Followers

Thursday, January 7, 2010

KDNK Malaysia dijangka berkembang 7 peratus

KOTA KINABALU: Ekonomi Malaysia mungkin berkembang sebanyak tujuh peratus pada 2011 berdasarkan kepada keadaan ekonomi dunia yang kian pulih, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Husni berkata, beliau yakin sasaran pertumbuhan lima peratus untuk tahun ini boleh dicapai.

Ahmad Husni berkata, walaupun Bank Dunia mensasarkan pertumbuhan 4.7 peratus untuk Malaysia tahun ini, kerajaan menetapkan unjuran yang tinggi iaitu lima peratus.

"Untuk mencapai sasaran ini (lima peratus), kerajaan sudah menjalankan kajian dan satu daripada inisiatifnya ialah meningkatkan permintaan tempatan bagi merancakkan ekonomi," katanya selepas merasmikan seminar mengenai Perniagaan Jihad di Universiti Malaysia Sabah di Likas, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan.

"Projek di dalam perancangan akan dibawa ke hadapan untuk pelaksanaan. Kementerian juga akan cuba dan mempercepatkan proses tender bagi projek yang dikenal pasti.

"Kita percaya dengan meningkatnya tahap kecekapan, kita akan mencapai sasaran berkenaan," katanya.

Ahmad Husni berkata, kerajaan akan terus mengutamakan sektor tertentu, terutamanya industri pelancongan yang jelas tidak terjejas oleh kelembapan ekonomi baru-baru ini.

Dalam hal ini, beliau berkata, pelancongan kesihatan akan memainkan peranan penting bagi mencapai keputusan yang diharapkan itu.

Beliau berkata, ia adalah seiring dengan konsep 1Malaysia Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan matlamatnya untuk menukarkan negara dari ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi pengilangan atau berprestasi tinggi.

"Malah, konsep 1Malaysia bukan saja mengenai menyatukan bangsa negara...ia juga mengenai bagaimana kita mahu menempatkan Malaysia sebagai negara penting di peta dunia termasuk dalam sfera ekonomi," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Husni menggesa Bumiputera Islam menceburi perniagaan untuk meningkatkan standard kehidupan mereka.

Beliau berkata, seminar itu tepat dan sesuai pada masanya kerana ia menggariskan keperluan untuk bergerak ke hadapan dalam perniagaan bagi menikmati kejayaan dalam kehidupan. - Bernama

Gerhana matahari separa 15 Januari ini

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia sekali lagi berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa atau dikenali sebagai 'gerhana matahari anulus' pada 15 Januari ini antara 3 petang hingga 5.45 petang berikutan 'sentuhan pertama' bulan ke cakera matahari.

Agensi Angkasa Negara (Angkasa) berkata orang ramai dapat menyaksikan matahari terlindung oleh bulan sehingga mencapai kegelapan maksimum kira-kira 40 peratus di bahagian utara Semenanjung pada waktu petang.

"Langkawi adalah lokasi strategik dengan litupan maksimum di Malaysia iaitu sebanyak 40 peratus dan bahagian pantainya yang menghala ke arah barat begitu sesuai dengan sentuhan terakhir iaitu sewaktu matahari terbenam," kata agensi itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu berkata peratus matahari dilindungi oleh bulan semakin mengurang ke bahagian tengah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Gerhana matahari anulus akan kelihatan dengan lintasan selebar 300 kilometer (km) merentasi Afrika Tengah, Lautan Hindi dan Asia Timur, apabila bulan merentas di hadapan matahari, namun tidak menutupi mataharinya kerana saiz bulan yang lebih kecil, dan matahari akan kelihatan seperti cincin yang terang atau anulus di sekeliling luar cakera bulan, katanya.

Angkasa berkata gerhana ini pernah berlaku pada 26 Januari 2009 dan sempena gerhana kali ini, agensi itu akan menganjurkan program pencerapan gerhana matahari mulai 2.30 petang hingga 6 petang di Planetarium Negara Kuala Lumpur bagi tujuan mendedahkan dan menanamkan minat masyarakat terhadap astronomi.

Antara aktiviti yang akan diadakan ialah tayangan ''Dawn of the Space Age'' dan ''SOS Planet'' di Teater Angkasa, takilmat gerhana matahari dan kuiz di perkarangan planetarium serta melawat galeri pameran.

