Followers

Saturday, January 2, 2010

Kebenaran penggunaan kalimah Allah perlu diiringi syarat ketat: Dr Mahathir

KUALA TERENGGANU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya perlu diiringi syarat yang ketat.

Beliau berkata walau apapun alasan yang diberi sebagai justifikasi keputusan berkenaan, ia tetap menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

"Ini kerana terjemahan ''God'' yang diguna dalam agama lain dalam bahasa Melayu atau Arab ialah ''Tuhan'', bukan Allah.

"Allah spesifik Tuhan bagi orang Islam. Kalau mereka faham mereka akan guna perkataan Tuhan, bukan Allah.

"Saya akui kalimah Allah diguna di Sabah dan Sarawak sebelum mereka masuk (bergabung) dalam Malaysia...tapi di Semenanjung ni kita tak pernah dengar pula," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Mahasiswa Melayu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catolic Weekly menggunakan perkataan "Allah".

Pada 16 Februari tahun lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Dr Mahathir berkata sensitiviti umat Islam perlu dipertimbang oleh bukan Islam, sebagaimana umat Islam di negara ini menjaga sensitiviti penganut agama lain bagi mengekalkan keharmonian negara.

"Yang saya khuatir bila Allah diguna oleh mereka, mungkin mereka akan guna secara yang akan timbulkan perasaan marah di kalangan orang Islam, kalau buat sepanduk dan tulis sesuatu yang tak cerminkan agama Islam.

"Kalau mereka nak gunakan (kalimah) Allah, ia harus dikenakan syarat yang ketat," katanya yang menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan yang perlu bagi menyelesaikan kemelut itu. - Bernama

140,000 peserta ikuti PLKN sesi 2010

KUALA LUMPUR: Seramai 140,000 peserta dipilih menjalani PLKN bagi Siri 7/2010 dengan 38,000 daripadanya menjadi kumpulan pertama menjalani latihan selama tiga bulan.

Hari ini, seramai 14,238 pelatih dari Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur dan Putrajaya mula melaporkan diri di 102 lokasi Pusat Berkumpul di seluruh negara untuk dibawa ke kem latihan melibatkan 355 bas.

Baki 14,570 pelatih dari Perlis, Labuan dan negeri-negeri lain akan melaporkan diri esok manakala 9,214 pelatih pada 4 Jan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan peserta PLKN di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Beberapa pelatih yang ditemui di perkarangan stadium itu menyatakan bahawa mereka teruja dan tidak sabar untuk memulakan latihan di kem walaupun ada sedikit kebimbangan dengan ujian yang bakal ditempuh.

Atiqah Badrol Hisham, 17, yang akan menjalani latihan di Rembau, Negeri Sembilan, berkata beliau pada mulanya takut tetapi berharap dapat menempuhi tempoh latihan itu dengan selamat.

"Sebelum ini saya gementar, takut nak pergi apabila nama saya dipilih, tapi sekarang saya bersemangat nak pergi dan berharap dapat membina keyakinan diri selepas selesainya program khidmat negara ini," katanya.

Koh Yean Nie, 17, yang aktif dalam sukan tenis pula gembira dan teruja dapat menyertai program khidmat negara di Manjung, Perak dan berharap dapat menimba pengalaman serta mengembangkan potensi diri selain menjadi lebih baik daripada segi fizikal dan mental.

P Thangaraj, 17, dari Sentul terlalu ghairah dan tidak sabar-sabar untuk memulakan latihannya di Alor Gajah, Melaka apabila seluruh anggota keluarganya hadir memberi sokongan kepadanya.

"Saya menyukainya. Saya telah menunggu lama dan saya sangat gembira apabila nama saya tersenarai, saya sangat berterima kasih," katanya.

Perasaan sama turut dikongsi ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke Pusat Berkumpul di sini, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak tunggal.

Lim Lik Kai, 61, turut gembira walaupun terpaksa berpisah dengan anak tunggalnya, Lim Yan Jang untuk menjalani latihan di Penor, Pekan, Pahang. - Bernama

Friday, January 1, 2010

Sabah & Sarawak: Pantai Tanjung Aru tercemar

DBKK diarah atasi pencemaran punca pembiakan alga busuk

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mengarahkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) segera mengatasi pencemaran air kumbahan yang menyebabkan Pantai Tanjung Aru, di sini ditumbuhi sejenis alga hijau busuk.

