Followers

Friday, December 18, 2009

COP15 sekadar penuhi separuh harapan Malaysia: PM

COPENHAGEN: Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2009 (COP 15) yang berakhir tanpa sebarang perjanjian mengikat semalam sekadar memenuhi separuh daripada harapan negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

"Sehingga kini kita hanya sekadar berpuashati ia menjurus kepada komitmen lebih besar untuk bertindak tetapi tidak mencapai tahap yang kita percaya semua isu perubahan cuaca dapat ditangani, terutama dalam soal pembiayaan dan pemindahan teknologi," katanya kepada wartawan Malaysia di sini selepas menghadiri sesi pleno terakhir persidangan itu sebentar tadi.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, adalah antara pemimpin yang berucap.

Sehubungan itu, Najib berharap persidangan Copenhagen akan menjadi batu loncatan kepada satu lagi persidangan pada tahun depan di mana dapat dicapai persetujuan yang mengikat.

Katanya, apa yang boleh disifatkan kejayaan di Copenhagen ialah kehadiran ramai pemimpin dunia yang menunjukkan komitmen serius dan menjadikan perubahan iklim agenda utama dunia pada masa ini dan akan datang.

"Dari segi keberhasilannya saya lihat komitmen daripada negara sudah bertambah, maknanya hampir setiap negara menetapkan sasaran yang bertambah dari segi pengurangan pelepasan karbon.

"Namun, ada isu lain yang tak dapat diputuskan secara memuaskan, umpamanya dana yang dicadangkan AS$10 bilion untuk tiga tahun akan datang dan AS$100 biion setahun menjurus kepada 2020 pada hemat Malaysia dan pakar saintis PBB adalah tidak memadai.

"Seperti yang saya katakan semalam jumlahnya mesti lebih AS$800 bilion setahun kalau mereka nak capai sasaran hanya peningkatan 2 darjah Celsius, bukannya 1.5 darjah Celsius," katanya.

Perdana Menteri berkata, satu lagi isu yang tidak dapat dipersetujui ialah soal pemantauan dan pengesahan berhubung pemberian dana kepada negara membangun seperti yang ditekankan AS.

"Tetapi syarat itu ditentang habis-habisan oleh China. Maka saya nampak ada isu utama yang masih belum dapat diatasi...," katanya.

Mengenai ucapan Presiden AS itu pada persidangan kali ini, Najib berkata:

"Obama menambah sasaran untuk AS...ia lebih baik daripada apa yang berlaku berhubung Protokol Kyoto di mana mereka bukan peserta...namun beberapa syarat yang dinyatakan akan membuatkan rundingan masa depan agak sukar."

Dalam ucapannya, Obama antara lain menegaskan masa untuk berbincang sudah berlalu dan negara dunia perlu bertindak sekarang dengan apa yang ditawarkan di meja rundingan dan sebarang perjanjian yang dimeterai boleh dimantapkan dari masa ke semasa.

"Kita boleh mengadakan perjanjian sekarang dan memperhalusinya kemudian atau kita boleh memilih untuk menangguhnya. Kita akan menggunakan alasan lapuk bulan demi bulan, tahun demi tahun, dekad demi dekad, sehingga terlewat untuk berbuat apa-apa.

"Kami bersedia untuk memuktamadkannya hari ini. Adalah lebih baik untuk kita bertindak sekarang daripada berbincang," katanya.

Angin kencang di Pantai Timur dijangka berterusan hingga Selasa

KUALA LUMPUR: Jabatan Metereologi hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat kuning iaitu hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat yang turun dari semasa ke semasa di Perak dan Kedah bermula hari ini, dijangka berterusan sehingga 20 Disember.

Di Kedah daerah yang terlibat adalah Padang Terap dan Sik manakala di Perak daerah yang terlibat adalah Hulu Perak dan keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah seperti berhampiran tebing sungai.

"Manakala keadaan yang sama dijangka berterusan hingga 22 Dis di kawasan pantai timur iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang," kata jabatan itu dalam kenyataan di sini.

Di Kelantan kawasan yang dijangka mengalami keadaan itu adalah jajahan Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai.

Manakala di Terengganu kawasan yang terjejas adalah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, dan di Pahang daerah yang mengalami keadaan demikian ialah Kuantan, Pekan dan Rompin.

Kenyataan itu berkata angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer (km) sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter yang berlaku di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur) perairan Condore, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pantai Barat dan Kudat) Reef North, Layang-layang dan Palawan di Laut China Selatan dijangka berterusan sehingga 23 Disember.

Sehubungan itu, katanya, kawasan pantai di pantai timur Semenanjung (Kelantan, Terengganu dan Pahang) terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sepanjang tempoh itu.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, kegiatan sukan dan rekreasi laut," kata kenyataan itu. - Bernama

Yusuf Abdullah al-Qadarawi, Tan Sri Yusoff Nor dipilih Tokoh Maal Hijrah 2009

PUTRAJAYA: Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Yusuf Abdullah al-Qadarawi dan Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Dr Yusoff Nor hari ini diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 2009/1431H.

Ia diumumkan pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), di sini pagi ini.

Anugerah disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong,Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Kedua-dua tokoh menerima hadiah wang tunai RM100,000, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan.

Negara maju berhutang besar kepada dunia: Najib

COPENHAGEN: Malaysia berpendapat negara maju perlu lebih banyak berkorban ke arah menangani kesan perubahan iklim kerana mereka adalah penyumbang besar kepada pemanasan dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata negara maju sebenarnya berhutang kepada dunia dan sewajarnyalah mereka memberi sumbangan dana yang besar kepada negara membangun.

"Sebenarnya ia adalah berasaskan prinsip yang adil sebab merekalah merupakan penyumbang yang besar kepada pelepasan karbon," katnya kepada wartawan Malaysia bagi menjelaskan pendirian kerajaan yang dikemukakan pada Persidangan Perubahan Iklim di sini.

Najib dalam ucapannya pada persidangan itu, antara lain berkata cadangan diwujudkan dana AS10 bilion merupakan sumbangan yang terlalu kecil berbanding apa yang telah dilakukan oleh negara maju selama ini.

"Jadi saya sarankan dana berjumlah AS$200 bilion diwujudkan terlebih dahulu sebelum ia kemudian mencecah AS$800 bilion. Barulah semuanya bukan ungkapan retorik sahaja," katanya.

Katanya negara maju perlu melabur lebih banyak bagi mewujudkan "carbon sink" iaitu teknologi bagi meresap karbon.

Najib berkata walaupun Malaysia berpendirian supaya diwujudkan perjanjian yang bersifat perjanjian yang mengikat tetapi setakat ini ia seolah-olah sukar dicapai.

Bagaimanapun, katanya, pemimpin dunia perlu sekurang-kurangnya menunjukkan komitmen politik terlebih dahulu sebelum disusuli dengan satu lagi perjumpaan awal tahun depan untuk menjadikan perjanjian yang mengikat.

Ditanya mengenai reaksi pemimpin lain terhadap kenyataan beliau, Perdana Menteri berkata beberapa pemimpin mengucapkan tahniah kepada beliau selepas ucapannya tetapi sukar diramalkan apa yang bakal dicapai pada persidangan 12 hari di ibu negara Denmark, yang berakhir hari ini. - Bernama