Followers

Thursday, February 11, 2010

Gempa Haiti: Angka kematian meningkat 217,000 orang

PORT-AU-PRINCE: Angka kematian akibat gempa kuat di Haiti meningkat kepada 217,000 orang sehingga semalam dengan tumpuan ketika ini menambah tempat perlindungan kepada mangsa yang hilang tempat tinggal.

Ini berikutan Haiti akan dilanda musim tengkujuh serta ribut kuat dalam masa beberapa hari ini.

“Ada pihak yang meletakkan angka korban kepada 230,000 orang tetapi kami sudah mengiranya dan ia sehingga 217,000 saja setakat ini," kata Menteri Dalam Negeri, Paul Bien-Aime.

Kerajaan juga mengumumkan hari berkabung esok sebagai genap sebulan gempa kuat 7.0 magnitud itu melanda negara miskin di

Caribbean itu.

“Kini ada sekitar 1.2 juta penduduk tanpa tempat perlindungan," kata pegawai Palang Merah Britain, David Pappiat pada Sidang Kemuncak Palang Merah di Montreal, Kanada, semalam.

"Kami sedang berusaha untuk mendirikan lebih banyak khemah sementara yang kukuh bagi memastikan mangsa tidak terjejas teruk ketika musin tengkujuh tidak lama lagi," katanya.

Wednesday, February 10, 2010

Isu kalimah "Allah": Raja-Raja Melayu ambil maklum permintaan

KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-220 yang berlangsung semalam dan hari ini, mengambil maklum pelbagai permintaan, surat dan memorandum pelbagai pertubuhan dan individu Islam di negara ini yang menzahirkan rasa dukacita mereka mengenai penterjemahan perkataan "God" kepada "Allah".

Menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini hari ini, penterjemahan itu telah banyak menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam.

"Isu ini jika tidak ditangani dengan segera akan menggugat kesucian agama Islam dan berkemungkinan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Perkara Tiga Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini dan Perlembagaan Persekutuan juga memberikan kuasa kepada Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri di negara ini.

"Raja-Raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi negara tanpa mengetepikan hak dan kebebasan beragama kaum-kaum lain.

"Raja-raja Melayu memberi jaminan untuk memenuhi tanggungjawab melindungi kesucian dan status agama Islam," kata kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu juga berpandangan sebarang perbuatan yang merosakkan rumah ibadat adalah perbuatan provokatif yang amat membahayakan dan tidak harus dibenarkan sama sekali berlaku.

"Perbuatan-perbuatan khianat yang didorong oleh emosi wajib dihentikan kerana tidak direstui malah ditegah daripada dilakukan oleh semua agama.

"Perbuatan tersebut adalah perbuatan jenayah yang perlu dibendung secara tegas dan segera," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, Raja-Raja Melayu turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia yang telah bertindak secara profesional bagi mengawal keadaan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

"Raja-Raja Melayu amat memahami tugas berat yang terpaksa mereka hadapi dan menyeru agar usaha-usaha pasukan keselamatan mengawal ketenteraman awam hendaklah diberikan sokongan sepenuhnya," kata kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu juga mengambil maklum isu penggunaan istilah Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly sedang di peringkat pertimbangan Mahkamah Rayuan, menurut kenyataan itu lagi.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini yang dipengerusikan Sultan Perak Tuanku Azlan Shah turut membincangkan perkara-perkara berkaitan agama, pertahanan, keselamatan serta pelantikan hakim-hakim Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. - Bernama

Kerja mencari mangsa pasar raya Haiti runtuh dihentikan

PORT-AU-PRINCE: Kerja menyelamat mangsa runtuhan bangunan pasar raya di Haiti pagi tadi, dihentikan apabila tiada tanda-tanda mangsa yang masih hidup.

Selepas hampir enam jam mencari menggunakan kelengkapan mendengar dan kamera khusus, pasukan penyelamat berkata mereka tidak nampak tanda-tanda mangsa masih hidup.

Runtuhan terbaru berlaku ketika kontraktor swasta menjalankan kerja mencari mayat mangsa gempa bumi 12 Januari lalu.

Bangunan Pasar Caribbean setinggi lima tingkat yang popular di kalangan golongan berada itu, rosak berikutan gempa bumi bulan lalu, sebelum runtuh hari ini.

Difahamkan, pasukan menyelamat mencuba pelbagai kaedah bagi mencari kira-kira lima hingga lapan mangsa yang tertimbus di bawah bangunan berkenaan. - AFP

Pasar raya terbesar Haiti runtuh

PORT-AU-PRINCE: Sebuah pasar raya Haiti yang rosak dalam kejadian gempa di negara itu baru-baru ini, runtuh hari ini bersama-sama beberapa mangsa di dalamnya, menurut penyelia tapak dan petugas penyelamat.

"Beberapa pencuri berada di dalam bangunan yang rosak itu. Saya cuba menghalau mereka ketika bangunan ini runtuh, mereka masih berada di dalam," kata penyelia tapak itu, Meir Vaknin.

Pasar Raya Caribbean runtuh ketika lima hingga lapan pencuri terbabit berada dalamnya.

Beliau berkata, satu ruang simpanan runtuh ketika beliau sedang bertugas di tapak itu menggunakan pengorek bagi mengeluarkan mayat yang masih ada di dalamnya.

Katanya, sekurang-kurangnya seorang mangsa dikesan masih hidup.

Kejadian itu mengakibatkan terbentuk satu kawah besar dan jenkaut boleh dilihat di dalamnya.

Sementara itu, petugas penyelamat Mexico, Carlos Mendez, berkata mereka menemui dua mangsa setakat ini.

Ketika diajukan soalan sama ada yang lain masih hidup, beliau berkata: "Itu yang kami sedang cuba dapatkan kepastian."

Bangunan pasar raya lima tingkat itu terkenal di kalangan warga Haiti bagi golongan berada dan adalah pasar raya terbesar di ibu kota negara berkenaan. - AFP