MELAKA: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta pasaraya besar di negara ini supaya tidak mengenakan syarat yang terlalu ketat, terutama sekali produk di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI), bagi membolehkan produk pengusaha tempatan dijual melalui pasaraya berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pasaraya besar sewajarnya memberi lebih ruang kepada produk tempatan, seperti dari SDSI, kerana mutu produk berkenaan semakin bertambah baik.
Sehubungan itu, katanya, produk yang telah memenuhi kriteria awal yang ditetapkan oleh sesebuah pasaraya besar, sepatutnya diberi laluan mudah.
"Saya harap pasaraya besar memberi pertimbangan saksama kepada pengeluar supaya tidak mengenakan bayaran yang tinggi untuk mempamerkan produk."
"Kalau mereka boleh kurangkan (bayaran sedemikian), maka lebih banyak produk tempatan (seperti dari SDSI) dapat dipamerkan untuk promosi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Showcase SDSI 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini.
Seramai 537 syarikat mengambil bahagian dalam pameran itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Muhyiddin berkata, produk SDSI juga boleh dipamerkan sepanjang masa di premis tetap yang disediakan oleh kerajaan negeri seperti yang dilakukan oleh kerajaan Melaka yang menawarkan premis tetap di Kota Fesyen di sini.
Semasa berucap di majlis itu, Muhyiddin mahu usahawan kecil dan sederhana mengatur strategi perniagaan serta membuat penyelidikan dan pembangunan produk untuk menghasilkan keluaran baharu, sentiasa memahami kehendak pelanggan yang mempunyai pelbagai citarasa terhadap produk dan perkhidmatan berkualiti.
Katanya, usahawan juga perlu memberi perhatian terhadap penjenamaan yang menjadi elemen penting dalam memastikan sesuatu produk dikenali dan dapat menembusi pasaran yang lebih luas.
"Walau pun sudah ramai usahawan dilahirkan melalui SDSI, kerajaan melalui pelbagai agensinya akan terus mengembangkan penyertaannya berikutan skop dan potensinya yang masih luas."
Beliau yang baru pulang dari lawatan kerja ke Jepun, juga mahukan pengusaha mencontohi peniaga dan usahawan kecil di Jepun yang berjaya menghasilkan produk bermutu tinggi dengan kaedah pemasaran yang baik. - Bernama
KUALA LUMPUR: Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) tahun depan akan terus mempergiatkan usaha meningkatkan kefahaman orang Islam dan bukan Islam terhadap nilai dan prinsip agama Islam.
Pengerusinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata enam seminar, lima bengkel, debat antara institut pengajian tinggi dan muzakarah pakar serta syarahan umum telah diatur sepanjang 2010 untuk tujuan itu.
"Kita tidak mahu yang bukan Islam menganggap Islam tidak mendatangkan kebajikan terhadap mereka," kata Abdullah di majlis Program Kerja 2010 dan Anugerah Khidmat Cemerlang 2008 IKIM di sini hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beberapa ilmuan tempatan dan pakar antarabangsa akan dijemput untuk memberikan syarahan dan bermuzakarah mengenai isu semasa dan pendekatan Islam ke arah penyelesaiannya.
Antara seminar yang bakal dianjurkan adalah "Agama dan Hak Asasi Manusia: Ke Arah Pemurnian Kefahaman", "Kebangkitan Gerakan Islah Di Alam Melayu", "Shah Waliyullah Al-Dihlawi: Ketokohan dan Sumbangan" dan "Kesihatan Mental Mendepani Cabaran Hidup Semasa".
Abdullah pada sidang akhbar kemudiannya berkata, adalah penting setiap penceramah mendapatkan pentauliahan dari Jabatan Agama Islam Negeri dan mempunyai kelayakan dari segi akademik sebelum mengajar agama.
"Kalau penceramah tidak ada ilmu, dia tidak bertauliah tak tahu apa nak cakap dan hubungkaitkan dengan tajuk. Mereka perlu ada keizinan daripada majlis agama setiap negeri. Kena ada dua-dua perkara ini," katanya.
Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, baru-baru ini didakwa oleh Mahkamah Syariah Gombak Timur kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Dr Mohd Asri kemudian telah mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan semakan oleh pihak pendakwaan apabila Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menolak permohonan untuk memindahkan kes membabitkan beliau iaitu mengajar agama tanpa tauliah ke Mahkamah Tinggi Syariah.
Pada majlis itu enam pegawai IKIM menerima anugerah kategori terpuji dan tiga orang lagi merangkul anugerah kategori cemerlang. - Bernama