALU: Pembinaan sekolah baru bagi mengatasi masalah sekolah menumpang di bangunan sekolah lain, yang dikatakan menganggu proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) akibat kesesakan, akan diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata sepatutnya tidak harus ada sekolah yang menumpang dan ketika ini di Sabah sahaja sebanyak 27 sekolah menengah dikenal pasti sedang menumpang di sekolah rendah.

"Sepatutnya tidak harus ada sekolah menumpang, Saya malu jadi Menteri Pelajaran waktu mana anak-anak kita terpaksa menumpang...bukan menumpang di Sekolah Menengah, tapi yang menengah menumpang di sekolah rendah," katanya kepada pemberita selepas majlis bersama warga pendidikan di Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu, di sini hari ini. Beliau berkata masalah itu turut berlaku di Semenanjung dengan sebahagian besarnya di kawasan-kawasan maju disebabkan oleh proses urbanisasi yang mengakibatkan jumlah penduduk tumbuh dengan pesat.

"Kadang-kadang agak susah nak ramalkan berapa jumlah penduduk tinggal di situ...tapi bila dah timbul hal begitu kita (kerajaan) tak boleh biarkan berlarutan," katanya.

Muhyiddin berkata bagi Sabah, kerajaan akan mengenal pasti yang mana yang paling akut untuk diatasi segera dan antara langkah sementara adalah menyediakan kabin atau bilik darjah sementara.

Beliau berkata ini kerana pembinaan sebuah sekolah baru memerlukan kos kira-kira RM50 juta yang tentunya akan menelan kos bilion ringgit untuk mengatasi sepenuhnya masalah itu yang memerlukan kajian terperinci.

"Jadi kita akan beri keutamaan yang menganggu proses P&P...laporan dari peringkat (Jabatan) Pelajaran negeri kita akan ambil perhatian," katanya.Isu sekolah menumpang itu diketengahkan semasa sesi dialog oleh Pegawai Pelajaran Daerah Pitas Halim Bidin yang meminta kerajaan memberi perhatian bagi pembinaan bangunan sekolah baru bagi mengatasi masalah sekolah yang terpaksa menumpang di bangunan sekolah lain yang menurutnya menjejaskan proses P&P.

Beliau memberikan contoh dua sekolah sedemikian di kawasan Pitas iaitu SMK Kanibongan dan SMK Bongkol serta SMK Bandau SMK Langkon dan SMK Simpang di Beluran. - Bernama

Thursday, March 11, 2010

20 tokoh terkaya di dunia 2010: Forbes

NEW YORK: Sepuluh daripada orang paling terkaya di dunia memiliki kekayaan terkumpul bernilai AS$342 billlon pada tahun ini, berbanding hanya AS$254 billion tahun lalu.
Berikut senarai 20 orang terkaya di dunia yang diumumkan Majalah Forbes hari ini:
1. Carlos Slim Helu dan Keluarga (Mexico. Telekomunikasi. AS$53.5 billion)
2. Bill Gates (Amerika Syarikat. Microsoft. AS$53 billion)
3. Warren Buffett (Amerika Syarikat. Berkshire Hathaway. AS$47 billion)
4. Mukesh Ambani (India. Minyak, Gas. AS$29 billion)
5. Lakshmi Mittal. (India) Besi & Keluli. AS$28.7 billion)
6. Lawrence Ellison (Amerika Syarikat. Oracle . AS$28 billion)
7. Bernard Arnault (Perancis. LVMH - barangan mewah. AS$27.5 billion)
8. Eike Batista (Brazil. Pelombongan, Minyak. AS$27 billion)
9. Amancio Ortega (Sepanyol. Pakaian Runcit. AS$25 billion)
10. Karl Albrecht (Jerman. Pasaraya AS$23.5 billion)
11. Ingvar Kamprad dan Keluarga (Sweden. Ikea. AS$23 billion)
12. Christy Walton dan Keluarga (Amerika Syarikat. Walmart. AS$22.5 billion)
13. Stefan Persson (Sweden. Hennes and Mauritz. AS$22.4 billion)
14. Li Ka-shing (Hong Kong. Pelbagai. AS$21 billion)
15. Jim Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$20.7 billion)
16. Alice Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$20.6 billion)
17. Liliane Bettencourt (Perancis. L’Oreal. AS$20 billion)
18. S. Robson Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$19.8 billion)
19. Putera Alwaleed Bin Talal Alsaud (Arab Saudi. Pelaburan. AS$19.4 billion)
20. David Thomson dan Keluarga (Kanada. (Harta Warisan/Pusaka. (AS$19 billion). - AFP

