Followers

Thursday, February 4, 2010

Malaysia perlu ada ciri negara abad ke-21: PM

MELAKA: Datuk Seri Najib Razak berkata negara perlu dilengkapi prasarana perhubungan yang baik untuk menjadi sebuah negara maju dan moden bercirikan abad ke-21.

Perdana Menteri berkata, prasarana itu membabitkan perhubungan antara negeri, wilayah dan negara lain menerusi rangkaian lebuh raya dan penerbangan yang boleh dinikmati sebahagian besar rakyat.

"Destinasi perjalanan kita sebagai sebuah negara ialah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan moden,

sebuah negara yang berjaya, sebuah negara yang dikatakan negara yang bercirikan abad ke-21. Ia adalah destinasi perjalanan kita," katanya ketika merasmikan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Perdana Menteri juga berkata, Melaka tidak boleh hanya bersandarkan kepada aspek sejarah untuk terus maju terutama dalam perlancongan, sebaliknya perlu dilengkapi dengan segala kemudahan moden seperti lapangan terbang.

11 barang kawalan untuk Tahun Baru Cina

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan 11 jenis barang harga terkawal di bawah skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baru Cina berkuat kuasa 10 hingga 21 Febuari ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 11 barangan itu termasuk perut babi dan daging babi yang buat pertama kali diperkenalkan dalam skim berkenaan.

"Harga maksimum runcit bagi perut babi ialah RM20 sekilogram di Semenanjung manakala di Sarawak serta Sabah harganya antara RM16 dan RM20 dan di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan pula RM23 sekilogram.

"Harga bagi daging babi pula RM14 sekilogram di Semenanjung, di Sarawak dan Sabah antara RM10 dan RM16 sekilogram dan di WP Labuan RM20 sekilogram," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata berikutan daging babi buat pertama kali dimasukkan dalam senarai barangan kawalan, peniaga daging babi dikehendaki mendapatkan lesen khas yang boleh didapati secara percuma di semua pejabat kementerian.

Ismail berkata barangan lain ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B, dan C, kubis bulat import dari Indonesia dan China kecuali jenis Beijing, ikan bawal putih serta udang putih besar.

Harga maksimum runcit bagi ayam hidup di Semenanjung ialah RM5.85 hingga RM6.10 sekilogram, di Sabah dan Sarawak antara RM6.30 dan RM8.70 sekilogram dan di WP Labuan RM6.30 sekilogram.

Ayam standard pula antara RM6.90 dan RM7.20 sekilogram di Semenanjung, Sabah dan Sarawak antara RM9.30 dan RM10.30 sekilogram manakala di WP Labuan RM9.30 sekilogram.

Harga ayam super ialah antara RM7.70 dan RM8.05 sekilogram di Semenanjung, RM8.80 hingga RM11.50 sekilogram di Sabah dan Sarawak manakala di WP Labuan ditetapkan RM9.50 sekilogram.

Sementara itu, Ismail berkata daging lembu tempatan dan daging kerbau import (India) digugurkan daripada senarai barang kawalan kali ini.

Penetapan harga maksimun borong dan runcit itu dibuat bagi 138 kawasan di seluruh negara. - Bernama

Wednesday, February 3, 2010

5 tan gula dirampas dari kedai runcit

NILAI: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PKPDK&K) Negeri Sembilan hari ini merampas lima tan metrik gula pasir kasar bernilai kira-kira RM8,250 dari sebuah kedai runcit di Taman Semarak di sini.

Timbalan Pengarah PKPDK&K Negeri, Mohd Nor Musa, berkata rampasan tersebut dibuat hasil aduan orang ramai bahawa kedai itu menjual gula pada harga RM1.80 sekilogram yang melebihi harga yang ditetapkan iaitu RM1.65 sekilogram.

"Kita telah menghantar dua orang pegawai kita untuk menyamar bagi membeli gula di kedai ini dan resit yang dikeluarkannya memang tertera harga RM1.80 sekilogram," katanya kepada pemberita di premis berkenaan.

Beliau berkata jika sabit kesalahan, pemilik kedai tersebut boleh didenda sehingga RM15,000. - Bernama

Batik 1Malaysia diperkenal esok

KUALA LUMPUR: Batik 1Malaysia yang bakal dijadikan pakaian acara rasmi serta pada majlis 1Malaysia akan diperkenalkan kepada umum pada program 1Malaysia di Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang, Melaka malam esok.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata batik hasil rekaan Kraftangan Malaysia akan dipakai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, serta semua menteri yang hadir pada majlis itu.

Beliau berkata, rekaan itu telah mendapat persetujuan Perdana Menteri setelah diperagakan kepada beliau pagi tadi.

"Perdana Menteri telah meneliti rekaan ini sebanyak dua kali dan beliau dapati semua rekaan tersebut menarik, cuma memerlukan beberapa ubahsuai agar lebih sesuai dengan tuntutan mereka yang akan memakainya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di pejabatnya di bangunan Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Rekaan batik itu pertama kali dipertontonkan kepada Perdana Menteri dan anggota Kabinet pada 20 November lalu.

Rais berkata, selain angka satu (1) yang jelas tertera di bahagian dada, pilihan warna juga mewakili semua warna yang terdapat pada bendera Malaysia yang digabungkan dengan elemen kaum di negara ini iaitu Melayu, Cina, India dan etnik di Sabah dan Sarawak.

Bagi menyemarakkan lagi pemakaiannya, beliau telah meminta semua program yang membabitkan 15 jabatan di bawah kementerian itu mengenakan pakaian batik tersebut dalam setiap majlis anjurannya.

Rais turut menggesa semua pengusaha batik untuk turut serta mengeluarkan rekaan yang mencerminkan identiti 1Malaysia kerana yakin fesyen tersebut mampu menarik perhatian masyarakat.

"Fesyen batik 1Malaysia ini dijangka mendapat perhatian masyarakat asalkan pihak kraftangan menggunakan taktik pemasaran yang positif dan menyeluruh dan untuk itu saya telah meminta pihak kraftangan (Kraftangan Malaysia) mengadakan satu majlis bagi membolehkan pakaian batik ini diperagakan kepada umum," katanya.

Rais berkata, rekaan itu tidak akan diletakkan di bawah Akta Hakcipta kerana jika berbuat demikian hasrat kerajaan untuk memperkembangkan 1Malaysia akan terhalang.

"Cadangan kita ialah supaya fesyen ini boleh dibeli di mana-mana, justeru kita tidak akan mengehadkan, siapa sahaja boleh membuat dan menjualnya asalkan setiap rekaan mempunyai angka 1 dan jika boleh saya nak minta supaya pada Mac ini, pakaian batik ini sudah boleh dibeli oleh orang ramai," katanya. - Bernama