WASHINGTON: Satu lagi gempa bumi kuat menggegarkan Haiti sebentar tadi dan kali ini berukuran 6.1 magnitud, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).
Pusat gempa kali ini sama ketika gempa terkuat 7.0 magnitud yang melanda lapan hari lalu, iaitu di 59 kilometer di ibu negara Haiti, Port-au-Prince.
Gempa berlaku jam 6.03 pagi waktu tempatan (7.03 petang waktu Malaysia).
Gempa kuat lapan hari lalu setakat ini sudah mengorbankan lebih 50,000 nyawa dengan lebih 100,000 orang cedera dan lebih sejuta penduduk hilang tempat tinggal. - AFP
KUALA LUMPUR: Seramai 355 pesakit baru dengan gejala serupa Influenza (ILI) dimasukkan ke hospital sepanjang tempoh 10 hingga 16 Januari lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Beliau berkata, pada tempoh sama, 339 kes sudah discaj keluar.
"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga Sabtu lalu adalah sebanyak 341 kes di 43 hospital kerajaan.
"Daripada jumlah tersebut, hanya 25 pesakit atau 7.3 peratus adalah kes Influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, terdapat lima kes H1N1 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan empat daripadanya mempunyai faktor risiko manakala seorang tiada faktor risiko.
“Sehingga 16 Januari lalu, jumlah terkumpul kes positif Influenza A (H1N1) adalah 12,356 dan jumlah kematian terkumpul kekal 77 orang,” katanya.
Beliau berkata, satu kejadian kelompok ILI dilaporkan berlaku di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Geokosmo Sungai Selisek, Hulu Selangor pada 16 Januari lalu.
Bagaimanapun, katanya kedua-dua sampel yang diambil adalah negatif untuk Influenza A.
Dr Mohd Ismail turut mengingatkan pelatih dan pihak berkuasa di kem PLKN seluruh negara supaya terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan H1N1.
Dalam satu kenyataan berlainan, Dr Mohd Ismail berkata, ujian ke atas sekumpulan pekerja sebuah kilang di Bandar Baru Bangi, Selangor yang mengalami gejala demam, batuk dan selsema sejak Jumaat lalu menunjukkan mereka hanya demam selsema biasa akibat jangkitan virus influenza bermusim.
“Walaupun 11 daripada 45 orang yang mengalami gejala itu pada awalnya diuji positif terhadap Influenza A, namun ujian pengesahan Influenza A (H1N1) di sebuah makmal rujukan menunjukkan kesemuanya negatif,” katanya. - Bernama
KUALA LUMPUR: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) menerima sumbangan bantuan kecemasan perubatan bagi mangsa gempa bumi di Haiti yang mengorbankan ribuan mangsa pada 12 Januari.
Presidennya, Dr Ahmad Faizal Perdaus, berkata dana itu akan disalurkan terus kepada Haiti untuk digunakan oleh rakan Mercy Malaysia, Medical Emergency Relief International (Merlin), yang kini berada di Port-au-Prince.
"Menyediakan sumbangan cara ini adalah lebih cekap. Dana disalurkan terus kepada pasukan Merlin di sana dan ini adalah cara lebih baik untuk kita sumbang kepada mangsa gempa bumi tanpa menyebabkan kesesakan urusan logistik di Haiti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UN OCHA) melaporkan baru-baru ini bahawa kekurangan bahan bakar, kerosakan infrastruktur dan kemusnahan besar akibat gempa bumi yang menimpa rakyat Haiti menyukarkan usaha bantuan besar-besaran dilakukan, tetapi bantuan mula disampaikan kepada mangsa.
Pengarah Program Merlin Pete Sweetnam, berkata, persatuan itu telah menghantar dua pasukan ke Haiti, dengan yang pertama pada Sabtu lalu.
Gempa bumi 7.0 magnitud melanda Haiti yang mengorbankan ribuan mangsa dan memusnahkan sekolah, hospital serta kediaman. - Bernama
NEW YORK: Malaysia telah dipilih secara sebulat suara sebagai presiden baru Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Pada perhimpunan yang dihadiri duta dan diplomat daripada 54 negara anggota ECOSOC itu, wakil tetap Malaysia ke PBB Datuk Hamidon Ali, dipilih sebagai presiden ke-66 majlis berkenaan.
Presiden ECOSOC sebelumnya, Sylvie Lucas, wakil tetap Luxembourg, memulakan sesi dengan merayu untuk membantu negara yang musnah dilanda gempa bumi, Haiti.
Asia telah sepakat dalam pencalonan Hamidon untuk jawatan presiden ECOSOC itu, mengikut dasar giliran dari segi geografi.
Dalam kenyataan pertamanya selepas mengambil alih jawatan itu, Hamidon mengucapkan terima kasih kepada Lucas di atas "sumbangan dan kepimpinan yang luar biasa" terhadap kerja-kerja ECOSOC.
"Beliau telah menetapkan standard yang tinggi yang saya harap dapat mengikut jejaknya.
"Kita mempunyai beberapa cabaran penting di hadapan kita. Saya melihatnya sebagai peluang untuk dimanfaatkan dan mewujudkan momentum baru untuk pembangunan," katanya.
ECOSOC membantu Perhimpunan Agung PBB dalam mempromosikan pembangunan sosial dan ekonomi antarabangsa. - Bernama