Followers

Saturday, January 9, 2010

PPIM tawar sukarelawan pantau rumah ibadat

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menawarkan sukarelawan bagi membantu pihak berkuasa memantau keselamatan rumah-rumah ibadat.

Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata penawaran sukarelawan itu adalah antara langkah awal yang diambil oleh persatuan tersebut dalam usaha membantu polis.

"Kita harap sukarelawan kita dapat memainkan peranan mereka dan setakat ini telah ada lebih 300 orang yang menyatakan persetujuan untuk sama-sama membantu memantau keselamatan rumah ibadat dan penambahan sukarelawan ini juga akan diperkembangkan ke seluruh negara dalam usaha kita membantu memastikan keharmonian dapat dikekalkan.

"Dengan ini, PPIM harap dapat membantu meredakan keadaan yang kelihatan sedikit tegang berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik, Herald," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, beliau juga mengesa kerajaan supaya mereka yang terbabit dengan insiden membakar gereja dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). - Bernama

Dr Mahathir ingatkan rakyat supaya bertenang

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menasihati rakyat supaya bertenang berikutan insiden membaling bom api di empat gereja sekitar Kuala Lumpur dan tidak bertindak melakukan perbuatan di luar kawalan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Beliau berkata, lebih mudah untuk mengawal golongan sofistikated, berpendidikan dan bersikap terbuka dalam perkara yang membabitkan sentimen keagamaan tetapi bukan mereka yang "dikatakan" kurang berpendidikan dan tidak rasional.

"Satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu ini adalah untuk bertenang, tetapi bagaimana anda boleh beri jaminan bahawa mereka yang kurang berpendidikan akan turut akur dan bertenang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Keluarga Proton 2010 yang diadakan sempena ulang tahun ke-25 Proton di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, lebih baik untuk membincangkan isu sensitif seperti isu keagamaan secara tertutup dan tidak terlalu brsikap ghairah dengan mengadakan perhimpunan awam dan demonstrasi.

"Di negara ini, isu sensitif tertentu perlu diselesaikan secara tertutup tetapi apabila ada peristiwa umum dengan mahkamah membuat keputusan, maka sesetengah pihak mungkin berasa gembira dan ada juga yang tidak gembira... saya berasa tidak gembira," katanya merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember yang membenarkan Gereja Roman Katolik di Malaysia menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitan mingguannya, Herald.

Mengenai gesaan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) yang meminta penerbitan media supaya tidak memainkan isu perkauman dalam penerbitan mereka, Dr Mahathir berkata pengamal media perlu lebih matang untuk tidak memainkan isu seperti itu.

Beliau turut menggesa masyarakat Malaysia supaya tidak dipaksa bersetuju dengan pandangan terbuka berhubung isu sensitif tertentu yang diterima dan diamalkan oleh beberapa negara maju.

"Kita hidup dalam masyarakat yang pelbagai agama, pelbagai ekonomi, pelbagai budaya dan pelbagai bahasa... kita tidak seharusnya dipaksa bersetuju dengan apa yang dikatakan peradaban dan pandangan terbuka negara maju.

"Kita telah pun muncul sebagai sebuah negara maju dalam acuan kita sendiri dan ini tidak bermakna bersikap terlalu bebas sehingga mula berjalan ke sana sini tanpa berpakaian dan sebagainya. Itu adalah cara mereka (negara maju) yang menganggapkan diri mereka maju dan bukannya kita," katanya. - Bernama

Satu lagi gereja dilempar bom api

PETALING JAYA: Sebuah lagi gereja di Jalan Othman di sini, Good Shepherd Lutheran Church, turut menjadi sasaran bom api, dipercayai berlaku serentak dengan tiga insiden semalam.

Bagaimanapun, kejadian itu hanya disedari kira-kira jam 2 petang tadi oleh seorang paderi, Augustine Mutusamy, 43, yang lalu di hadapan gereja terbabit dan melihat dua kesan terbakar pada dinding bangunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 2.05 petang dan terus berkejar ke lokasi.

Katanya, siasatan mendapati dua kesan terbakar pada dinding gereja dan beberapa botol pecah di kawasan itu.

"Melihat kepada kesan terbakar, polis percaya kejadian ini bukan baru sebaliknya serentak dengan tiga lagi kejadian baling bom api, iaitu masing-masing di Petaling Jaya, Desa Melawati dan Damansara, namun ia tidak disedari pihak gereja," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Arjunaidi berkata, berdasarkan maklumat pengurusan gereja, pengawal yang ditugaskan menjaga bangunan itu melaporkan tiada sebarang kejadian mencurigakan sehingga jam 1 pagi semalam.

"Polis kini menyiasat secara terperinci kes ini mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan," katanya.

Malaysia tetap agenda pembangunan teknologi hijau 26 Januari

MIRI: Hala tuju pembangunan teknologi hijau negara akan ditetapkan setelah mesyuarat pertama Majlis Teknologi Hijau Negara yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Putrajaya pada 26 Januari ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin, berkata lapan menteri bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, akan menganggotai majlis itu yang juga komponen untuk mempromosi aplikasi teknologi hijau selaras dengan objektif dan matlamat Dasar Teknologi Hijau Negara.

Selain beliau, anggota Kabinet lain yang terbabit dalam majlis ini ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor; dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Kong Cho Ha.

"Mesyuarat pertama ini menjadi langkah susulan selepas pelancaran Dasar Teknologi Hijau oleh Perdana Menteri Julai lalu," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, majlis itu mungkin akan menjemput pakar luar negara dalam bidang pembangunan teknologi hijau untuk menganggotai jawatankuasa teknikal yang bakal ditubuhkan bagi memantapkan lagi usaha kerajaan memajukan teknologi berkenaan di negara ini.

Selepas mesyuarat pertama ini, Chin berkata Najib dijangka melancarkan Skim Pinjaman Mudah Teknologi Hijau di Putrajaya.

Katanya, pelancaran skim pinjaman ini merupakan susulan kepada pengumuman dalam Bajet 2010 berkenaan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion untuk membangunkan teknologi hijau di negara ini.

Katanya, di bawah skim ini syarikat pembekal teknologi hijau boleh membuat pinjaman sehingga RM50 juta sementara syarikat pengguna pula boleh mendapat pinjaman maksimum RM10 juta.

Chin juga berkata, kementeriannya buat julung kalinya akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Greentech dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM 2010) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 14 hingga 17 Oktober depan.

Katanya, Mesyuarat Meja Bulat Menteri-Menteri berkaitan Teknologi Hijau dan program institusi pengajian tinggi awam tempatan dan luar negara akan turut diatur semasa pameran dan persidangan antarabangsa itu. - Bernama