JELI: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata walaupun kegiatan jenayah di sempadan Malaysia-Thailand terkawal, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan lagi kerjasama dengan polis Thailand khususnya dalam aspek penguatkuasaan.
Beliau berkata, sebagai komitmen dalam mengawal keselamatan di sempadan, PDRM akan menambah bilangan anggota yang ditempatkan di sempadan dan mendapatkan kerjasama agensi lain yang relevan termasuk polis Thailand.
"Kita akan bincang dengan agensi lain bagi memastikan kawalan di kawasan itu (sempadan) sentiasa terjamin dan baik," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis penamaan semula jambatan kedua yang menghubungkan Bukit Bunga di sini ke Ban Buketa di selatan Thailand kepada Jambatan Persahabatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, di sini hari ini.
Jenayah di sempadan kebiasaannya membabitkan aktiviti penyeludupan pelbagai barangan seperti beras dan dadah.
Musa juga berkata, kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat bagi membantu membendung jenayah di sempadan juga amat penting. - Bernama
KUALA LUMPUR: Panel damai kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mengulangi komitmen bersama untuk membina keadilan dan keamanan berkekalan dan menyeluruh di Mindanao.
Fasilitator kerajaan Malaysia dalam rundingan damai itu, Datuk Othman Abdul Razak, berkata kedua-dua pihak optimistik mencapai persetujuan dalam merumuskan perjanjian damai yang mereka harap dapat ditandatangani menjelang April tahun depan.
"Ketika pihak berkenaan menuju ke arah perdamaian, mereka juga bersetuju untuk mewujudkan persekitaran yang selamat bagi rundingan dengan memperbaharui bidang kuasa Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT) untuk memantau perjanjian gencatan senjata, kemanusiaan, pemulihan, pembangunan dan perlindungan awam.
"Bagi tujuan itu, pihak berkenaan akan menjemput sebagai anggota IMT, Malaysia, Jepun, Brunei dan Libya dan badan bukan kerajaan iaitu Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Mindanao People's Caucus (MPC) dan Non-Violent Peace Force (NVPF)," katanya dalam kenyataan bersama di sini hari ini.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengerusi Panel Kerajaan Filipina, Rafael E Seguis, dan Pengerusi Panel MILF, Mohagher Iqbal, selepas perundingan selama dua hari di sini antara kedua-dua belah pihak, dan turut disertai International Contact Group (ICG) yang baru ditubuhkan terdiri daripada Britain, Jepun dan Turki.
Antara yang mewakili ICG sepanjang perundingan dua hari itu ialah Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie; Pesuruhjaya Tinggi Britian ke Malaysia, Boyd McCleary; Kuasa Usaha Turki, Yasin Temizkan; serta Steven Rood dan Herizal Hazri dari Yayasan Asia.
Bagi tempoh 12 tahun lalu, Filipina dan MILF telah beberapa kali mengadakan rundingan untuk menamatkan konflik di selatan Filipina yang telah berlarutan selama empat dekad.
Rundingan Damai itu diaturkan oleh Malaysia sejak 2001, bertujuan menamatkan pemberontakan penduduk Islam selama empat dekad yang telah meragut 120,000 nyawa dan menjauhkan pelabur berpotensi dari kawasan itu yang dipercayai kaya dengan hasil minyak dan gas.
Othman berkata, pada rundingan itu, pihak berkenaan turut memperbaharui komitmen dan usaha mereka dalam menyelaraskan larangan dan pemulauan elemen jenayah dan tidak mematuhi undang-undang dengan mengaktifkan semula Kumpulan Tindakan Bersama Sementara. - Bernama
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Puad Zarkashi, berpendapat modul Biro Tata Negara (BTN) sedia ada tidak perlu dirombak sebaliknya memerlukan suntikan elemen 1Malaysia bagi memantapkan modul itu.
Beliau berkata, dengan adanya elemen 1Malaysia dalam modul itu, ia dapat menerapkan semangat tulen gagasan itu, yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan sekaligus membawa kebaikan kepada rakyat.
"Jika kita lihat semula gagasan tersebut, ia membawa banyak kebaikan kepada rakyat seperti mengurangkan jenayah sehingga 20 peratus, memperbaiki sistem pengangkutan awam supaya lebih efisien dan meningkatkan kualiti pendidikan, semuanya untuk rakyat, inilah yang kita mahu rakyat faham," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Satu Asia, Belia dan Media Sosial: Kerjasama Dalam Talian dan Masa Depan Asia di sini, hari ini.
Beliau mengulas pendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang mengatakan kurikulum BTN akan dirombak bagi mencerminkan gagasan 1Malaysia.
mohd Puad juga tidak bersetuju dengan kenyataan Mohamed Nazri yang melabel bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai perkauman kerana mempertahankan modul BTN.