Mesyuarat JCM mengenai maklumat, komunikasi Malaysia-Indonesia Mei ini

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) mengenai maklumat dan komunikasi pada Mei ini di Kuala Lumpur bagi membincangkan usaha meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang itu.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata mesyuarat itu yang akan diadakan pada minggu pertama Mei juga bertujuan mempereratkan lagi hubungan persahabatan peringkat rakyat kedua-dua negara.

Beliau berkata topik yang akan dibincangkan adalah pelbagai berikutan banyak kerjasama telah dijalin hasil hubungan dua hala yang telah memakan masa puluhan tahun.

"Topik akan dibincangkan memang pelbagai...selain daripada budaya, ialah informasi, dan bagaimana persahabatan kita menerusi masyarakat dan masyarakat dapat kita eratkan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia Tifatul Sembiring di pejabat menteri itu di sini hari ini.

JCM Malaysia-Indonesia mengenai Maklumat dan Komunikasi telah diwujudkan sejak 1984 dan dihoskan secara bergilir setiap tahun. Dr Rais yang secara rasmi mengundang Tifatul ke mesyuarat itu hari ini berkata mesyuarat itu mungkin juga akan membincangkan hal-hal kerjasama menerusi radio dan TV yang praktikal untuk dilaksanakan.

Menteri itu berkata Tifatul juga mungkin akan diwawancara di TV di Malaysia bagi membolehkan rakyat Malaysia mengetahui dengan lebih menyeluruh mengenai usaha Indonesia dalam mengeratkan lagi persahabatan kedua-dua negara menerusi bidang maklumat dan komunikasi.

Sementara itu, Tifatul berkata hubungan Malaysia-Indonesia adalah hubungan sejarah bangsa serumpun yang sudah lama dan hubungan itu tidak seharusnya terputus semata-mata kerana diganggu isu-isu kecil yang menyebabkan rakyat kedua-dua negara salah faham.

"Datuk Rais seleranya tak berbeza dengan kita, bila kita hidangkan masakan minang, ia sesuai dengan seleranya.

"Ini menunjukkan bahawa akar budaya kita, akar rasa kita sama. Kesamaan ini tentu akan dimanfaatkan dengan program saling kunjung mengunjung, lawat-melawat antara satu sama lain," katanya sambil menambah bahawa lawatan itu boleh juga diperluaskan di peringkat delegasi. Tifatul yang turut mencadangkan supaya usaha merapatkan hubungan itu diperluaskan melalui sastera seperti pertandingan berbalas pantun, berkata jika Indonesia dan Malaysia jarang atau tidak pernah berkomunikasi, salah faham mungkin akan timbul di mana hal-hal kecil seolah-olah menjadi besar.

Ditanya sama ada isu-isu kecil antara Indonesia dan Malaysia yang berlaku selama ini boleh dianggap selesai, Menteri Komunikasi dan Informatika itu berkata ia boleh diselesaikan secara berperingkat-peringkat dan menjadi lebih mudah dengan adanya banyak program kunjung mengunjung di kedua-dua belah pihak.

Tifatul juga berpendapat pertukaran maklumat melalui siaran berita seperti Warta Serumpun, yang dilaksanakan sebelum ini wajar diteruskan bagi membolehkan rakyat kedua-dua negara mendapat gambaran sebenar, lebih-lebih lagi dengan amalan demokrasi yang berbeza di Indonesia selepas era reformasi, di mana rakyatnya bebas bercakap apa sahaja sehingga ke tahap boleh menjejaskan hubungan antara negara. - Bernama