Followers

Friday, December 25, 2009

Hantar pulang pelarian Hmong, Thai tetap dengan pendirian asal

BANGKOK: Thailand tetap dengan pendiriannya untuk menghantar pulang 4,000 kumpulan etnik Hmong kepada pihak komunis Laos, walaupun didesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) untuk membatalkan rancangan itu.

"Ini bukan masalah negara lain - ia adalah antara Thailand dan Laos. Apa saja yang dipersetujui kedua-dua negara, ia perlu dilaksanakan" kata Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban.

Negara jiran turut bersetuju kumpulan yang ditahan di utara Thailand, perlu dihantar pulang menjelang akhir tahun ini.

Khamis lalu, menurut jurucakap pemangku Jabatan Kerajaan, Mark Toner dalam kenyataannya, berkata AS menggesa Thailand menggugurkan rancangan itu, kerana mereka (AS) "bimbang berhubung laporan pihak yang tidak mahu dihantar balik secara sukarela,"

Sementara itu, Ketua Agensi Pelarian PBB (UNHCR), Antonio Guterres, turut mendesak Thailand menarik balik rancangan terbabit.

"Thailand mempunyai tanggungjawab dan peraturan antarabangsa bagi memastikan setiap pelarian berhak mendapat perlindungan antarabangsa...ia mengambil kira keperluan berasaskan aspek sukarela,"katanya.

"Untuk meneruskannya, ia bukan saja membahayakan prinsip perlindungan kepada pelarian tetapi menunjukkan contoh di peringkat antarabangsa secara serius," katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, menolak kritikan dan dakwaan negara lain dengan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan isu kumpulan etnik Hmong itu.

"Sekiranya mereka mengambil berat dan ingin mengambil pelarian ini, mereka boleh memulakan proses penempatan, tiada masalah," katanya sambil menambah proses penghantaran pulang pelarian itu akan dilakukan mengikut undang-undang. - AFP

Penulis novel Ariffin Ngah meninggal dunia

KUALA TERENGGANU: Ariffin Ngah, 70, penulis novel terkenal Terengganu meninggal dunia di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal di sini, petang tadi selepas mengidap pelbagai penyakit sejak lima tahun lalu.

Beliau meninggal dunia kira-kira jam 1.15 petang tadi di hadapan isterinya, Zainab Muhamad, 67, anak-anak serta cucunya.

Allahyarham mempunyai 12 orang anak dan 50 orang cucu.

Zainab berkata, arwah suaminya menghidap pelbagai penyakit sejak lima tahun lalu antaranya kencing manis, jantung, buah pinggang, darah tinggi dan sering berulang-alik ke hospital untuk mendapat rawatan.

Katanya, suami beliau baru saja pulang dari hospital Ahad lalu kerana ingin sangat berada di rumah bersama keluarganya.

Menceritakan perihal suaminya sebelum meninggal, beliau berkata, arwah pernah bercerita yang beliau selalu bermimpi berjumpa dengan rakan-rakannya yang telah meningga dunia.

Katanya, lima tahun lalu arwah digigit kucing peliharaannya apabila terpijak haiwan itu yang seterusnya membawa kepada sakitnya yang berpanjangan.

Afiffin banyak menghasilkan novel terutama novel kanak-kanak sejak menjadi guru dan pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beliau juga pernah memenangi beberapa anugerah seperti Anugerah Sastera Darul Iman (2008).

Antara novel yang menarik hasil nukilan Ariffin ialah Anugerah Wahyu, Tangisan Pusaka Bangsaku dan Revolusi Kenyir.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tumbuh dekat sini selepas solat asar. - Bernama

Thursday, December 24, 2009

Najib ingin lihat Krismas yang 'hijau'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berharap semua rakyat Malaysia, tidak kira apa jua kepercayaan agama, mempamerkan kemurahan hati dan perasaan belas kasihan dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang paling memerlukannya.

Sempena sambutan Krismas esok, Perdana Menteri dalam blognya www.1malaysia.com.my hari ini, berkata golongan yang paling memerlukan bantuan itu termasuk daripada mereka yang tidak berdaya kepada yang susah sehinggalah kepada perkhidmatan kecemasan yang sentiasa sedia berkhidmat.

"Dengan semangat kemurahan hati ini, kita harus juga menunjukkan keprihatinan terhadap alam sekitar. Satu perayaan Krismas yang lebih hijau boleh diadakan.

"Misalnya, dengan mendermakan hadiah-hadiah yang tidak diperlukan, menggunakan kertas kitaran semula sebagai pembalut hadiah dan berjimat cermat dengan penggunaan lampu Krismas," katanya.

Najib berkata, dalam keseronokan meraikan Krismas kali ini boleh membuatkan rakyat berbelanja lebih walaupun dalam waktu mereka kurang bebas berbelanja kini.

Katanya, musim perayaan ini adalah waktu untuk menyemarakkan perasaan muhibah dan keriangan terutamanya dalam kalangan mereka yang kurang bernasib baik.

Perdana Menteri juga berkata, perayaan seperti ini memberikan satu peluang kepada orang ramai untuk berehat dan bermesra bersama keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga.

"Seperti Hari Raya sebelum ini, kenapa tidak gunakan perayaan ini untuk merapatkan hubungan tetamu daripada latar belakang yang berbeza di bawah satu bumbung?

"Dengan ingatan ini, saya mengucapkan kepada semua yang merayakan hari yang paling istimewa ini satu Krismas yang sangat menggembirakan, aman dan damai serta harmoni," katanya. - Bernama

4 maut kilang kimia Jepun meletup

TOKYO: Empat lelaki maut dalam letupan di kilang kimia di Osaka, Jepun, hari ini, ketika mangsa sedang memotong penutup tangki kimia bagi membersihkan tangki itu, kata Kyodo News.

Letupan berlaku jam 8.50 pagi di kilang pengeluaran sebatian fluorin milik Morita Chemical Industries Co (Morita Chemical) di wad Yodogawa, Osaka.

Anggota bomba berkata, sebahagian daripada bumbung kilang itu musnah akibat daripada letupan itu.

Menurut laporan media negara itu, dua daripada empat mangsa ditemui jatuh di atas bumbung tingkat tiga bangunan berkenaan manakala bakinya berada di atas tanah.

Tangki itu menyimpan bahan kimia toksik yang dikenali sebagai borontrifluoride, yang digunakan dalam pengeluaran semikonduktor dan penyelesaian electrolytic bagi bateri litium.

Sementara itu, Morita Chemical berkata, syarikat itu mengeluarkan sebatian fluorin untuk industri yang digunakan di kilang dan kebiasaannya sebatian fluorin tidak meletup. - Bernama