"Saya tidak bersetujulah dengan beliau (Mohamed Nazri) dan ini tidak adil dengan mengatakan Tun Mahathir bersikap sedemikian hanya kerana beliau mempertahankan modul tersebut.
"Lagipun selama 22 tahun pemerintahannya, beliau disegani oleh segenap lapisan masyarkat dan mempunyai pengikut yang ramai termasuk di kalangan golongan muda," katanya.
Mengenai kuasa ambil dan pecat yang bakal diberikan kepada guru besar dan pengetua sekolah dalam memenuhi aspirasi kecemerlangan sesebuah sekolah, Mohd Puad menjelaskan guru yang dipecat, bukan bermaksud mereka akan hilang pekerjaan sebaliknya akan ditukarkan ke sekolah lain.
Semalam, beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa sistem pendidikan akan mempertimbangkan untuk memberi kuasa kepada pengetua atau guru besar untuk memecat dan mengambil guru yang berdedikasi untuk membantu mereka menjadikan sekolah mereka sekolah cemerlang.
Forum selama empat hari bermula semalam itu dianjurkan oleh Majlis Belia Asia dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia, Institut Pembangunan Minda (INMIND) dan Kerjasama Komiti Belia Asia (CAYC) dan dihadiri wakil belia dari 23 negara Asia Pasifik.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengehadkan penjualan minyak diesel dan petrol di sempadan negara termasuk di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat bagi membendung kegiatan penyeludupan bahan api tersebut yang dikesan kembali aktif ketika ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara langkah itu ialah melarang penjualan minyak diesel dan petrol melebihi 20 liter kepada setiap kenderaan dari luar negara di kawasan dalam lingkungan 50 kilometer (km) dari sempadan negara.
"Pemilik kenderaan juga tidak dibenar melintasi sempadan dengan minyak melebihi 20 liter dalam tangki," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, arahan itu tertakluk di bawah Peraturan Barang Kawalan (Larangan Eksport) 2000, iaitu pemilik kenderaan atau pengusaha stesen minyak yang ingkar boleh dikenakan tindakan seperti kereta ditahan dan dirampas serta lesen perniagaan ditarik balik.
Beliau berkata, surat arahan akan diedar kepada semua pembekal atau pengusaha stesen minyak secepat mungkin manakala notis pemberitahuan akan diberi kepada pemilik kenderaan yang memasuki sempadan negara ketika mereka mendapatkan cop pengesahan kemasukan di kaunter Imigresen di sempadan.
Mengenai rasional di sebalik langkah itu, Ismail Sabri berkata beliau mendapat laporan terdapat banyak kejadian penyeludupan dan ketirisan petrol berlaku di kawasan sempadan negara, terutama di sempadan Thailand.
"Bagi membendung kegiatan itu kementerian memutuskan untuk menguatkuasakan arahan mengehadkan penjualan minyak. Kita tidak mahu subsidi minyak yang sepatutnya dinikmati rakyat turut diperoleh orang luar kerana ia tidak adil kepada kerajaan dan rakyat sebagai pembayar cukai," katanya.
Malaysia adalah negara yang menawarkan harga terendah dalam penjualan diesel dan petrol berbanding negara jiran.
Harga diesel di Malaysia dijual pada kadar RM1.70 seliter berbanding Thailand RM2.76, Singapura RM3.04, Indonesia RM2.58 dan Filipina RM3.99 manakala untuk petrol RON95 Malaysia menawarkan harga RM1.80 seliter, Thailand RM4.01, Singapura RM4.31, Indonesia RM2.26 dan Filipina RM5.45.
Ismail Sabri berkata, perbezaan harga yang ketara itu menyebabkan berlakunya aktiviti penyeludupan dan pembelian luar biasa banyak di dalam negara.
Sehubungan itu beliau mengingatkan pihak terbabit supaya tidak mengingkari arahan itu demi kebaikan bersama dan kementerian juga katanya akan menempatkan petugasnya di stesen minyak bagi memantau keadaan.
"Saya bagi amaran kepada pengusaha-pengusaha minyak di kawasan sempadan supaya tidak menyalahguna hak yang diberi kepada mereka untuk menanggung orang luar dengan menikmati subsidi yang diberi kerajaan," katanya.
Ismail Sabri berkata, bagi memastikan arahan itu terlaksana, kementerian juga akan meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP).
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan yang arahan itu tidak akan berjaya menghapuskan aktiviti penyeludupan minyak sepenuhnya, tetapi yakin sekurang-kurangnya akan mengurangkan bilangan kes itu. - Bernama