Followers

Thursday, December 17, 2009

Kerajaan menerusi NKRA komited tingkat taraf hidup rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) komited untuk meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar di Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kerajaan mensasarkan untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar kepada 2.8 peratus menjelang 2010 dan dua peratus pada 2012 daripada 3.8 peratus kini.

"Kita di kementerian tidak mahu tengok orang miskin lagi di Malaysia. Terdapat banyak peluang pekerjaan di negara kita. Rakyat perlu menggunakan peluang ini sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri hari terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway, hari ini.

Hari terbuka GTP telah dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon, yang bertanggungjawab mengenai Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi.

Beliau juga Pengerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Shahrizat berkata bagi meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, kementerian itu akan melaksanakan bayaran bantuan kebajikan pada setiap satu haribulan mulai Januari tahun depan.

Katanya, kementerian itu juga berhasrat untuk meningkatkan jumlah usahawan wanita kepada 4,000 menjelang 2012 di bawah program Sahabat Amanah Ikhtiar.

Melalui Khidmat Pembangunan Sosial (SDS), katanya, kerajaan akan menyalurkan bantuan untuk mengelakkan golongan miskin dan mudah miskin daripada jatuh ke bawah garis kemiskinan.

Katanya matlamat SDS adalah untuk mencapai pendapatan isi rumah secara keseluruhan kepada pengagihan secara berkesan.

Oleh itu, Shahrizat mengalu-alukan rakyat untuk menggunakan hari terbuka ini sebagai peluang untuk memberi pendapat atau pandangan bagi menjayakan hasrat kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan tegar di negara ini.

"Kerajaan akan memberi perhatian yang serius terhadap pandangan dan pendapat yang dilontar oleh rakyat," katanya. - Bernama

Inkues Teoh ditangguh lagi ke 7 Januari depan

SHAH ALAM: Prosiding inkues bagi menyiasat kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock di Mahkamah Majistret Shah Alam ditangguhkan sekali lagi ke 7 Januari depan.

Peguam Gobind Singh Deo, ketika dihubungi media memberitahu kes itu akan disebut semula pada tarikh berkenaan bagi membolehkan kesemua pihak terbabit memberitahu perkembangan terkini kepada mahkamah terhadap keputusan bedah siasat kedua mayat Teoh.

Pihak media difahamkan laporan bedah siasat oleh pakar patologi dari Hospital Sungai Buloh itu masih belum disiapkan.

Tarikh perbicaraan baru bagi kes itu akan ditetapkan pada 7 Januari nanti, menurut Gobind, peguam bagi keluarga Teoh.

Pada 22 November lalu, sekumpulan pakar patologi di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh yang diketuai Ketua Unit Patologi Dr Shahidan Md. Noor selesai melakukan bedah siasat kali kedua ke atas mayat mendiang yang digali semula sehari sebelum itu.

Mayat Teoh dikebumikan semula pada 24 November di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Adun Seri Kembangan, Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor yang berpejabat di plaza itu. - Bernama

Malaysia tewaskan Vietnam untuk emas Sukan Sea

MALAYSIA mengakhiri penantian 20 tahun pingat emas bola sepak Sukan Sea apabila menewaskan Vietnam 1-0 di Laos, sebentar tadi.

Gol kemenangan hasil jaringan sendiri pemain Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-84.

Dunia di persimpangan genting tangani perubahan iklim: PM

COPENHAGEN: Dunia kini di persimpangan genting dan generasi masa depan akan menanggung akibat kesan perubahan iklim jika pemimpin masa kini tidak sanggup berkorban dan mengambil langkah tegas bagi menanganinya, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, dunia tidak perlu menunggu hingga 2050 untuk melihat kesan perubahan iklim kerana negara pulau seperti Maldives akan tenggelam jika suhu dunia meningkat hanya sebanyak 1 darjah Celcius lagi.

"Kita kini di persimpangan genting, kita bercakap soal generasi masa depan dan ia (tindakan menangani perubahan iklim) perlu berlaku sekarang

"Ini memerlukan pengorbanan dan kesanggupan politik untuk menyediakan peruntukan bagi mencapai sasaran global bagi pelepasan karbon," katanya berucap pada majlis bersama kira-kira 200 rakyat Malaysia di sini malam tadi.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berada di ibu negara Denmark ini untuk menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2009 (CP15).

Merujuk mesyuarat Kabinet Maldives yang diadakan di bawah laut baru-baru ini, Perdana Menteri berkata tindakan Pesiden Mohamed Naseed itu ialah untuk menunjukkan kepada dunia betapa negaranya dan negara pulau lain menghadapi ancaman besar akibat perubahan iklim.

Malah, katanya, ancaman akibat pemanasan global seumpama itu juga dihadapi negara lain, termasuk Malaysia yang mula merasai cuaca luar biasa di mana taburan hujan jauh meningkat dan banjir melanda kawasan yang tidak pernah mengalami bencana itu.

"Batu Pahat ditenggelami air, ini belum pernah berlaku. Itu adalah antara contoh kesan ringan pemanasan global," katanya sambil menambah baru-baru ini bongkah ais besar terpisah dari benua Antartika dan bergerak ke arah Australia.

Sehubungan itu, Najib berkata pemimpin dunia perlu sepakat berusaha menangani kesan perubahan iklim kerana masalah itu tidak dapat diselesaikan sebarang negara secara bersendirian.

"Kita perlu bangkit melepaskan diri daripada kekangan kepentingan negara masing-masing. Jika kita hanya memikirkan penyelesaian berasaskan negara, kita hanya membuang masa di Copenhagen.

"Kita perlu melonjak dan mencari penyelesaian global. Hanya dengan cara itu apabila 2050 menjelang, kita dapat menghirup udara bersih dan selamat daripada ancaman perubahan iklim," katanya.

Menyentuh konsep 1Malaysia, Perdana Menteri percaya ia dapat memantapkan perpaduan nasional dan menjurus kepada kekuatan masyarakat Malaysia untuk menghadapi cabaran masa depan sebagai satu negara.

Najib berkata, konsep 1Malaysia dapat melenyapkan prasangka dan ketidakpuasan hati di antara kaum yang merasakan sesetengah dasar kerajaan meminggirkan mereka.

"Sudah tiba masanya kita menghadapi cabaran sebagai satu negara," katanya.

Perdana Menteri berkata, semangat 1Malaysia itu juga mampu melonjakkan negara ke tahap kejayaan lebih tinggi dan beliau berikrar akan memimpin negara ke arah kecemerlangan.

"Sebagai Perdana Menteri anda semua, saya komited untuk memimpin Malaysia ke tahap lebih tinggi. Diharapkan apabila sampai waktunya anda semua akan menyokong saya," katanya.