Musa berkata, masalah itu menjejas keindahan pantai berkenaan dan keselesaan pengunjung, sekali gus memberi imej negatif terhadap destinasi rekreasi popular itu.

"Saya minta DBKK mengambil tindakan segera mengatasinya," katanya, di sini semalam.

Beliau mengulas masalah pencemaran di pantai berkenaan yang dikesan sejak akhir minggu lalu.

Akhbar sebelum ini melaporkan ada pengunjung mengadu mengenai pantai itu berubah wajah daripada putih kepada kehijau-hijauan berikutan pembiakan alga berkenaan.

Pelepasan air sisa kumbahan dari kawasan perumahan, komersial dan medan selera secara terus ke dalam sistem perparitan yang mengalir ke laut dipercayai punca utama fenomena itu.

Sementara itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim, berkata beliau sudah mengarahkan kakitangan DBKK membersihkan alga di sepanjang pantai berkenaan bagi mengatasi masalah itu.

"Selepas diberitahu mengenai fenomena itu, saya mengarahkan pekerja DBKK membersihkannya segera bagi mengurangkan bau busuk," katanya.

Bagi jangka panjang, katanya, DBKK di peringkat akhir melaksanakan projek penyaluran air kumbahan dari Tanjung Aru menerusi sistem paip pembetungan berpusat yang akan disalurkan secara terus ke loji rawatan air kumbahan di Inanam.

Beliau berkata, projek bernilai RM15 juta itu dilaksanakan dua tahun lalu dan dijangka siap Januari ini.

"Apabila sistem pembetungan baru ini beroperasi, masalah air kumbahan yang melimpah ke dalam sistem perparitan dan mencemari pantai tidak akan berlaku lagi," katanya.

Beliau berkata, alga hijau di sepanjang pantai itu berpunca daripada pencemaran air kumbahan yang melimpah dari tangki septik kediaman dan komersial ke dalam sistem perparitan di sekitar pantai berkenaan.

Tinjauan Berita Harian di pantai itu semalam mendapati masih ada alga hijau membiak, terutama berhampiran parit yang dicemari sisa air kumbahan berhampiran medan selera, menyebabkan kawasan sekitarnya menjadi busuk.

Tok Mat meninggal ketika dalam tidur

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Penerangan dan bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Mohamed Rahmat meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, di sini, pagi ini.

Allahyarham, yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 pada Isnin depan, dilaporkan meninggal dunia dalam tidur.

Anak sulungnya Datuk Nur Jazlan, yang juga Ahli Parlimen Pulai, berkata bapanya disedari meninggal dunia pada kira-kira 8 pagi ini ketika ibunya, Puan Sri Salbiah Abdul Hamid mengejutnya bangun daripada tidur.

"Beliau meninggal dalam tidur," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman bapanya di sini, hari ini.

Nur Jazlan berkata Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas Asar.

Beliau berkata Allahyarham bapanya menghidapi penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lalu dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari.

Sinonim dengan gelaran ''Tok Mat'', pemimpin veteran Umno itu menjadi Menteri Penerangan sebanyak dua kali iaitu dari 1978 hingga 1982 semasa kepimpinan Tun Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertaraf Menteri dari 1982 hingga 1984.

Selain itu, Allahyarham menyandang jawatan Setiausaha Agung Umno sejak 1988 hingga 1996 dan setiausaha agung Barisan Nasional (BN) dari 1988 sehingga 1999.

Semasa menjadi Menteri Penerangan, allahyarham memperkenalkan Program "Setia Bersama Rakyat" (Semarak) yang bertujuan meningkatkan semangat cintakan negara.

Ketegasannya juga turut ditampilkan antaranya dalam menyelesaikan isu disiplin artis tempatan apabila mengarahkan penyanyi rock memotong rambut panjang mereka jika mahu menyertai program di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Antara yang mematuhi arahan beliau ialah kumpulan rock Wings dengan penyanyi utamanya Awie dan kumpulan Search dengan penyanyi utamanya Amy. - Bernama