Pada program pencerapan gerhana itu, kaca mata gerhana eksklusif serta ''Eclipse Mints'' akan diberi kepada pengunjung paling awal, dan Angkasa juga akan menyediakan teleskop untuk mereka melihat gerhana itu.

Orang ramai yang tidak berkesempatan ke Planetarium Negara boleh melayari www.angkasa.com.my untuk menyaksikan siaran langsung Gerhana Matahari Separa mulai 3 petang hingga 5.40 petang pada hari berkenaan.

Sementara itu, Pusat Sains Negara dalam kenyataan di sini hari ini berkata pusat itu akan ditutup kepada orang ramai dari 18 Jan hingga 31 Mac untuk kerja pengubahsuaian. Ia akan dibuka semula pada 1 April depan. - Bernama

Eye On Malaysia di Melaka disita

MELAKA: Roda gergasi atau lebih dikenali Eye On Malaysia di muara Sungai Melaka yang menjadi antara tarikan utama pelancongan sejak lebih setahun lalu, disita jam 9.30 pagi tadi, sekali gus terpaksa memberhentikan operasinya.

Tindakan menyita kawasan berkenaan dilakukan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 November lalu, membenarkan permohonan pemilik asal roda gergasi berkenaan dari Belgium, Fitraco NV untuk mengambilnya balik dari Eye On Malaysia Sdn Bhd (Eom), pemilik roda itu di sini.

Arahan bagi memaklumkan mengenai tindakan menyita tempat itu disampaikan oleh seorang peguam yang mewakili Fitraco NV kepada Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Eom, Mahadzir Yunus di tapak roda gergasi terbabit, kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Berikutan itu, syarikat terbabit melantik RSM RKT Group untuk mewakili mereka bagi menjaga seluruh kepentingan di kawasan tapak roda berkenaan.

Fitraco NV memfailkan saman pada Eom dan MST Ad Suria Sdn Bhd (MST Ad Suria) pada 15 September tahun lalu, selepas syarikat terbabit gagal melunaskan hutang pinjamannya sebanyak RM17 juta bagi menyewa dan membawa roda berkenaan ke Malaysia pada 2006.

Pinjaman selama dua tahun itu sepatutnya diselesaikan pembayarannya pada Mei tahun lalu.

Arahan menyita dan mengambil alih roda berkenaan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 November lalu.

MST Ad Suria adalah syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk roda Eye On Malaysia pada 2006, sebagai sebahagian daripada tarikan utama sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia pada 2007. Difahamkan sebanyak RM30 juta dibelanjakan bagi membawa roda berkenaan.

Roda ini kemudian beroperasi di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 1 Januari 2007 hingga 31 Ogos 2008.

Sebaik saja ia tamat beroperasi di situ, kerajaan Melaka bersetuju untuk mengambil alih roda berkenaan menerusi Eom, sebuah syarikat usahasama yang ditubuhkan bersama MST Ad Suria. Kerajaan negeri diwakili Kumpulan Melaka Berhad (KMB).

Roda itu kemudian dibawa ke Melaka pada September 2008 dan beroperasi secara rasmi sebulan selepas itu.

Sejak dibuka pada Oktober 2008, Eye On Malaysia dikatakan sudah berjaya mencatatkan perolehan sebanyak RM5 juta.

Kalimah Allah: Kerajaan tak dapat halang protes

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak dapat menghalang sekiranya ada mana-mana pihak ingin mengadakan tunjuk perasaan atau demonstasi bagi membantah isu penggunaan kalimah Allah di sekitar kawasan masjid selepas sembahyang Jumaat, esok.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berharap perkara itu tidak akan berlaku dan sekiranya berlaku ia secara minimum tanpa mengundang perkara negatif sehingga merebak dan tidak terkawal.

“Perkara ini (isu kalimah Allah) biarlah diselesaikan mahkamah, secara baik-baik, tidak boleh menaikkan perhatian sangat, bagaimanapun pihak berkuasa sudah bersedia...dan saya harap kalau ada yang nak protes, ia tidak merebak dan jadi serius, saya harap ia tidak akan berlaku.

“Apa saja langkah pencegahan yang perlu dibuat, kita akan buat, itu terpulang kepada pihak berkuasa hendak buat apa, bukan saya yang kena beritahu apa yang patut dibuat...,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Klinik 1Malaysia Kerinchi, Lembah Pantai, di sini, pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan segelintir umat Islam membabitkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bercadang mengadakan bantahan penggunaan kalimah Allah dengan melakukan perhimpunan selepas solat Jumaat esok.